Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Tuesday, December 16, 2014

FGV ???


Oleh kerana tiada sebarang reaksi dari YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Abd Razak, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana, Dato' Razali Ibrahim dan Pengerusi Felda mengenai kedudukan terkini FGVH, meskipun saham FGVH turun dan terus turun lagi pada hari ini, iaitu RM2.40 sesaham; maka Persatuan ANAK Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) mengambil beberapa langkah berikut:-
1. Menyerahkan memorandum kepada FGVH pada 23 dis jam 10 pagi di Pejabat FGVH,
2. Mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Securiti(SC)
3. Mengadakan Himpunan Perdana Selamatkan Felda 2.0 di Kerteh Terengganu pada 6&7 Feb 2015
4. Road Show Selamatkan Felda ke setiap negeri.
ANAK mengulangi desakan agar perkhidmatan Tan Sri Isa Abd Samad sebagai Pengerusi Felda dihentikan berkuatkuasa 31 jan 2014; manakala kedudukan bekas Pengarah Besar samada Dato' Dzulkifli Abd Wahab atau pun Dato' Faizoull Ahmad dikaji semula demi keharmonian dalam Felda.
Plan pemulihan Felda serta FGVH WAJIB di segerakan demi menjaga kepentingan 112,635 orang peneroka dan 23,000 kakitangan Felda di seluruh negara.

Tuesday, December 2, 2014

Sudah tentunya bukan penduduk Matau

PAS bersama merasai kesedihan penduduk Matau bila mana Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak permohonan mereka bagi mendapatkan hak menduduki kediaman yang telah meraka bina sejak lebih 40 tahun.
Harapan kepada Mahkamah Rayuan mendengar rintihan mereka ternyata musnah bersama runtuhan rumah mereka oleh tangan-tangan rakus dan zalim.
Inilah nasib rakyat marhaen dalam menghadapi kemelut harga barangan dan kos hidup yang tinggi, kediaman mereka pula akan dihancurkan dengan sebahagiannya dibayar saguhati antara RM10,000 - RM20,000 sahaja.
Apalah nilai sebanyak itu berbanding kediaman dan harta-harta yang telah mereka kumpul berpuluh tahun?
Sayang kita punya kerajaan yang lebih mesra pemaju berbanding rakyat. Slogan rakyat didahulukan hanyalah pembohongan bagi mengizinkan kekuasaan diperolehi. Bukan rakyat didahulukan untuk mendapat perlindungan, tapi kepentingan rakyat dikorbankan terlebih dahulu.
Walaupun penduduk Matau telah melakukan pelbagai ikhtiar, bertemu PM, MB dan berpuluh kali dialog dengan Pentadbiran Tanah Daerah, namun semua usaha mereka lenyap bilamana mereka tetap ingin mengambil alih perkampungan tersebut untuk diserahkan kepada pemaju.
Kini sebuah lagi perkampungan orang Melayu akan dimusnahkan bagi menggantikannya dengan warga asing, dan bangunan-bangunan kedai yang berharga antara RM600,000 ke RM1 juta - orang Melayu mana yang mampu membelinya?
Sudah tentunya bukan penduduk Matau. - HarakahDaily

Wednesday, November 26, 2014

63 tahun: PAS tidak pernah khianat rakan tahaluf

SAMBUTAN 63 tahun PAS perlu diadakan kerana ia boleh dijadikan medan untuk 
memperkukuhkan parti. Justeru, semua pihak dalam PAS perlu memainkan peranan berkesan ke arah itu. Isu politik Selangor turut dilihat mempunyai hikmah tersendiri kerana ke semua pihak dalam PAS kini mahu aktiviti tarbiyah dan usrah diperkasakan lagi. Tahaluf siyasi PAS dengan Pakatan Rakyat pula perlu diteruskan kerana ia selari dengan amanah perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS dan pendekatan Islam adalah rahmat.

HARAKAH: PAS akan mengadakan sambutan sempena 63 tahun penubuhannya pada 29 hingga 30 November ini. Pada pandangan Ustaz, apakah PAS perlu mengadakan sambutan itu?  

USTAZ DATO' TUAN IBRAHIM TUAN MAN: Kita rasa sangat perlu sambutan itu diadakan. Pertama, untuk memberikan pendedahan tentang sejarah perjuangan PAS terutama sekali kepada ahli-ahli baru supaya mereka tahu sejarah perjuangan PAS, jatuh bangun PAS sejak ditubuhkan dulu hingga sekarang. Perjuangan PAS bukan sahaja dalam politik, tetapi juga dalam dakwah. Sejarah perjuangan PAS itu amat penting didedahkan untuk dihayati generasi baru. PAS bukan melalui perjuangan yang senang. Sejak ditubuhkan dulu, ada pemimpinnya yang dipenjarakan dan dibunuh. Ini perlu dihayati dan difahami generasi baru.

Kedua, untuk mewujudkan muafakat di kalangan pimpinan PAS sebab dalam PAS sebenarnya tak ada kelompok tertentu, tidak seperti yang disebut oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan golongan ulama dan golongan profesional dalam PAS. Sebaliknya semua ahli-ahli PAS berada dalam satu jemaah dalam PAS.

Ketiga, bagi mempertingkatkan momentum di kalangan ahli-ahli PAS untuk menghadapi PRU ke-14 yang pasti lebih mencabar.

Bagaimana pencapaian PAS dalam politik pada pandangan Ustaz sejak dulu hingga sekarang?
Saya tengok ada pencapaian yang sangat baik dari segi politik dalam PAS, terutama terhadap sayap PAS sehingga sayap PAS dah buat semua perkara yang diperlukan dalam bidang pendidikan. Sekarang dalam pendidikan, PAS dah berjaya menubuhkan PASTI bagi pendidikan pra sekolah, sudah berjaya menubuhkan sekolah rendah dan menengah Islam.

Pencapaian PAS dalam politik pula sangat baik. Dulu PAS tak ada sokongan non muslim, sekarang kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). DHPP itu sendiri juga ada mesyuarat dan pemilihannya sendiri di peringkat negeri-negeri dan di peringkat pusat.

Hasil kerjasama kita dengan Pakatan Rakyat, PAS berjaya mengekalkan pemerintahan di Kelantan, mendapat sokongan yang semakin baik di negeri-negeri lain termasuk di Terengganu, Perak, Kedah, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. PAS juga akan melebarkan sayapnya di Sabah dan Sarawak.

Pencapaian baik yang lain bagi PAS hasil kerjasama dengan Pakatan Rakyat adalah pencapaian dari sudut kejayaan dakwah kita yang sudah mula diterima oleh masyarakat. Ini dilakukan di bawah lajnah dakwah yang bergerak bersama dengan lajnah kebajikan, termasuk dalam memberikan pertolongan kepada masyarakat terutama di luar bandar yang mengalami kesusahan dalam ekonomi, di samping kita memberikan bimbingan ilmu agama. Semua itu adalah pencapaian yang sangat baik bagi PAS. Cuma sekarang, kita berhadapan dengan media baru dan ini perlu kita uruskan dengan lebih harmoni.

Sebelum ini, PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Umno dan BN yang dikenali sebagai Perikatan. Apakah pengajaran yang diperolehi PAS hasil tahaluf siyasi dengan Perikatan itu?

Tahaluf siyasi dengan Perikatan memberikan pengalaman yang sangat penting kepada PAS untuk menguasai politik di Malaysia. Pertama, semasa keputusan dibuat sudah berlaku perpecahan dalam PAS hingga tertubuh beberapa parti lain. Kejayaan besar kepada PAS hasil tahaluf siyasi PAS bersama Perikatan pada tahun 1970-an itu, ia berjaya mengangkat imej-imej Islam termasuk larangan minum arak di Parlimen, mempertingkatkan kefahaman agama kepada ahli-ahli Parlimen, memperkasakan lagi Felda di seluruh negara kerana pada masa itu Dato' Asri menjadi Menteri Tanah. Ini sekali gus mempertingkatkan lagi kebangkitan Islam di Felda.

Pengalaman PAS bersama Perikatan juga banyak membantu PAS untuk persiapan mengambil alih teraju pemerintahan negara pada masa depan. Setiap tahaluf yang diadakan, PAS tak pernah rugi. Tahaluf dengan S46 membolehkan PAS menawan Kelantan, tahaluf dengan Pakatan Rakyat pula membolehkan PAS mendapat lebih sokongan di beberapa buah negeri termasuk di Negeri Sembilan dan Selangor sehingga Pakatan Rakyat berjaya memerintah di Selangor.

PAS pula tak pernah khianat kepada rakan-rakan yang bertahaluf dengannya. Cuma pihak musuh, Umno-BN sahaja yang kata sebaliknya untuk melaga-lagakan kita termasuk dengan Pakatan Rakyat sekarang. Ini perlu dihadapi dengan baik oleh kita kerana setiap tahaluf yang kita buat berjaya membantu kita dalam usaha menegakkan Islam.

PAS juga pernah bertahaluf siyasi dengan beberapa parti lain sebelum ini termasuk dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46) atas ikatan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Apakah keuntungan yang diperolehi oleh PAS dalam politik menerusi tahaluf siyasi bersama APU itu?  
Pertama sekali, hasil tahaluf dengan S46 itu, kita boleh duduk sekali dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi membantu mempertingkatkan lagi kefahaman Islam kepada beliau. Pada hal, Tengku Razaleighlah yang dulunya yang mencetuskan mageran di Kelantan bagi menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan. Hasilnya pula, PAS berjaya menang 39-0 di Kelantan dalam pilihan raya yang diadakan setelah PAS bertahaluf siyasi dengan S46.

Ini membuka mata masyarakat mengenai realiti sebenar bahawa selain daripada Umno-BN, ada parti lain yang boleh memerintah dan lebih baik daripada Umno-BN sendiri, setelah orang ramai terutama di luar bandar berjaya dipengaruhi oleh Umno-BN yang kononnya hanya Umno-BN sahaja yang boleh memerintah di negara ini.

Apakah perbezaan tahaluf siyasi PAS bersama APU dan Pakatan Rakyat sekarang?
Masa bersama APU dulu lebih kepada masyarakat Melayu sahaja kerana tahaluf yang diadakan oleh PAS itu adalah hanya sama-sama parti orang Melayu-Islam. Sekarang dalam Pakatan Rakyat, PAS juga bertahaluf siyasi dengan DAP yang majoritinya bukan orang Melayu-Islam.

Sebelum bersama Pakatan Rakyat, PAS dihalang dengan berbagai cara untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat. PAS dikekang dari menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan. Akhirnya orang PAS menjadi lebih bersemangat. Ukhwah dalam PAS menjadi lebih baik. Usrah, tamrin dan program-program tarbiyah dihidupkan pada masa itu. Sekarang dengan tarbiyah kita itu, kita terus maju ke hadapan bersama Pakatan Rakyat yang lebih memudahkan kita menyebarkan dakwah kepada non Muslim. Hasil tahaluf dengan Pakatan Rakyat juga, PAS semakin diterima baik di Sabah dan Sarawak. 

Pada pandangan Ustaz, apakah PAS telah matang dalam politik sekarang dan selaras dengan usianya?

Ada perkembangan positif mengenai kematangan politik kita sekarang. Hasil tahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat, PAS semakin diterima di kawasan-kawasan bandar dan di pinggir-pinggir bandar. Masalahnya sekarang hanyalah di luar bandar kerana masyarakat luar bandar masih bergantung kepada kerajaan dari segi ekonomi. Mereka tahu penyelewengan Umno-BN, tapi mereka masih kuat pergantungannya kepada Umno-BN bagi mendapatkan bantuan-bantuan kerajaan termasuk BR1M.

Kalau sokong PAS, mereka rasa mereka akan hilang bantuan itu. Ini masalah kesedaran masyarakat luar bandar. Mereka pula kurang akses media baru, kecuali di kalangan anak-anak muda. Inilah antara cabaran dalam politik yang perlu dihadapi oleh kita dengan baik. Dengan adanya sambutan 63 tahun PAS ini, kita harap ia akan memberikan hasil yang lebih baik kepada PAS dalam menghadapi cabaran ini. 

Ada pandangan nakal segelintir dalam PAS yang mahu PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. Bagaimana pandangan Ustaz dalam hal ini?

Saya tengok macam ini. Perjuangan kita dalam PAS ini adalah untuk membawa amanah perjuangan Islam. Perjuangan kita dalam PAS ikut amanah Islam dalam politik. Kita nak menang pun kerana untuk membawa amanah Islam. Mereka bimbang takut mesej amanah itu tak boleh dibawa jika bersama Pakatan Rakyat. Itulah sebab mereka berpandangan sedemikian.

Tapi realitinya, politik di Malaysia ini, rakyat nak perubahan besar. Jika hanya dengan satu parti sahaja, kita tak boleh tukar kerajaan. Umno pun jika Umno sahaja tak boleh menang atau tak boleh perintah negara. Itulah sebabnya Umno pun kena bekerjasama dengan parti-parti lain, MCA, MIC, Gerakan dan beberapa parti lain dalam BN.

Jadi dari segi realiti politik, kita kena kekal bersama Pakatan Rakyat. Kita kena membawa amanah kita untuk mengangkat martabat Islam bersama Pakatan Rakyat. Jika bersama Pakatan Rakyat, kita ada ruang dakwah kepada orang bukan Islam. Kalau kita keluar Pakatan Rakyat, kita bimbang akan balik kepada keadaan lama iaitu susah untuk kita dekati non Muslim, malah masyarakat non Muslim menjadi makin jauh dengan Islam. Jadi sekarang, ia bergantung kepada sejauh mana gerak kerja kita dalam dakwah.

Mengenai usaha memerangi rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, agihan kekayaan yang tidak adil kepada negeri-negeri, federalisme, itu adalah isu-isu yang sudah diterima umum oleh masyarakat. Selain itu semua, kita dari PAS ada amanah khusus, iaitu amanah menjaga Islam. Kita mesti terjemahkan amanah perjuangan kita dengan mengambil pendekatan Islam yang sebenar iaitu Islam sebagai rahmat.

Sekarang pun ada dua aliran. Satunya aliran pemikiran liberal atau aliran kiri, satu lagi aliran yang terlalu ekstrem. Kedua-duanya itu bukan ajaran Islam. Islam mengajar umatnya membawa perubahan dengan rahmat sama ada dari segi ekonomi, politik dan sosial. Inilah yang perlu diketengahkan dalam masyarakat. Jadi tanggungjawab untuk menang dalam pilihanraya dan membawa mesej Islam itu mestilah berjalan sekali, tak boleh dipisahkan.

Mereka yang bimbang jika mesej amanah perjuangan Islam itu tak boleh dibawa jika bersama Pakatan Rakyat hingga timbulnya pandangan itu perlu faham perkara itu. Kita kena faham bahawa perjuangan politik dan dakwah mestilah diperkasakan. Dalam masa yang sama, program-program tarbiyah, usrah, tamrin, liqa' fikri, rehlah, wacana akademik juga mestilah diperkasakan lagi.

Tetapi banyak pihak dalam PAS sendiri merungut, program tarbiyah makin kurang, sehingga kemanisan ukhwah semakin hilang dalam PAS sekarang.  

Itulah akibatnya bila kita terlalu fikirkan soal politik semata-mata, sehingga terabai soal tarbiyah. Bila timbul isu-isu politik di Selangor, kini orang mula fikir soal tarbiyah dan perkasakan usrah. Inilah pula hikmah di sebalik krisis yang berlaku di Selangor. Baguslah bila orang mula nak dalami tarbiyah dan usrah sekarang.

Bila kita ambil alih pemerintahan negara nanti, tenaga untuk menggerakkan program tarbiyah dan usrah akan menjadi semakin berkurangan kerana dalam masa yang sama tenaga-tenaga itu turut terlibat dengan pemerintahan negara dan negeri termasuk menjadi ahli-ahli majlis, NGO-NGO dan badan-badan lain dalam kerajaan sehingga menyebabkan kita semakin kekurangan tenaga untuk menggerakkan soal tarbiyah. Sekarang saya tengok, dengan isu-isu politik yang berlaku, orang mahu balik kepada soal dalaman parti. Ini yang baik yang positif dari apa berlaku.

DAP sekarang semakin lantang mengkritik PAS sehingga dilihat seperti mencabar PAS supaya keluar daripada Pakatan Rakyat. Dalam masa yang sama, ada pula pihak daripada PAS yang mencabar DAP sendiri pula supaya keluar daripada Pakatan Rakyat. Bagaimana pandangan Ustaz dalam hal ini?
Seperti kenyataan saya hari ini, tak ada parti dalam Pakatan Rakyat yang boleh suruh parti lain keluar daripada Pakatan Rakyat. Sebaliknya, hanya parti itu sendiri yang boleh tarik diri sendiri jika hendak keluar daripada Pakatan Rakyat. Jadi, DAP tak boleh suruh PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. PAS juga juga tak boleh suruh DAP keluar daripada Pakatan Rakyat.

Dulu, tahun 2000 lalu, DAP pernah keluar daripada pakatannya bersama PAS kerana tidak bersetuju dengan Enakman Kanun Jenayah Syariah yang digubal oleh PAS. Sekarang DAP masuk balik dalam kerjasamanya bersama PAS dalam Pakatan Rakyat.

Kita akui, ada perbezaan antara PAS dan DAP, tapi masing-masing dah setuju untuk menghormati dasar parti masing-masing. DAP pun dah faham dasar PAS. Contohnya isu hudud di Kelantan yang sudah wujud sebelum wujud Pakatan Rakyat lagi. Jadi DAP tak boleh pertikai perkara itu. DAP dah tahu Kelantan akan laksanakan hudud. Jadi, ini tak sepatutnya menjadi masalah kepada DAP.

Malah dalam PRU ke-12 dan PRU ke-13 lalu, ketika itu isu hudud dah timbul di Kelantan, tetapi kita tetap menang di Kelantan. DAP sendiri dah tahu benda itu. Jadi dalam soal kerjasama antara PAS dan DAP, isu hudud itu dah tak timbul. Begitu juga dengan soal kritikan terhadap dasar parti lain dan pemimpin parti lain dalam Pakatan Rakyat, sepatutnya tak berlaku sebab masing-masing dah faham perkara itu. Mengkritik dasar dan pemimpin parti lain dalam Pakatan Rakyat tak boleh. Itulah sebabnya PAS sendiri tak kritik dasar dan pemimpin DAP.

Sekarang, PAS kritik dalamannya sendiri. Itu tak apa. PAS tak kritik parti lain dalam Pakatan Rakyat. Dalam Pakatan Rakyat ini, kita kena terima realiti kekuatan parti masing-masing. Kita akui, DAP dominan di Pulau Pinang, manakala PAS pula dominan di Kelantan dan Terengganu. Setiap parti ada tapaknya. Di negeri-negeri lain seperti di Negeri Sembilan dan Selangor perlukan muafakat antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Sekarang saya fikir, mungkin kita perlu susun balik kerjasama dalam Pakatan Rakyat dengan model baru. Jika model lama ada polemik, model baru itu pula kita kena fikirkan supaya gabungan itu adalah gabungan yang lebih longgar, tidak sebagaimana gabungan hari ini. Kita perlu fikirkan model baru untuk bertanding dalam pilihanraya hanya satu parti sahaja dari Pakatan Rakyat yang lawan satu parti dari BN. Soal dasar di negeri-negeri yang dimenangi DAP dan PAS boleh ditentukan dasarnya sendiri oleh parti itu, sejajar dengan dasar parti masing-masing, selagi dasar itu tidak bercanggah dengan undang-undang negara dan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif.

Di Sarawak, Pemuda DAP dah isytihar tidak mahu bekerjasama dengan PAS. Jadi, apakah PAS akan turut berlawan dengan DAP dalam pilihan raya di negeri Sarawak nanti?    

Sepatutnya kita tidak berlawan sama sendiri. Jadi PAS akan berusaha supaya tidak berlawan dengan DAP di Sarawak. PAS akan bertanding di Dun yang telah dipersetujui. Kita akan cuba minimakan pertembungan sesama sendiri. Mungkin akan ada juga pertembungan antara PAS dan DAP nanti, tapi mungkin hanya di satu dua kawasan sahaja kerana kita sendiri pun akan cuba minimakan pertembungan itu.

Keadaan di Sarawak sebenarnya, yang banyak berlaku pertembungan dalam pilihan raya antara DAP dengan KeADILan. Kalau berlaku pertembungan dengan PAS adalah antara PAS dengan KeADILan. Tetapi dalam konteks di Sarawak, kita akan bertanding di kawasan yang kita boleh menang. DAP dan KeADILan pun akan bertanding di kawasan yang mereka boleh menang. Apa pun, kita tak boleh bagi kemenangan percuma kepada BN. Dalam pilihan raya di Sarawak nanti, mungkin ada pertambahan kawasan yang akan ditandingi PAS. 

Apa yang terjadi di Sarawak itu, keputusan untuk keluar daripada kerjasama dengan PAS itu dibuat oleh Pemuda DAP di negeri itu. Puncanya kerana isu hudud di Kelantan. Pada hal perkara itu tak ada kena mengena dengan negeri Sarawak. Malah, isu hudud di Kelantan itu pun dah muncul sebelum PAS mengadakan tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat lagi.

Jadi DAP Pusat patut ambil inisiatif bagi menyelesaikan perkara ini. PAS tak boleh buat apa-apa untuk menyelesaikannya sebab PAS tak boleh campur tangan dalam parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat. Usaha itu perlu dilakukan di peringkat pusat dan kita serahkan kepada DAP Pusat bagi menyelesaikan masalah pemudanya di Sarawak itu.

Bagaimana hendak menyatukan kembali ulama dan profesional dalam PAS yang kini masih lagi berbalah sesama sendiri termasuk di media baru?

Kita harap dengan adanya sambutan 63 tahun PAS ini, kita akan pergi kepada titik persamaan antara kita. Dalam masa yang sama, kita perlu banyak duduk semeja, perbanyakkan lagi perbincangan sesama kita. Dengan sambutan 63 tahun PAS ini, langkah yang perlu dilakukan, pertama, kita harap semua pihak sama ada ulama dan profesional masing-masing memainkan peranan penting bagi penyatuan kita dalam PAS.

Kedua, mana-mana benda dasar parti hanya boleh diputuskan oleh Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Penerangan PAS Pusat dan Setiausaha Agung sahaja. Kenyataan-kenyataan daripada lajnah-lajnah atau dewan-dewan boleh dibuat oleh wakil lajnah-lajnah atau dewan-dewan bagi mewakili lajnah-lajnah atau dewan-dewan terbabit, tetapi posisi parti serahkan kepada Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Penerangan PAS Pusat dan Setiausaha Agung.

Ketiga, benda-benda yang boleh timbulkan polemik hendaklah dihentikan, walaupun tulisan kita itu hebat. Ini penting kerana apa pun akhirnya, fokus kita hendaklah memperkasakan parti. Jadi kita patut kenal pasti siapa kawan dan siapa musuh kita dalam politik. Jangan lebal melebal sesama sendiri. Semua agensi perlu memperkukuhkan parti, bukan merugikan parti sendiri. – HARAKAHDAILY 26/11/2014

Monday, November 17, 2014

PAS berbeza dengan kumpulan lain di Malaysia

KUALA LUMPUR: PAS berbeza dengan kumpulan lain yang berada di Malaysia, tegas Presiden
 PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ini, jelasnya PAS merupakan salah satu gerakan islah dan tajdid yang menghadapi cabaran semasa di tanah air ini, lapor Buletin Online.

Katanya, PAS adaah gerakan Islam yang tersendiri mengikut waqi’ di negara Malaysia dan ia berbeza dengan Ikhwan al-Muslimin atau mana-mana gerakan Islam yang lain.

“PAS adalah PAS. Ikhwan adalah Ikhwan. PAS adalah gerakan yang tersendiri mengikut waqi’ di tempat kita dan kita berhubung dengan semua gerakan Islam seluruh dunia," ujarnya ketika berucap pada Majlis Hari Keluarga Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu di pantai Kelult, Marang kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, antara ciri gerakan Islam adalah berdakwah kepada perkara yang baik, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

"Tajuknya addakwatul ilal khair, objektifnya ialah al-amru bil makruf wannahyu anilmunkar

"Para ulamak menafsirkan addakwatul ilal khair adalah seluruh ajaran Islam yang berkait dengan aqidah, syariat, akhlak dan segala sistem untuk melaksanakan ajaran itu, yang wajib direalisasikan melalui amal makruf dan nahi mungkar, sehingga kemuncaknya mendirikan negara yang mendaulatkan syariat Allah,” tegasnya.

Namun begitu, katanya, tidak menjadi masalah sekiranya ada kumpulan Islam yang tajuknya berdakwah dan amar makruf sahaja dan tidak ada nahi mungkar serta yang bersifat pendidikan dan kebajikan sahaja

Tetapi yang penting, ujar beliau, bagi umat Islam mesti ada satu kumpulan yang melaksanakan ketiga-tiga perkara itu, sehingga berjaya mendaulatkan Islam yang menyeluruh, bagi melaksanakan tujuan manusia berada di atas muka bumi. HarakahDaily

Wednesday, November 5, 2014

Sesat: Dewan Ulamak PAS serah memo kepada Ku Nan

PUTRAJAYA: Dewan Ulamak PAS Pusat  hari ini menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku mansor berhubung kenyataan beliau yang menuh PAS sebagai parti ajaran sesat.

Penyerahan itu diketuai Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kepada wakil Tengku Adanan di Pejabat Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini tengah hari ini.

Turut hadir pada penyerahan itu Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Perak Ustaz Norazli Musa, Exco Dewan Pemuda Pas Pusat Nurul Islam Mohamed Yusof dan beberapa ahli parlimen PAS.

Mereka termasuk Idris Ahmad (Bukit Gantang), Nasrudin Hassan (Temerloh), Nik Abduh Nik Aziz (Pasir Mas),  Marzuk Shaary (Bachok), Dr.Izani Husin (Pengkalan Chepa).

Antara lain, kandungan memorandum itu mendesak Tengku Adnan memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan yang disifatkan tersasar itu.

"DUPP sekali lagi mendesak Datuk Seri Tengku Adnan menarik kembali tuduhan tersebut atau berdepan dengan tindakan undang-undang daripada PAS.

"DUPP bersedia untuk bermuzakarah untuk Datuk Seri mendapat pencerahan perjuangan PAS dalam menegakkan aqidah, syariat dan akhlak Islam di dalam negara ini," kenyataan itu dipetik.

Ahad lalu, Tengku Adnan yang juga selaku Setiausaha Agong Umno ketika berucap di Multaqa Kebangsaan Biro Agama parti itu  menuduh PAS parti ajaran sesat yang memesongkan akidah.

Menteri Wilayah itu juga mendakwa ajaran PAS hanya tahu memecah belah.

Sebaliknya kata Tengku Adnan, hanya Umno lah parti Melayu yang memastikan akidah umat Islam di Malaysia tetap terpelihara.

Sementara itu, Mohd Khairuddin ketika mengulas perkara itu berkata dakwaan Tengku Adnan bahawa Umno sebagai parti Melayu yang boleh memastikan akidah umat Islam terpelihara adalah tersasar dari realiti yang sebenar.

Sepanjang merdeka sejak 1951 katanya, Umno sebagai parti pemerintah yang berkuasa telah membiarkan pemikiran dan aqidah yang rosak berkembang seperti sekular, pluralisma dan liberalisma.

"Malah usaha menegakkan syariat Islam seperti undang-undang jenayah Islam masih gagal dinobatkan dan tidak dipandang serius oleh Umno selaku pemerintah yang mengaku Islam," tegasnya.-HARAKAHDAILY 5/11/2014

Saturday, October 25, 2014

KEMANA HALATUJU FELDA ???



Bagaimanakah nasib peneroka ketika

ini dan akan datang?

1. Harga komoditi kelapa sawit dan getah sedang jatuh merudum

2. Saham FGVH tinggal RM3.06 sesaham


3. Pendapatan peneroka semakin terjejas

4. Hutang/Kos Tanam Semula bertimbun

5. Pinjaman Felda dengan KWSP berjumlah 6.5 Bilion dijadualkan semula bayaran balik?

6. Felda Investment Corp(FIC) membuat pinjaman 1 Bilion dengan Maybank?

7. Felda boleh Kaveat dan ada kuasa ekskusif atas kebun peneroka seperti Perjanjian Pengurusan Tanam Semula.

8. Bajet 2015 tidak memberi penekanan isu kejatuhan komoditi dan perumahan Gen 2

9. KWSP dan KWAP mula melepaskan pegangan saham mereka dalam FGVH

FB Mazlan Aliman

Tuesday, October 21, 2014

Terus Beristiqamah - Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام , وفضلنا على كثير من الأمم. والصلاة والسلام على سيدنا محمد
نبي الرحمات, وعلى آله وأصحابه أفضل الصلوات وأزكى التسليمات.

Mukaddimah

Yang dihormati Dato’ Pengerusi Tetap, Sahibul Fadhilah Dato’ Timbalan Mursyidul ‘Am, Ashab al Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulama, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Dato’ Setiausaha Agung, Ketua-Ketua Dewan Ulama – Pemuda - Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS,  seluruh Anggota Dewan Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Pengarah Muktamar dan Ahli Jawatan kuasanya, sahabat-sahabat pimpinan dari Pakatan Rakyat, pimpinan NGO, Wakil-wakil Kedutaan Asing, semua para jemputan, para perwakilan, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.

Selamat datang (Ahlan wa sahlan wa Marhaban bikum) kepada semua rakan-rakan seperjuangan dan para tetamu jauh dan dekat,  serta para pemerhati yang sudi bersama kami dalam muktamar kali ini di Ayer Itam, Batu Pahat, Johor.

Muktamar pada kali ini juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan  ucapan takziah dan kebersamaan perasaan duka kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi pesawat hilang MH370 dan MH17 yang dibedil oleh pihak yang sangat tidak bertanggungjawab. Seluruh ahli dan kepimpinan PAS melahirkan kesedihan dan mendoakan agar seluruh ahli keluarga mangsa bersabar dan tabah dengan ujian ini. Kita juga mendesak pihak berkuasa kerajaan Malaysia supaya menggunakan seluruh tenaga yang ada untuk mencari kebenaran dalam tragedi negara yang sangat mengejutkan itu.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekelian,

Muktamar yang ke - 60 pada kali ini bertandang ke negeri Johor. Di sini lah pada awal 1920 bermulanya pengaruh Sarekat Islam apabila Haji Ibrahim Sidin dari Singapura menggerakkan penubuhan cawangan Sarekat Islam di Johor dalam keadaan masyarakat Islam menunggu lahirnya sebuah gerakan Islam dalam negara kita ini.

Bagi mengingatkan semua di kalangan pendukung parti ini, maka kita bermuktamar pada hari ini dengan tema Terus Beristiqamah. Kita ingin menyahut seruan Allah SWT :وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ . (الأنعام :153).

Dan sesungguhnya inilah jalan ku yang betul (istiqamah), maka jangan sekali-kali kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu akan pecah terpelanting keluar daripada jalannya (yang sebenar), begitulah Allah memberi peringatannya kepada kamu, supaya kamu bertaqwa (kepadanya).

Istiqamah dalam perjuangan kita ini, menuntut kita memahami erti sebenar manusia diciptakan, menerima amanah dari Allah SWT, dan seterusnya bersama kumpulan Islam menerusi PAS bagi memikul amanah khilafah ini. Ianya menuntut kita beristiqamah kepada panduan Allah dan Rasul dalam setiap gerak tindakan kita.

TERUS BERISTIQAMAH

Berasaskan kepada keyakinan terhadap teras perjuangan PAS inilah maka kita melafazkan rasa penuh syukur kepada Allah S.W.T. yang meletakkan kita dalam wadah Parti Islam SeMelaysia (PAS), di mana sejarah penubuhannya menjadi mata rantai perjuangan Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam.

Kita sama-sama memahami dan meyakini bahawa Islam adalah cahaya petunjuk Allah yang tidak boleh dipadamkan, maka selagi kita beristiqamah (konsisten) di atas landasan Islam dan matlamatnya yang ditetapkan oleh Allah dan ditunjukkan perjalanannya oleh Rasulullah S.A.W, maka kita tetap berada di pihak yang benar dan berpijak di atas landasan hidup yang teguh. Maka kita akan selamat di dunia dan akhirat, walau pun menghadapi keadaan rebah dan bangun, kalah dan menang, serta belum dilihat hasilnya di alam dunia ini.

Kita juga difitnahkan oleh berbagai golongan tertentu untuk mencalarkan Islam yang sebenarnya, walaupun Islam itu adalah paling sempurna dan murni. Fitnah itu sama ada daripada musuh luar yang mewarwarkan sementara waktu agenda Islamofobia atau menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan kelompok jahil yang bersemangat tinggi melalui  dalaman umat  Islam sendiri. Semuanya akan gagal kerana mukjizat ilmu dari al-Quran dan Sunnah adalah tetap terpelihara dengan rapi dan amanah.

Islam yang kita imani dan hayati ini adalah dari petunjuk  al-Quran (Kalam Allah) dan arahannya, supaya mengikut penafsiran Rasulullah S.A.W. yang dipilih oleh Allah bukan dipilih oleh kita. Manakala ilmu serta kebijaksanaan yang diwarisi pula adalah secara benar dan amanah oleh para ulama muktabar.

Bagi mengukuhkan kedudukan dan keaslian dasar perjuangan PAS, maka kita wajib beristiqamah bersama Islam serta berpegang kepada dasar yang digariskan dalam perlembagaan PAS. Ianya menggariskan bahawa hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMA’ ULAMA dan QIYAS. Istiqamah dalam perjuangan ini memberi makna yang jelas bahawa sebarang tindakan kita, samada dalam aspek politik, dakwah, tarbiyah; semuanya mestilah dalam panduan hukum yang tertinggi ini, manakala batasan pegangan PAS ini hendaklah berpandukan konsep Tafaqquh Fi al-Din.

Para pemimpin yang terdahulu daripada kita telah meletakkan asas yang kukuh dalam Perlembagaan PAS menerusi nukilan Fasal 3 dan 7 yang memperincikan tentang Hukum, Kekuasaan dan Majlis Syura Ulama. Ianya diikuti oleh Fasal 8 yang mewajibkan penubuhan Majlis Syura Ulama dengan tugas dan fungsinya yang jelas. Semuanya wajib difahami dan diamal oleh seluruh ahli dan khususnya kepimpinan di semua peringkat.

Sepanjang perjalanan PAS sejak ditubuhkan sehingga kini, denai yang kita ikuti adalah penuh dengan ujian dan sarat dengan pengalaman. Kita bermula daripada sifar, kita pernah menjadi pembangkang paling sedikit jumlahnya, kita pernah menjadi kuat, kita pernah menyertai kerajaan pusat dan kita juga sedang memerintah kerajaan negeri.

PAS pernah bersendirian dan bertahaaluf dengan pihak lain dalam kerajaan dan tanpa kerajaan. Dalam semua keadaan ini PAS tidak pernah rugi, kerana kita sentiasa beristiqamah di atas dasarnya yang kukuh dan matlamatnya yang nyata. Hanya mereka yang beristiqamah bersama PAS sahaja yang selamat, mereka yang tidak istiqamah jatuh berguguran di sepanjang perjalanan kita. Maka jangan ada orang yang merasakan dirinya cukup kuat, tidak bijak tidak sabar dalam perjuangan, merasa sangat bijak dan boleh sewenang-wenang menyanggah dasar dan matlamat perjuangan kita.

Sepanjang perjalanan perjuangan ini juga, ada di kalangan ahli yang hidup selesa dengan kegiatan Parti yang mengembirakan kerana bersama pengikut yang ramai, dan organisasi jamaah yang baik dan kuat. Ada pula ahli yang disisihkan di tengah masyarakat paling jahil dan zalim terhadapnya, cawangannya lemah atau tanpa cawangan.

ISTIQAMAH TERHADAP DISIPLIN ILMU DAN TARBIYAH

Kita mestilah meletakkan agenda ilmu dan beramal dengan ikhlas, bersama konsep tarbiyah yang sangat penting dalam parti. Tarbiyah mendidik diri masing-masing dengan ilmu dan kefahamannya, mengeratkan hubungan kita dengan Allah, hubungan dengan jamaah sendiri dan ahli, hubungan  dengan semua kumpulan Islam dan anggota masyarakat majmuk yang wajib diselamatkan bersama Islam dengan rahmat Allah dan adilnya.

Tarbiyah mengikut acuan Allah ialah, ilmu fardu ain dalam aspek aqidah, syariat dan akhlak secara menyeluruh menjadikan kita beristiqamah.  Ilmu dan amal yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim dan muslimah, ilmu yng diimani dan diamalkan, serta diperjuangkan demi menegakkannya dengan penuh keikhlasan. Ada pun mendalami Islam secara feqah dan semua ilmu keperluan duniawi berpandukan Islam adalah menjadi fardu kifayah bagi kewajipan yang memampukan kita melaksanakan risalah (mesej) rahmat Islam terhadap semua.

Kita telah berjaya menggabungkan semua kalangan ilmuan ini sejak mula ditubuhkan, sehingga PAS kaya dengan semua kepakaran terkini. Namun peningkatannya wajib dilakukan dalam semua aspek ilmu dan tarbiyah secara istiqamah. Untuk mendapat petunjuk dari Allah S.W.T. maka kita wajib memohon pertolongan Allah pada setiap rakaat salat:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ , اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ

ISTIQAMAH PAS DALAM MUWAJAHAH SILMIYYAH

Kita berada dalam bahtera negara yang sangat mencabar, bukan sahaja dikelilingi gelombang hubungan antara bangsa yang sangat bergelora, bahkan keadaan dalam negara ini sendiri yang sangat bercelaru, kerana tidak diurus dengan baik dan bijak. Walau pun begitu PAS tetap tegas memilih pendekatan muwajahah silmiyyah bersama konsep demokrasi walau pun banyak ketempangannya. Apa yang nyata ialah kita menghadapi kelemahan dalaman umat sendiri dan tanahair tempat kita berpijak, sangat berbeza dengan musuh asing yang datang menyerang dan menjajah. Inilah sabda Rasulullah S.A.W :
مَثَلُ القَائِمِ في حُدودِ اللَّه، والْوَاقِعِ فِيهَا كَمَثَلِ قَومٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سفينةٍ فصارَ بعضُهم أعلاهَا وبعضُهم أسفلَها وكانَ الذينَ في أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الماءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا في نَصَيبِنا خَرْقاً وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ تَرَكُوهُمْ وَمَا أَرادُوا هَلكُوا جَمِيعاً، وإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِم نَجوْا ونجوْا جَمِيعاً". رواهُ البخاري.
(Bandingan orang yang tegak di atas sempadan Allah dengan orang yang (MELAMPAU) menceroboh ke dalamnya laksana satu kumpulan yang menaiki kapal bahtera. Maka ada kalangan berada di atas dan ada kalangan yang berada di bawah.  Jadilah kalangan berada di bawah itu kalau memerlukan air terpaksa melalui kalangan yang berada di atas mereka. Lalu mereka berkata : “Kalau kita tebukkan sahaja kapal ini tanpa mengganggu sesiapa yang ada di atas kita ?. Kalau dibiarkan kapal ditebuk (oleh pengacau) mengikut kemahuan itu, nescaya semuanya binasa (tenggelam), kalau dihalangnya daripada menebuk kapal, nescaya semuanya selamat”).

Di sinilah PAS beristiqamah sehingga kita bersyukur apabila mencapai kejayaan walau pun sedikit peluang dan masanya, dan bersabar apabila belum mencapai kejayaan kerana banyak halangannya. Namun PAS tidak menjadikan rakyat yang lemah  sebagai mangsa yang disalahgunakan untuk mendapat kuasa, atau  sama ada kerana ingin menang dengan gopoh, atau tidak bersabar menunggu kemenangan yang dijanjikan oleh Allah, sehingga sanggup melakukan apa sahaja, walau pun rakyat yang lemah menjadi mangsa ditipu, dibeli dan dikacau atau tanahair ini menjadi bahtera yang ditenggelamkan.

Ahli-ahli  PAS wajib teguh dan bersabar walau pun terpaksa menghadapi kesulitan perjalanan yang jauh kerana amalan demokrasi yang tidak adil dan berdepan dengan rakyat yang jahil ilmu dan maklumat. Cabaran ini semua wajib dihadapi dengan istiqamah dan bersabar dengan penuh kebijaksanaan.

Perjalanan yang sangat mencabar ini, sebenarnya membersihkan Jamaah Islam seperti PAS daripada anasir hipokrit dan yang lemah imannya, dari individu yang tidak sabar dalam tindakan sehingga tidak istiqamah dalam perjuangan ini. Mereka sebenarnya adalah golongan yang tidak sabar dalam perjuangan. Marilah kita menghayati firman Allah:
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لاَّتَّبَعُوكَ وَلَـكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu dengan ramai, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: ""Jika kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu"" Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. [at-Taubah: 42]

MEMAHAMI IJTIHAD PAS: ISTIQAMAH DALAM TAHAALUF SIYASI

Sejarah perjuangan panjang PAS dalam persada politik tanahair bukan sahaja membekalkan kepada kita ilmu bahkan pengalaman yang tidak banyak diperolehi oleh gerakan Islam lain. Penglibatan PAS dalam sistem demokrasi memberi ruang kepada kita untuk melebar sayap pengetahuan tentang sistem politik Islam kepada rakan-rakan gerakan Islam lain di seluruh dunia. Manakala  pengalaman kita mengadakan pelbagai tahaaluf dengan hampir semua parti politik utama dalam negara sejak tahun lima puluhan lagi, dan terkini tahaaluf bersama Pakatan Rakyat, di samping penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)di kalangan bukan Islam, adalah merupakan khazanah kekayaan sistem politik Islam yang sangat mahal harganya.

Tahaaluf yang dilaksanakan ini mestilah memperkuatkan parti, dan bukan sebaliknya. Amat malang bagi kita sekiranya tahaluf ini menyebabkan ada pihak yang cuba melemahkan kita, mengkucar-kacirkan kita, sehingga ada yang pening dan mabuk lantaran sanggup berlawanan sesama sendiri.

Kerjasama politik bukan bermakna kita menyerap masuk ke dalam sistem lain, atau parti lain, sehingga hilang prinsip dan jati diri kita, atau hanya menjadikan ukuran kemenangan semata-mata sebagai matlamat, sehingga menghilangkan dasar parti bagi pelaksanaan Islam. Matlamat kemenangan mesti digunakan bagi memperteguhkan prinsip Islam yang bersifat syumuliyyah.

Saya ingin mengingatkan pimpinan dan ahli parti, bahawa perjuangan kita adalah kerana Allah. Perjuangan kita kerana Islam, perjuangan kita adalah mata rantai sejak zaman Rasulullah S.A.W. Perjuangan ini mestilah berada di atas landasan syarak dan memperolehi pahala di sisi Allah. Bukan sekadar politik biasa sebagaimana yang difahami oleh Barat. Paksi perjuangan kita mestilah teguh dan kukuh kerana ianya berpaksikan kepada aqidah tauhid.

Inilah keindahan siyasah Islam kerana membenarkan tahaaluf antara mana-mana golongan yang tidak memusuhi Islam. Prinsip tahaaluf ini membuktikan Islam bukanlah agama ekstrem sebagaimana yang dijaja oleh media barat. Sebagai sebuah gerakan yang berpaksi kepada al-Quran dan Sunnah, maka setiap langkah tahaaluf kita mestilah mempunyai sandaran dan terikat dengan syarat-syarat tahaaluf yang berpaksi kepada kedua sumber tersebut, tanpa merugikan kepentingan Islam. Firman Allah,
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : “Bertolong bantulah kamu dalam kebaikan dan taqwa, dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya” [al-Maaidah : 102]

Oleh yang demikian, dengan merujuk kepada syarat-syarat tahaaluf yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama PAS serta hukum tertinggi PAS, maka PAS akan terus istiqamah dengan tahaaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat (takbir) selama mana tidak berlaku pelanggaran syarat yang telah digariskan (takbir).  Justeru Nabi Muhammad saw telah mengajar kita:
المسلمون على شروطهم إلا شرطا حرم حلالا, او أحل حراما
“Seorang muslim wajib menunaikan persyaratan yang telah disepakati kecuali persyaratan yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.” (HR. Muslim)

Sepanjang sejarah perjuangan PAS, kita tidak pernah khianat kepada rakan tahaaluf kita, maka kita minta rakan tahaaluf kita juga tidak mengkhianati tahaaluf ini. (takbir) Sebagai sebuah parti politik besar, apa jua rancangan besar mestilah diputus bersama sebelum ianya dilaksanakan.

Dalam masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa tohmahan kononnya PAS  mahu menyertai UMNO atau bergabung dengan UMNO menyertai BN adalah api fitnah yang  dicetus oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk merosakkan reputasi perjuangan Islam dan memecah belahkan keutuhan jamaah kita. Namun sebagai sebuah jamaah Islam yang membawa rahmat kepada semua, kita tetap berpegang kepada prinsip Islam dan terus beristiqamah untuk memelihara perpaduan ummah berasaskan tali Allah.

PAS juga tetap menghubungkan silaturrahim dengan semua pihak berpandukan kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah, saling bantu membantu dalam usaha menegakkan syariat, membuka ruang dialog dan wacana demi kebaikan dan masa depan ummat Islam Firmah Allah:
وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَةَ اللّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. [al-Imran : 103]

ISTIQAMAH DALAM MENYANTUNI MASYARAKAT MAJMUK 

Walau pun tanahair kita ini mempunyai sumber alam kurnia Allah yang kaya raya, tenaga manusia masyarakat majmuk berbagai kaum, budaya dan kebolehan, namun ianya masih diolah dengan cara yang salah oleh kepimpinan negara kita. Sepatutnya dengan sumber-sumber yang ada dan kemampuan yang tersedia, ianya akan membolehkan kita merdeka dari berkiblatkan kepada timur dan barat. Tetapi apabila ianya tidak dimanfaatkan dengan cara yang betul, maka sumber yang berfaedah itu menjadi sia-sia dan masa sudah lama terbuang, walau pun dikatakan merdeka daripada penjajahan asing sejak lebih daripada setengah abad mempengaruhi kita.

Inilah akibatnya apabila kita masih meneruskan agenda penjajah yang dijadikan pusaka oleh kalangan tertentu yang masih bertapak mempertahankan kuasa dengan apa sahaja tanpa melakukan perubahan dan islah walau pun tanpa maruah  diri kerana sarat dengan kesalahan dan kelemahan. Akhirnya kita berterusan berada dalam kepompong sistem warisan penjajah walau pun bebas daripada penjajah ketenteraan dan imperialis asing, namun kita masih dibelenggu dengan penjajahan pemikirannya.

Masyarakat majmuk yang sengaja diatur oleh penjajah dahulu adalah bertujuan untuk meneruskan masalah perpecahan kaum yang sentiasa diapi-apikan, bagi mengekalkan peluang mereka menjajah lagi secara halus. PAS menerima kepelbagaian masyarakat dalam negara kita ini sebagai jalan untuk saling kenal mengenal dan memperkuatkan di antara satu sama lain. Sepatutnya kita berpegang kepada konsep berbagai kaum yang ditunjuk oleh Al Quran:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
 (Wahai manusia !, Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa -bangsa dan bersuku kaum, supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia kalangan kamu di sisi Allah, ialah orang yang paling bertaqwa (mentaati Allah). Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha mendalam pengetahuannya) [al-Hujurat : 13].

Islam juga memperkenalkan konsep masyarakat madani secara sejagat, dalam amalan politik, ekonomi dan social, dengan ilmu dan berakhlak tanpa paksaan dalam perkara agama dan budaya dan saling mengerti. Kita juga sedar bahawa ada perbezaan bangsa dan agama serta pertembungan budaya dan tamadun di antara satu sama lain, tetapi Islam berjaya menyelesaikan masyarakat majmuk melalui pendekatan  banyaknya  titik persamaan dari segi fitrah kemanusiaan  dan keperluan hidup bermasyarakat.

Di antaranya ialah memperkenalkan konsep adil terhadap semua yang menjadi ciri ketakwaan dalam ajaran Islam yang meninggikan martabat manusia di sisi Allah. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللّهَ إِنَّ اللّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, Jadilah kamu orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali dengan sebab kebencian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dengan mendalam apa-apa sahaja yang kamu kerjakan [al-Ma’idah : 8]

Sebab itulah kedatangan Islam ke negara lain dinamakan Futuhat (pembukaan untuk pembebasan daripada kezaliman), bukannya Isti’mar (penjajahan). Kerana pemerintah Islam tidak memperhambakan rakyat dan merampas harta rakyat dan harta negeri yang dikuasai, konsep yang sangat berbeza dengan penjajahan (Imperialisme) yang dilaksanakan oleh penaklukan barat terhadap negara lain, dan kerajaan zalim daripada bangsa sendiri.

ISTIQAMAH TERHADAP PRINSIP DALAM BERNEGARA

Islam juga telah memberi sumbangan besar kepada tamadun dunia yang maju pada hari ini dengan mengambil segala yang baik dan positif daripada tamadun semua bangsa sebelumnya yang bertembungan, bertukar kepada pertautan dengan konsep menerima segala yang ma’aruf dan menghapuskan segala yang mungkar dalam seluruh kehidupan manusia, serta mencari dan mengekalkan kebijaksanaan kaum lain, walau pun daripada kalangan bukan Islam, kerana sabda Rasulullah S.A.W :
الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها فهو أحق بها
ابن ماجه
Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia menemuinya, maka dialah yang berhak (mengambilnya).

Islam tidak memaksa perkara yang haram dalam ajaran Islam terhadap pihak lain dan mereka juga diwajibkan menjaga sensitiviti umat Islam. Amalan menghormati agama lain ini telah berlaku dalam masyarakat Islam terhadap bukan Islam sehingga kini. Hal ini dapat difahami oleh penganut Islam yang sebenar walau pun dalam keadaan negaranya tidak beramal dengan syariat Islam yang sempurna.

Di zaman Islam menjadi kuasa besar dunia, berbagai bahasa termasuklah bahasa Arab, Turki, Farsi, Urdu  pernah menjadi bahasa rasmi negara berkenaan, bahkan bahasa Melayu tulisan jawi menjadi bahasa rasmi alam Melayu. Tamadun Islam pula berjaya ditegakkan dengan kemajuan ilmu semasa. Mengapa kini kita tidak mampu memperkasakan bahasa Melayu yang hanya diisytiharkan menjadi bahasa kebangsaan, tetapi dalam pelaksanaannya dipinggirkan? Walau pun bahasa ini telah menjadi bahasa perantaraan di rantau ini. Ini adalah salah satu contoh kegagalan kerajaan yang ada ini setelah memerintah lebih dari setengah abad.

Apa yang sepatutnya berlaku ialah, bahasa asing ini digunakan untuk mendapat dan memperluaskan ilmu, dan bukannya dipaksakan ke atas semua rakyat. Ada pun mengilmukan rakyat hendaklah dengan bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda kaum masing-masing. Firman Allah:
وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ
(Dan di antara tanda-tanda (ketuhanan Allah) ialah ciptaan langit dan bumi, dan berbagai-bagai bahasa dan warna kalangan kamu. Sesungguhnya itu semua adalah menjadi dalil-dalil  yang ditunjukkan kepada orang-orang yang berilmu) [ar-Rum : 22]

Islam juga mengharamkan assobiyyah.  Assobiyyah bermakna taksub terhadap kaum dan bangsa sendiri walau pun berlaku zalim. Perkara ini ditegaskan oleh sabda Rasulullah S.A.W.
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ» سنن أبي داود (4/ 332).
(Bukan daripada kalangan kita orang yang mengajak kepada asobiyyah, bukan daripada kalangan kita orang yang berperang diatas dasar asobiyyah dan bukan daripada kalangan kita orang mati kerana asobiyyah).

ISTIQAMAH MERUBAH KONSEP YANG SALAH

Pemisahan agama daripada urusan kehidupan manusia (way of life) dengan sistem pelajaran, pendidikan dan media maklumat adalah merupakan satu konsep ciptaan sekularisma barat yang tidak mampu menangani pekembangan ilmu sains dan teknologi yang berlaku dalam tamadun barat di waktu ini.

Dasar, sistem dan konsep pendidikan sedia ada pula masih gagal membangun insan yang sebenar, kerana membekal ilmu tanpa roh, iman dan akhlak. Semuanya kerana melaksanakan sistem pendidikan mengikut acuan sekularisme yang memisahkan ilmu daripada iman dan akhlak, dunia dan akhirat. Urusan keduniaan dipisahkan daripada agama. Pada hal Allah telah meletakkan acuannya dalam wahyu pertama kepada Rasulullah S.A.W.
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (1) خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (2) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ (3) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (4) عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ   (العلق:1-4).

Bacalah dengan nama Tuhan mu yang telah menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah (campuran mani lelaki dan perempuan). Bacalah dengan nama Tuhan mu Yang Paling Mulia. Dia telah mengajar manusia dengan kalam (alat tulis). Dia telah mengajar manusia apa-apa yang manusia tidak tahu. [al-‘Alaq : 1- 4]

Allah Tuhan pencipta alam seluruhnya, mencipta manusia dengan sifat fitrah yang diletakkan di alam bumi dengan tugas hamba Allah yang memakmurkannya dengan rahmat dan adil. Allah juga telah menetapkan kepada manusia, acuan ilmu yang mentarbiyah mengikut fitrahnya, disertakan kemampuan dan panduan yang betul. Konsep dan sistem yang menghubungkan manusia sesama mereka dan juga dengan makhluk yang lain di alam langit dan bumi, berprinsipkan iman kepada Tuhan pencipta alam dan beriman kepada adanya hari akhirat.

Kemusnahan semua kuasa besar yang paling kaya, kuat dan maju adalah apabila terkeluar daripada acuan Allah yang dibawa oleh para Rasul a.s. Maka PAS wajib beristiqamah di atas acuan Islam, tanpa peduli sama ada orang lain percaya atau tidak.

Apa yang paling menyedihkan kita ialah, di atas sifat gagalnya kita mendalami khazanah sumber Islam yang kaya itu, maka ada di kalangan masyarakat kita beranggapan bahawa ideologi ciptaan manusia seperti komunisme, sekularisma, sosialisma, kapitalisma dan seumpamanya ini sebagai tidak bersalahan dengan panduan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, maka PAS mestilah menjadi benteng umat Islam dari dirosakkan oleh penularan ideologi ciptaan manusia dari bercambah dalam masyarakat kita ini.

ISTIQAMAH MEMPERJUANGKAN SYARIAT ALLAH

Ketidak stabilan politik, ekonomi dan sosial berlaku apabila adanya manusia yang berlagak Tuhan yang maha suci daripada segala kelemahan dan kekurangan.  Keadaan ini berlaku apabila acuan sekularisma menjadikan kefahaman bahawa urusan dunia dipisahkan daripada agama yang meletakkan aspek kuasa Allah dan adanya kepercayaan hari akhirat dengan perhitungan dosa dan pahala.

PAS mengajak seluruh manusia dan umat Islam secara khusus supaya kembali kepada Syariat Islam yang sempurna tanpa kongkongan terhadap akal, pengalaman dan kajian ilmu kurnia Allah kepada mereka.

Islam menggalakkan kepada menggunakan akal, menuntut ilmu dan membuat kajian di seluruh pelosok bumi dan angkasa lepas, namun Allah yang memberi rahmatNya melimpah ruah terhadap manusia tidak membiarkan mereka hanyut dengan sebab kelemahan makhluk yang tetap ada pada diri mereka. Maka kitab Allah yang dibawa kepada umat ini iaitu Al Quran, adalah kurnia Allah yang wajib menjadi petunjuk yang diimani dan diamalkan. Hanya orang-orang yang beristiqamah sahaja menerima petunjuk ini. Firman Allah:
كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ لِمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللّهُ يَهْدِي مَن يَشَاء إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab dengan benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.

Berasaskan kepada hakikat inilah, maka PAS tetap istiqamah dalam memperjuangkan isu syariat Islam, termasuklah juga isu-isu pendidikan dalam negara kita, isu hubungan federalism yang lebih adil, pengagihan kekayaan dan sumber negara secara lebih adil, isu royalti petroleum ke negeri-negeri yang berterusan menjadi agenda penting, memupuk perpaduan kaum, dan menolak undang-undang yang bersifat zalim dan menindas. Agenda-agenda ini akan diteruskan menerusi Lajnah-Lajnah, PAS Negeri dan menerusi pembentukan jawatankuasa yang berkaitan.

ISTIQAMAH MENGISLAH EKONOMI NEGARA

Kerajaan baru sahaja mengumumkan prestasi terkini ekonomi Malaysia iaitu pertumbuhan 6.4% untuk separuh pertama tahun 2014. Namun secara keseluruhannya daya tahan ekonomi Malaysia masih belum kukuh dan mempunyai daya tahan yang sepatutnya. Ini mengambil kira hutang sektor awam yang masih tinggi dan defisit bajet negara yang masih tinggi.

Secara umumnya, PAS istiqamah untuk membangunkan sebuah sistem ekonomi berteraskan khazanah Islam yang sangat luas sehingga benar-benar dapat memobilisasi sumber-sumber kekayaan negara dengan baik dengan menggunakan ‘modal insan yang terlatih’ dan berakhlak, sehingga lahirnya kemakmuran dalam negara dan kesejahteraan rakyat.

PAS istiqomah dalam mendukungi matlamat membangunkan sebuah ‘Negara Berkebajikan’ yang bakal melahirkan suasana kemakmuran yang dikecapi oleh semua golongan rakyat. PAS sekaligus komited untuk terus berusaha membenteras kewujudan jurang kaya-miskin yang semakin melebar serta pembolotan kekayaan negara oleh segelintir manusia yang tersangat-kaya akibat dari amalan memanipulasi pasaran. Inilah yang menyebabkan tidak berlakunya persaingan sihat dan terbuka serta diparahkan lagi dengan amalan kronisme-nepotisme dan terbelenggu dengan penyakit ketirisan seperti yang laporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara saban tahun.

PAS mendesak supaya kerajaan membatalkan pelaksanaan GST kerana eko-sistem ekonomi Malaysia dan suasana mikro/makro ekonomi Malaysia masih tidak bersedia untuk GST. PAS mahukan sistem cukai pendapatan dikaji semula kerana wujud ketidakadilan dari segi cukai yang dikenakan kepada golongan berpendapatan sederhana (middle-income) berbanding yang sangat kaya. Kesemua ini, termasuk menghentikan pemberian AP kepada kroni-kroni, pastinya mampu menjana hasil untuk negara daripada langkah GST yang membebankan semua rakyat secara langsung.

Pengumuman Perdana Menteri tentang pertumbuhan KDNK 6.4% dalam suku kedua 2014 serta pengisytiharan yang dibuat seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa pendapatan purata rakyat Malaysia telah mencecah RM5,900 sebulan adalah “propaganda angka” yang biasa sahaja dilakukan kerajaan BN. Apakah makna angka-angka ini kepada rakyat teramai?

Kepada rakyat teramai, mereka mahu tahu mengapa negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan, adalah negeri-negeri termiskin di Persekutuan Malaysia, sedangkan negeri inilah yang paling kaya di segi hasil minyak dan dan gas serta kayu-kayan dan logam? Mereka tak mahu tahu tentang angka yang tidak ada erti dengan kehidupan mereka yang terbeban dengan kos saran hidup yang tinggi dan bakal di ’Gasak Sampai Tumbang’ oleh GST tahun depan?

PAS mahu Kerajaan bertanggungjawab terhadap menguruskan kekayaan negara supaya tidak berulang tadbir-urus yang memalukan seperti ditunjukkan oleh syarikat penerbangan negara kita, MAS, yang pernah menjadi kebanggaan rakyat dan menggondol pelbagai pingat dan anugerah. Jumlah hutang MAS berada pada tahap RM10 bilion kepada bank-bank tempatan dan RM2.5 bilion kepada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dalam bentuk sukuk.

Kita sama-sama lihat bagaimana kerajaan yang memiliki MAS pada masa itu telah memberikan kontrak yang sangat tidak adil seperti kontrak selama  25 tahun bernilai RM6.25 bilion yang antaranya mengenakan harga RM45 sebungkus nasi lemak, sebagai paling tidak wajar dan ‘zalim’ kepada rakyat untuk diteruskan. Inilah antara gaya  tadbir-urus pemerintahan UMNO-BN yang menjahanamkan aset-aset negara dan membawa kerosakan dan kemungkaran dalam ekonomi dan pembangunan.

Secara keseluruhannya dan prinsipnya, adakah kerajaan BN sendiri sebenarnya tidak yakin kepada ekonomi berkat dengan sifat takwa iaitu meninggalkan yang haram dan amalan haram seperti rasuah, dan salah laku dan boros? Firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَـكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Jika sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya [al-A’araf 96]

SERUAN KEPADA DEWAN-DEWAN DAN PAS NEGERI

Muktamar kali ini pula dilangsungkan setelah kita bermuktamar kurang dari setahun yang lalu, maka tentulah masih ada aspek tertentu dari muktamar lalu yang perlu dilihat-laksanakan kembali. Antaranya ialah pemantapan gerakerja Dewan Himpunan beserta dengan pembinaan modul-modul latihan yang bersesuaian untuk melahirkan ahli Dewan Himpunan (DHPP) yang mampu bergerak dengan lebih baik lagi sebagai satu dari sayap parti yang penting, menjadi jambatan atau pintu yang menghubungkan rahmat Islam perjuangan PAS kepada kaum bukan Islam. DHPP ini juga wajar dikembangkan ke setiap negeri, di mana peranan mereka dibina dan diperkuatkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri sendiri.

Kita juga telah bersetuju supaya semua PAS Negeri mesti berterusan mendekati medan baharu dalam masyarakat, dan mempunyai sekurang-kurangnya 50% program di kalangan ahli baharu atau masyarakat awam di luar lingkungan ahli jamaah. Penentuan petunjuk prestasi perlu dibangunkan, sebagai sasaran kerja yang lebih terarah.

Dewan-Dewan pula yang menjadi benteng perjuangan kita, wajar dibajai dengan persiapan diri dengan pengetahuan dan pengalaman yang mendalam sebelum turun ke medan memimpin masyarakat, dengan lebih memahami realiti politik semasa dalam masyarakat berbagai lapisan yang ada ini. Peluang kemenangan yang dilihat seperti hampir dan cabaran baru di era alam maya juga memerlukan ulama, pemuda dan muslimat untuk menguruskan cabaran tersebut secara berhemah dan berstrategi. Tarbiyah ulama, pemuda dan muslimat pula perlu dinamik, bukan hanya untuk melahirkan pemimpin parti yang murni fikrah perjuangannya tetapi juga untuk membentuk pemimpin masyarakat dan negara yang mempunyai sakhsiah, keterampilan yang tinggi dan mampu merungkai persoalan-persoalan besar yang mewarnai kehidupan bernegara.

ISTIQAMAH UNTUK MEMBAWA KEBAIKAN MENERUSI MEDIA BARU

Kebelakangan ini, PAS bukan sahaja diserang bertubi-tubi oleh media arus perdana yang masuk ke dalam setiap buah rumah sehingga mewujudkan situasi tidak seimbang di kalangan rakyat. Malah serangan dikalangan ahli-ahli PAS sendiri lebih teruk lagi menggunakan media sosial terutama FB, Twitter dan sebagainya sekarang ini sendiri seolah-olah mereka yang terlibat dalam perang siber ini sudah hilang punca. Firman Allah SWT:
أَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً وَمِنَ النَّاسِ مَن يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلَا هُدًى وَلَا كِتَابٍ مُّنِيرٍ
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah mempermudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada dilangit dan apa yang ada dibumi, dan telah melimpahlan kepada kami nikmat-nikmat-Nya yang zahin dan batin. [Luqman : 20]

Media baru dalam dunia tanpa sempadan ini sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan dakwah dan tarbiyah bagi memperbetulkan manusia dan mengembalikan manusia ke jalan yang benar.  Saya bersetuju dengan saranan Lajnah IT, Komunikasi dan Multimedia yang menyarankan tiga langkah jangka panjang yang boleh dijadikan polisi dan garis panduan dalam memanfaatkan komunikasi dan sebaran maklumat secara pantas melalui media baru ini agar lebih bertanggungjawab dan berhikmah iaitu:

- Tanggungjawab kepimpinan dalam memanfaatkan ICT dan Media Baru di mana kepimpinan dan ahli-ahli PAS perlulah memikul amanah dan bertanggungjawab dengan apa jua maklumat yang berpunca dari diri mereka.

- Memanfaatkan Laman Web dan Media Sosial rasmi PAS untuk sebaran maklumat rasmi organisasi dengan lebih bertanggungjawab, terurus dan mengandungi mesej dakwah dan kebenaran melalui proses penyebaran yang selamat.

- Sentiasa memantau saluran media baru seperti blog dan media sosial demi mengurangkan mafsadah dan fitnah agar kandungannya menguntungkan perjuangan Islam itu sendiri.

Media organ parti seperti Harakah dan Harakahdaily perlu dikembangkan kandungan dan capaiannya dari masa ke semasa terutamanya dalam menghadapi fenomena ledakan maklumat perang siber sekarang ini. Kerjasama pintar bersama dengan agensi media swasta dari rakan-rakan gerakan Islam yang lain diperingkat antarabangsa perlulah dimulakan.

Seperti yang ditegaskan dalam muktamar-muktamar sebelum ini, media parti seperti Harakah, Harakahdaily dan radio internet hijau.fm, mestilah berusaha membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang telah distrategikan bagi disampaikannya kepada rakyat yang menjadi pengundi senyap dalam pilihan raya bagi meghadapi PRU ke-14 nanti. Kita juga jangan sekali-kali terpengaruh dengan pendekatan sensasi-songsang yang bertujuan melariskan jualan semata-mata tanpa memikirkan hukum-hakam dalam melaporkan sebarang berita.

Marilah kita memahami peringatan yang dinyatakan oleh Allah SWT dengan firmanNya :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. [al-Hujurat :6]

LUAR NEGARA YANG BERGOLAK: ISTIQAMAH DALAM PERANAN KITA

PAS amat tersentuh dengan apa yang berlaku di bumi Gaza. Serangan demi serangan serta pencerobohan tentera Zionis ke atas bumi suci ini yang menggunakan segala kelengkapan tentera telah mencabul segala batasan undang-undang antarabangsa, melanggar hak asasi kemanusiaan serta merupakan satu jenayah perang yang besar.

Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Gerakan Muqawamah di Gaza yang telah berjaya dengan kentalnya berhadapan dengan kekejaman tentera Zionis yang menyerang bumi Gaza selama hampir 2 bulan. Mereka telah berjuang dengan pengorbanan darah dan nyawa demi mempertahankan bumi suci ini.

Sekali lagi saya ingin merakamkan sokongan padu PAS terhadap intifadhah yang di terajui oleh Harakah Muqawammah (Hamas) di bumi suci Palestin. PAS mengutuk sikap ‘double standard’ Kuasa Barat yang mempertahankan segala tindakan zalim dan dan tidak bertamaddun ini kononnya atas dasar ‘memerangi keganasan’. Bagi PAS, isu bumi Palestin serta pembebasan Masjid Al-Aqsa kekal menjadi agenda terpenting di peringkat antarabangsa.

PAS amat tersentuh dengan apa yang berlaku di bumi Syria, Iraq, Libya dan Mesir.  Pertumpahan berdarah yang sedang berlaku di Syria mesti dihentikan segera. Apa yang kita sedang lihat adalah amat trajis dan memilukan. Kini lebih 200,000 orang rakyat Syria yang kebanyakannya rakyat awam yang terbunuh dan lebih dari 4 juta rakyatnya terpaksa menjadi pelarian di negara-negara jiran.

Lebih parah lagi kini dunia Islam dikejutkan dengan kemunculan kumpulan yang dinamakan ISIL (ISLAMIC STATE OF IRAQ and SYRIA) dan kumpulan yang bertindak secara melampau tanpa memahami fiqh-jihad. Mereka berperang sesama sendiri sehinggakan dianggarkan lebih 3000 yang dikaitkan dengan pejuang mujahidin terbunuh akibat pertempuran sesama sendiri.

Saya ingin tegaskan sekali lagi, PAS tidak mahu dan tidak akan membenarkan ahlinya terlibat dengan mana-mana kumpulan yang bertindak ganas melangkaui fiqh-jihad, malah bercanggah dengan etika berperang dalam Islam.

Campurtangan asing juga tidak boleh sekali-kali dibenarkan di bumi umat Islam. Biarlah rakyat Syria sendiri yang menentukan masa depan negara mereka tanpa sebarang campurtangan asing. Yang pasti rejim kejam Bashar Al-Assad mesti diturunkan segera. Bagi rakyat di Mesir dan Iraq pula, biarlah rakyat mereka di negara masing-masing menentukan masa depan negara mereka tanpa sebarang campurtangan Kuasa Barat yang cuba memporak-perandakan negara-negara ini.

PAS juga amat prihatin terhadap nasib umat Islam di  rantau ini iaitu di Bangladesh dan Myanmar. Umat Islam di kedua-dua negara yang bergolak ini terus dibebani dengan konflik yang tidak nampak jalan penyelesaiannya. Di Bangladesh, pertumpahan berdarah masih berterusan sehingga sekarang. Begitu juga di Myanmar. Penduduk minoriti Rohingya telah di halau dari bumi mereka sendiri dengan berlakunya pembantaian umat Islam dengan membakar perkampungan mereka, sekolah-sekolah serta masjid-masjid yang mengakibatkan beribu-ribu umat Islam Rohingya kini menjadi pelarian.

PAS ingin membuat seruan terbuka kepada kedua-dua negara jiran kita agar kekejaman ini di hentikan segera. Saya ingin menegaskan bahawa PAS sentiasa mencari jalan bagi membantu saudara-saudara kita di Bangladesh, Myanmar, Kashmir dan Selatan Thai.

PAS juga mendesak kepimpinan negara umat Islam supaya sedar dari tidur mereka, tidak mementingkan tampuk kuasa dan kedudukan sehingga menyebabkan badan dunia Islam seperti OIC, dan badan dunia yang lain seperti PBB, ASEAN, NAM hanya sekadar menjadi pemerhati ketika mana umat Islam diusir dan dizalimi di serata dunia.

SERUAN

Maka muktamar kali yang ke 60 ini pula, sebagai kesimpulan, kita akan memfokuskan kepada tiga aspek hala tuju pemantapan,  iaitu:

(1)     Organisasi parti – istiqamah terhadap dasar perjuangan PAS, merapatkan ukhuwwah dan saf, memperkukuhkan organisasi, memperbaiki akhlak berjamaah, memahami persoalan fiqhu-tho’at, memperkemaskan gerakerja, memberdayakan tarbiyah dan aktiviti dakwah di medan baharu;

(2)     PAS dalam negara – istiqamah PAS terhadap melakukan perubahan dalam negara ke arah negara yang lebih baik, menentang amalan rasuah – ketirisan – penyelewengan, istiqamah terhadap peranan PAS dalam masyarakat, istiqamah untuk membetulkan salah faham terhadap Islam, menyedarkan masyarakat kepada kehidupan beragama di mana Islam adalah sebagai cara hidup, menekuni hubungan kaum dan agama yang lebih aman dan adil;

(3)     PAS di luar negara – istiqamah PAS untuk memainkan peranan yang lebih pro-aktif dalam urusan dunia antara bangsa yang lebih aman dan adil.

PENUTUP

Akhirnya, marilah sama-sama kita perteguhkan jamaah, perkukuhkan saf perjuangan, perkemaskan fikrah, dan mantapkan keyakinan kita kepada janji Allah S.W.T. kepada sesiapa yang berjuang di jalan Nya, yang berbeza dengan yang tidak berjuang, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللّهُ الَّذِينَ جَاهَدُواْ مِنكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ (3:142)
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar”. [al-Imran : 142]

Akhirnya, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pengerusi, Pengarah dan Jawatankuasa Panitia Muktamar, Badan Perhubungan PAS Johor, Petugas-petugas, anggota Jabatan Amal dan semua pihak yang menjayakan Muktamar ke-60 ini. Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah s.w.t.

Saya RASMIKAN Muktamar PAS kali ke-60 ini dengan menyebut sabda Rasulullah S.A.W. :
سيروا على بركة الله .
وآخر دعوانا أن الحمدلله رب ا لعالمين .
الله أكبر , الله أكبر , الله أكبر , ولله الحمد .

Sunday, October 12, 2014

Jangan bangga bajet besar tapi rakyat daif - TG Nik Aziz

KOTA BHARU: Kerajaan tidak perlu berbangga dengan perbelanjaan yang besar setiap kali diumumkan dalam bajet sekiranya rakyat masih hidup dalam kedaifan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pengumuman perbelanjaan negara yang cukup besar setiap tahun sebenarnya menterjemahkan kegagalan pemimpin negara.

“Ini kerana rakyat yang berpendapatan rendah masih terpinggir serta tidak mendapat habuan dan hak mereka daripada bajet negara yang diumumkan,” ujarnya sebagai mengulas Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri Jumaat lalu ketika ditemui di Pejabat Institut Pemikiran Tok Guru hari ini.

Katanya lagi, kecacatan Umno dan BN juga tidak ada tender dalam setiap projek pembangunan yang ingin dilaksanakan terutama di Kelantan.

Katanya, apabila tidak ada tender, harga yang sepatutnya RM10 juta akan bertambah menjadi lebih RM20 juta.

Tambahnya, ia diberi tanpa syarat kepada kroni tertentu sehingga menampakkan parti itu bukan untuk menjaga orang Melayu, sebaliknya parti untuk kroni mereka.

“Nak jaga Melayu dan rakyat lain, nak jaga kepentingan Umno lain.

“Kalau nak jaga orang Melayu apa saja projek yang ingin dilaksanakan di Kelantan contohnya, tender terlebih dahulu perlu diadakan sama ada untuk membuat jambatan atau apa saja,” ujarnya.

Katanya, dengan cara itu kerajaan dapat membayar kepada pihak tender pada harga sebenar.

Jelasnya, rakyat Kelantan masih tidak mendapat hak subsidi baja padi dengan cara yang betul sehingga kini.

Beliau berkta, ketika kerajaan Kelantan mula diambil alih pada tahun 1990 oleh Angkatan Perpaduan Ummah dahulu, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan kos sendiri sebanyak RM3 juta setelah JPP tidak memberi baja kepada petani khususnya penyokong PAS.

Untuk itu, katanya kerajaan perlu memikirkan untuk mengubah tindakan itu agar tidak berulang supaya rakyat mengingati kerajaan Pusat tidak menyisihkan mereka.

Tegasnya, harta kerajaan adalah hak milik rakyat bersama dan bukannya milik peribadi pemimpin negara dan Umno. -HARAKAHDAILY 12/10/2014

Tuesday, September 23, 2014

PAS berdoa Azmin dapat pikul amanah besar

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan tahniah kepada Timbalan Presiden PKR yang juga Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali yang telah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai menteri besar yang baharu hari ini.

"PAS berdoa agar amanah yang besar ini akan dapat dipikul oleh YAB Tuan Mohamed Azmin Ali dengan taufik dan panduan dari Allah SWT," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PAS berharap pelantikan itu akan memastikan kesinambungan dan kecemerlangan pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor sejak 2008 untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya.

PAS juga, kata beliau akan memberikan kerjasama berterusan kepada Menteri Besar Selangor melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang akan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Adun, Ahli Dewan Rakyat PAS dan seluruh Ahli-Ahli Majlis untuk memastikan khidmat yang terbaik kepada rakyat di negeri Selangor secara khususnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, PAS juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di atas khidmat yang cemerlang sebagai Menteri Besar Selangor dari 2008 hingga 2014. 

"Semoga Allah SWT melimpahkan kebaikan dan rahmat-Nya di atas khidmat beliau selama ini," ujarnya beliau lagi. - HARAKAHDAILY 23/9/2014

Saturday, September 6, 2014

JOM KE HIMPUNAN AMAN - HENTIKAN DISKRIMINASI TERHADAP PENEROKA FELDA


Alhamdulillah, SUHAKAM sedia bertemu peneroka Felda pada 11 september, bermula pukul 9.30 pagi. Insyaallah, kengganan Felda memberi Saguhati Hari Raya & insentif FGVH, lesen MPOB, ketidakadilan Perjanjian Pengurusan Tanam Semula dan Kos Tanam Semula, antara yang akan dibangkitkan.

Warga Felda khususnya, Jom hadir beramai ramai. SEBARKAN. - FB Mazlan Aliman