Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Wednesday, November 27, 2013

Siapa terjun dari bahtera, dia tak selamat - Presiden PAS

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan seluruh ahli PAS berhati-hati dengan serangan pihak musuh yang cuba memecahbelahkan parti itu.

Menganalogikan serangan tersebut sebagai 'gelombang dari luar, yang menghentam bahtera PAS', beliau mahu pemimpin dan ahli PAS semua peringkat tidk terjun dari bahtera ini sekalipun mabuk dilanda gelombang tersebut.

"Gelombang dari luar itu cukup kuat, kayuh sama-sama hingga penghujung. Kadang-kadang saya bimbang orang kita mabuk dengan gelombang. Lebih malang yang mabuk itu sampai terjun bahtera.

"Jangan terjun bahtera ini. Sesiapapun yang terjun dia tidak akan selamat, termasuk juga ulama," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membuat ucapan penangguhan di Muktamar Tahunan PAS kali ke-59 semalam.

Terdahulu, beliau turut menafikan kewujudan pelbagai aliran pemikiran yang ada dalam PAS yang didakwa sesetengah pihak sebagai membawa kepada perbezaan akidah.

Sebaliknya, kata Ustaz Abdul Hadi tuduhan seperti itu hanya ditimbulkan oleh Umno, sedangkan di kalangan ahli PAS hanya berbeza dari segi latar belakang dan bukannya dari segi akidah.

"Tiada dalam PAS, Islam liberal, Islam ortodoks atau Islam protestan. Jangan dengar pandangan orang luar," katanya membuat penegasan.

Tambahnya, PAS melihat kepelbagaian latar belakang ini sebagai satu kekuatan kepada parti itu dengan berperanan secara kolektif. - PAS Pusat

Sunday, November 17, 2013

Umno salah guna RM40 juta selamatkan Utusan

KUALA LUMPUR: Tindakan Umno menyuntik dana tambahan RM40 juta kepada Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) adalah bukti nyata betapa terdesaknya parti itu untuk menyelamatkan syarikat seliaan 
mereka hingga sanggup menyalahgunakan wang kerajaan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, tindakan itu harus ditentang oleh menteri berfikiran waras dalam Kabinet kerana ia jelas membabitkan wang pembayar cukai atau wang rakyat.

“Ini adalah konflik kepentingan apabila kita tahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga merupakan Menteri Kewangan dan Presiden Umno,” ujarnya dipetik Roketkini.

Beliau berkata, berdasarkan peraturan, jika kepentingan Umno meningkat melebihi 2 peratus ia mesti membuat tawaran pembelian kepada pemegang saham lain.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam kenyataan, semalam berkata memandangkan usaha mereka untuk mendapatkan tawaran terbitan hak, parti itu perlu meningkatkan kepentingan sekurang-kurangnya 53.1 peratus dan ia sekaligus mewujudkan tawaran am mandatori.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas rancangan Umno menyuntik RM40 juta kepada Utusan melalui cadangan ‘two call rights issue’.

Pada 12 November lalu, Utusan mengumumkan kepada Bursa Malaysia akan meningkatkan terbitan hak kepada pemegang saham kira-kira RM40 juta.

Pua turut menyokong saranan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertindak bebas tanpa campur tangan Kementerian Kewangan untuk mengecualikan Umno daripada menjalankan tawaran am mandatori agar dapat memberi saham minoriti Utusan.

“Apa yang paling penting, SC perlu melindungi integriti pasaran kewangan negara. Bukan sahaja bertindak dengan adil, tetapi perlu dilihat bertindak adil serta telus kepada semua pelabur dan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut makluman daripada Bursa Malaysia, tindakan itu akan melonjakkan pegangan saham Umno dalam Utusan daripada 49.8 peratus kepada 53.1 peratus. - HarakahDaily

Monday, November 11, 2013

MP Sekijang mohon maaf kepada Mazlan

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Anuar Abdul Manap (gambar) hari ini
 membuat permohonan maaf di mahkamah terhadap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman.

Anuar yang juga Ahli Parlimen Sekijang dan seorang lagi defendan iaitu Ketua Penerangan MBFM Kelantan Wan Zawawi Wan Zain membuat permohonan maaf di hadapan Hakim Rusila Yup setelah mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

Mereka menarik balik kenyataan yang menuduh Mazlan Mazlan menyelewengkan wang RM30,000 yang dimenangi peneroka Felda Kemahang 3.

Mereka menuduh juga Mazlan sebagai penakut, pembohong, tidak bermaruah kerana dari jenis tidak tahu malu dan tidak jujur kerana menyelewengkan wang RM30,000.

Selain menarik balik kenyataan tersebut, mereka juga bersetuju untuk membayar ganti jumlah dalam jumlah yang akan ditentukan kemudian.

Kenyataan itu dikeluarkan Anuar ketika berucap di hadapan Wisma Felda, Jalan Semarak, dekat sini, pada 28 Disember tahun lalu.

Ekoran kenyataan itu, Mazlan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Februari lalu dan perbicaraannya bermula hari ini.

"Saya sangat berasa malu dengan tuduhan tersebut sebab itu saya kemukakan saman.

"Tapi hari ini nama baik dan reputasi saya dibersihkan di mahkamah dan saya sangat bersyukur dengan keputusan ini," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Kes Felda Kemahang 3, Tanah Merah ialah 354 peneroka menyaman Felda Palm Industries Sdn. Bhd. kerana menipu bawah (KPG) dalam urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Tuntutan saman itu difailkan oleh kesemua peneroka itu pada 22 September 2002 melalui peguam Wan Rohimi Wan Daud.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada peguamnya Harris Abdullah, Mazlan berkata beliau langsung tidak berniat hendak bermusuh dengan MBFM sebaliknya mengalu-alukan sebarang kerjasama yang boleh menambah baik kehidupan peneroka Felda.

"Saya harap dengan keputusan mahkamah ini saya dan Majlis Felda boleh duduk semeja membincangkan isu-isu Felda.

"Bagi saya musuh yang sebenar ialah mereka yang mengambil kesempatan ke atas peneroka.

"Kenapa ada di kalangan anak-anak peneroka menjadi mangsa kepada sikap piahk yang mementingkan poket mereka ini?

"Saya mahu duduk semeja berbincang mengenai isu-isu Felda dengan MBFM mengenai isu rumah generasi kedua, pemilikan tanah dan sebagainya," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mazlan juga menyifatkan kemenangan hari ini sebagai kejayaan berganda selepas menang saman malu bernilai RM380,000 ke atas kerajaan pada 25 Oktober lalu.

Mahkamah Tinggi Pahang memutuskan kerajaan perlu membayar ganti rugi am RM300,000, ganti rugi tauladan RM50,000, ganti rugi kos RM20,000 dan faedah penghakiman ke atas RM350,000 sebanyak lapan peratus bermula dari tarikh saman dimulakan pada 18 Ogos 2010.

"Saya anggap kejayaan hari ini sebagai kejayaan yang sangat besar bagi saya dan Anak dan saya merakamkan penghargaan kepada peguam Harris dan Wan Rohimi serta rakan-rakan seperjuangan," katanya. - HarakahDaily