Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Thursday, May 30, 2013

Pemuda PAS 'salute' Safwan Anang, Adam Adli


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyanjung tinggi keberanian anak-anak muda  dalam mempertahankan kebenaran meskipun mereka berdepan dengan risiko ditangkap dan dipenjarakan.

Naib Ketua DPPM Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, keengganan Safwan Anang untuk diikat jamin sebanyak RM 5,000 membuka mata semua pihak bahawa beliau adalah simbol rakyat yang dizalimi. 

"Beliau juga menunjukkan suatu sikap seriusnya anak muda dalam memperjuangkan demokrasi yang kian nazak di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Raja, kebangkitan anak-anak muda seperti Safwan Anang dan Adam Adli merupakan suatu fenomena luar biasa di negara ini. 

Di negara lain, adalah menjadi suatu tanda yang besar sekiranya mahasiswa serta anak muda sudah mula berani turun berhimpun, ia menandakan zaman gelap kepada pemerintah dan permulaan cerah untuk pembebasan bagi rakyat yang cintakan keamanan, kedamaian dan demokrasi yang sebenar.

Tambahnya, menjadi suatu hikmah yang besar pasca PRU ke 13 apabila anak-anak muda mempunyai kesedaran intelektual yang tinggi dalam berpolitik. 

"Anak-anak muda kini tidak lagi hanya memikirkan keseronokan dan kehidupan mereka semata-mata, sebaliknya mereka bangkit menuntut hak mereka yang ‘dicuri’ ekoran penipuan yang berlaku dalam PRU ke 13.

"Anak-anak muda kini sudah mula bercakap soal ketelusan, kejujuran dan kerajaan yang beramanah dalam memimpin negara," jelasnya lagi.

Raja berkata, penangkapan Adam Adli dan Safwan Anang adalah titik tolak kebangkitan anak-anak muda dan kerajaan tidak boleh menganggap penangkapan mahupun pemenjaraan ikon mahasiswa ini boleh mendiamkan mulut ratusan ribu anak-anak muda. 

"Justeru, sebagai tanda  solidariti kepada perjuangan anak-anak muda ini, DPPM dengan ini menawarkan untuk menanggung kos guaman buat Safwan Anang dan Adam Adli sepanjang kes beliau di mahkamah. 

"DPPM juga bersedia membantu dengan membekalkan peguam dari Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) bagi membela anak muda yang ditangkap, didakwa dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah," katanya. - HarakahDaily

Monday, May 20, 2013

GST: Rakyat diperas untuk BN terus boros

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan yang nekad mahu melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) pada kadar 7 peratus dilihat satu lagi projek untuk menekan rakyat sedangkan pada masa yang sama pemerintahan BN meneruskan sikap boros mereka.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Idris Jala bahawa Malaysia mampu memperolehi pendapatan negara mencecah sehingga RM27 bilion, jika GST dilaksanakan pada kadar 7 peratus, menunjukkan kerajaan BN kini dalam 
keadaan begitu terdesak.

"Dengan kenyataannya baru-baru ini menunjukkan Kerajaan BN yang baru ini begitu tamak dan terdesak mengurangkan kadar defisit dengan menaikkan cadangan asal dari 4 peratus kepada 7 peratus iaitu hampir sekali ganda. 

"Malah kadar itu dilihat lebih tinggi dari kadar cukai perkhidmatan dan jualan sedia ada sebanyak 6 peratus sahaja," katanya.

Menurut Nasrudin, sekalipun kerajaan BN mahu meningkatkan pendapatan negara, tidak perlulah menekan rakyat yang sedia terbeban dengan sedemikian rupa.

Katanya, masih terdapat banyak lagi cara lain khususnya dengan menukar dasar pentadbiran boros kepada yang lebih berjimat cermat.

Ianya termasuk penguatkuasaan kutipan Cukai Pendapatan yang perlu dibuat secara telus serta kutipan hutang kepada sektor swasta dan korporat khususnya dari kroni-kroni BN wajib dibuat secara jujur. 

"Kita tidak mahu hutang korporat dihapuskan begitu sahaja atas faktor menjaga kepentingan kroni seperti yang Kerajaan BN berikan kepada Tan Sri Tajuddin Ramli, dimana hutang korporat MAS berjumlah RM589 juta dihapuskan begitu sahaja sedangkan peminjam PTPTN dikejar sampai ada yang disekat ke luar negara dan dibawa ke Mahkamah kerana gagal membayar hutang.

"Pendedahan Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Parlimen sebelum ini, bahawa delegasi Perdana Menteri yang melawat London, New York dan Washington tahun lepas sahaja sudah mencecah RM 3 juta amat mengejutkan rakyat sedangkan anggaran sebenar bagi lawatan di tiga tempat ini hanyalah RM 400 ribu. Jika pembaziran seperti ini di teruskan oleh pemimpin BN, sampai bila pun negara akan terus mengalami belanjawan defisit," katanya. - HarakahDaily

Saturday, May 18, 2013

GST: Rakyat menangkan BN merasai sekarang



BUKIT MERTAJAM: Tidak sampai seminggu pembentukan kabinet baru Kerajaan Malaysia selepas Pilihan raya Umum Ke-13, BN terpaksa menggunakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai alasan kekurangan dana kerajaan untuk mentadbir negara lima tahun akan datang.

Justeru, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala kononnya, mekanisma pencukaian bahan itu boleh menjamin pendapatan tambahan sebanyak RM20 bilion hingga RM27 bilion apabila matang.

Menurut Anwar, selepas ini rakyat terpaksa menanggung GST yang telah diperkenalkan tetapi tidak 'didendangkan' berikutan musim pilihan raya umum tetapi selepas menikmati kemenangan, BN terus melaksanakanya tanpa mempedulikan penentangan rakyat.
"Tidak sampai seminggu pembentukan kabinet mereka (BN) sudah bercakap mengenai GST. Bagi mereka GST perlu untuk mengimbangkan dana yang sudah kurang ekoran keluar terlalu banyak masa pilihanraya umum lalu.

“Rakyat yang memenangkan mereka akan merasainya sekarang," terangnya ketika bercakap di majlis Jamuan Kemenangan Rakyat di Kubang Semang, Bukit Mertajam tengah hari tadi.

(Gambar: Anwar menyenduk nasi untuk tetamu.)

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, rakyat marhaen yang mengundi BN pasti 'berkerut muka' selepas ini kerana tertipu dengan janji manis ketika pilihanraya umum lalu.

Kemungkinan bagi mereka, katanya, kenaikan barangan tidak menjejaskan kehidupan kerana kenaikan itu tidak mahal malahan mampu dibayar jika dikenakan.

Sambungnya, itulah pemikiran orang Melayu, mereka pandang tidak jauh sebaliknya terpedaya dengan dailog pilihanraya walaupun diumpan dengan kain batik, kain pelikat dan wang BR1M.
Media melaporkan, Idris semasa bercakap pada Forum 'GE13' What Is means for business? (PRU 13-Apa Ertinya Bagi Perniagaan) berkata, Malaysia akan dapat menambah pendapatan hingga RM27 billion jika cadangan cukai GST sebanyak tujuh peratus dilaksanakan seperti di Singapura.
Bahkan dapat menjana dana tambahan bagi kerajaan untuk dibelanjakan bagi kesejahteraan rakyat seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto BN sebelum Pilihanraya ke-13 lalu. - HarakahDaily