Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Tuesday, July 17, 2012

Pemuda PAS ajak artis dan seniman berusrah

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak para artis dan selebriti menyertai usrah Seniman, Karyawan dan Artis (Musika) sebagai langkah untuk mereka terus istiqamah dengan penghijrahan.

PAS sentiasa memastikan setiap ahlinya akan menyertai program usrah baik di peringkat akar umbi apatah lagi di peringkat pimpinan atasan kerana usrah dilihat sebagai aktiviti pentarbiyahan.

Ketuanya Nasruddin Hassan (gambar) berkata, program usrah Musika yang dikhususkan kepada artis dan selebriti pernah diadakan sebelum ini dan pada 19 Julai ini adalah untuk kali ke-3.

Dengan adanya program seperti ini, katanya artis yang belum menyertai PAS juga melahirkan minat untuk menyertai Musika. 

"Ini adalah perkembangan yang baik, kita tidak mahu artis dan selebriti yang menyertai PAS mensia-siakan penghijrahan mereka dan daripada program ini insyallah mereka akan istiqamah," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya,  usrah yang mungkin diadakan secara berkala itu akan turut membincangkan peranan dan penghijrahan yang mereka lakukan terhadap PAS dan masyarakat.

Di samping itu, DPPM akan bekerjasama dengan Lajnah Kebudayaan PAS Pusat untuk menganjurkan majlis dan taklimat khusus Presiden PAS kepada semua ahli baru yang bukan sahaja artis tetapi golongan penjawat awam yang menyertai PAS.

"Kita akan adakan pertemuan tertutup untuk jelaskan hala tuju, dasar dan prinsip PAS. Sekali gus mewujudkan hubungan secara tidak langsung individu dan pimpinan bersama golongan selebriti untuk pentarbiyahan secara tidak formal," katanya. 

Katanya, PAS telah membuat perubahan besar mendekati golongan artis sehingga mencetuskan fenomena kemasukkan artis dalam PAS.

"Kita telah mulakan langkah awal menziarahi dan mendekati mereka, jadi inilah (Musika) yang akan menjadi jambatan menghubungkan PAS dengan artis," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (Dacs) Pemuda PAS Pusat, Halim Ahmad berkata, PAS harus memainkan peranan mempergiatkan usrah di kalangan artis untuk mengelakkan mereka yang baru berhijrah ini hanyut semula dalam dunia hiburan mereka.

"Usrah perlu diberikan kepada mereka, usrah merupakan akar tunjang. Bukan sahaja artis, pimpinan PAS sendiri yang tidak usrah pun boleh hanyut," katanya.

Hari ini ramai artis dengan berani tampil secara rasmi menyertai PAS antaranya, pelakon filem Lt. Adnan Hairie Othman, penyanyi popular 'Janji Manismu' Wan Aishah Wan Ariffin, komposer lagu Bob Lokman, dan pengarah drama Adam Hamid dan pelawak Leman Raja Lawak. - HarakahDaily

" Kami Pemuda PAS Cawangan Jengka 19
Menyokong Penuh Pekara Ini... "

Saturday, July 7, 2012

PAS TOLAK MANIFESTO SECARA RAKAMAN

DAFTAR SEBAGAI AHLI PASMerujuk kepada saranan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof kepada semua parti politik untuk memberi kerjasama dengan tidak mempertikaikan mekanisme yang hendak digunakan untuk menyiarkan manifesto menerusi RTM secara rakaman semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).




PAS menyokong kenyataan Setiausaha Agong Datuk Mustafa Ali bahawa kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR tidak menepati tuntutan Bersih 3.0.

Rekod BN yang tidak jujur dan beramanah adalah penyumbang terbesar mengapa berkemungkinan besar manifesto yang diusulkan secara rakaman akan diputar belit dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagaimana video versi polis insiden Bersih 2.0.

Dalam hal ini, SPR secara terang-terangan gagal memberi tekanan kepada kerajaan BN untuk memberi ruang yang adil kepada pembangkang dan membuktikan kegagalan SPR bertindak dengan tepat dan adil.

Tindakan double standard inilah yang menimbulkan kemarahan rakyat bahkan tuntutan Himpunan Bersih 3.0 salah satunya ialah media yang adil.

Tindakan menyiarkan rakaman menifesto parti politik tidak lebih sekadar “gincu mulut” untuk mengaburi mata rakyat bahawa kerajaan BN sudah memberi ruang keadilan yang saksama pada pembangkang.

Kenyataan itu bakal menaikkan semula kemarahan rakyat yang hanya menunggu perisytiharan para pimpinan untuk himpunan selanjutnya menuntut pilihanraya bersih dan adil, kerana jelas kerajaan BN ini pekak.

Pelbagai persoalan kini berlegar di kepala rakyat dengan kenyataan Pengerusi SPR yang terbaru - apakah jaminan rakaman tersebut tidak diedit dan dipotong mengikut kehendak BN seperti video Bersih 2.0, bahkan perkara ini dijangka berulang di video Bersih 3.0 versi BN?

Abdul Aziz Yusof juga berkata cadangan manifesto dibuat secara rakaman adalah bagi mengelakkan penyiaran bahan yang mungkin menyentuh peribadi seseorang, mengancam keselamatan dan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti kaum serta agama.

Jadi, soalan yang ingin ditanya pada beliau ialah bagaimana pula SPR nak bertindak terhadap BN yang berkempen setiap hari dalam media perdana termasuk melancarkan serangan peribadi?

Sudah menjadi tradisi BN yang secara terangan melanggar akta pilihanraya yang hanya membenarkan kempen sehingga jam 12 malam hari terakhir. BN terus berkempen menggunakan alat media kerajaan sampai hari menggundi.

PAS membantah siaran rakaman manifesto dan menuntut agar semua parti politik diberi ruang berkempen dalam media selama satu jam sehari dan membentang menifesto secara siaran langsung dan membanyakkan ruang debat dan dialog antara parti politik untuk dinilai oleh rakyat.

Wednesday, July 4, 2012

Anak dakwa pelabur jual semula saham FGVH

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa terdapat pemegang saham bertindak menjual semula saham mereka di Felda Global Ventures Holdings (FGVH) seleps dua hari ia disenaraikan.

Presidennya, Mazlan Aliman (gambar) berkata pihaknya dimaklumkan terdapat pelabur yang menjual semula saham mereka dalam FGVH selepas dinasihatkan pihak 'remisier' (agen saham) sendiri.

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan tahap ketidakyakinan mereka kepada kedudukan FGVH biarpun tidak sampai dua minggu ia disenaraikan.

"Dalam urusniaga saham ini, mana-mana orang yang membeli saham jarang mahu menjual saham ketika masih di awal penyenaraian. Dan mereka juga hanya akan membeli saham syarikat yang benar-benar mantap.  Jadi perkara ini (jual semula) menunjukkan ketidakyakinan mereka terhadap FGVH," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Selain itu, tambah Mazlan, pihaknya juga dimaklumkan sebanyak 20 peratus saham yang diperuntukkan kepada mana-mana pihak yang berminat masih tidak dapat dipenuhi.

Malah, dakwa beliau kerajaan juga dikatakan melarang mana-mana syarikat yang membeli saham FGVH itu menjual saham mereka dalam tempoh enam bulan selepas penyenaraian.

Larangan tersebut difahamkan bagi memastikan kedudukan saham FGVH berada dalam keadaan stabil sepanjang enam bulan ini.

Atas sebab-sebab dan risiko sedemikianlah, Mazlan berkata Anak dari awal menentang penyenaraian FGVH yang berorientasikan perkhidmatan ini ke Bursa Kuala Lumpur.

Namun, segala yang diusahakan Anak tidak diberi perhatian oleh kerajaan biarpun telah menggunakan pelbagai saluran untuk mencari titik perbincangan.

Mazlan, bagaimanapun berkata masih tidak terlambat bagi kerajaan untuk membatalkan penyenaraian bagi memastikan nasib peneroka yang dipertaruhkan masih boleh diselamatkan.  HarakahDaily.