Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Sunday, April 27, 2014

PM Korea Selatan letak jawatan insiden feri karam

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Hong-Won meletak jawatan kerana perlu bertanggungjawab terhadap insiden feri karam yang menyebabkan lebih 300 orang terkorban dan hilang.

Beliau memohon maaf kerana tidak dapat menghalang perkara itu daripada berlaku.
    
"Saya percaya, sebagai Perdana Menteri, saya perlu bertanggungjawab dan meletak jawatan," katanya dipetik astroawani.

Sewol, feri penumpang terbesar, karam bersama 476 penumpang yang kebanyakan terdiri daripada pelajar sekolah dalam perjalanan menuju ke selatan pulau peranginan Jeju pada 16 April lalu.

Sehingga Ahad, jumlah kematian akibat tragedi itu dilaporkan 187 orang dengan 115 diambil kira.

Kerajaan Korea Selatan, bersama semua jabatan rasminya, telah dikritik hebat akibat nahas ini dan pengendalian operasi menyelamat. - HarakahDaily

Tuesday, April 8, 2014

Akhirnya k'jaan timbang wujud harga lantai getah

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang cadangan untuk menetapkan harga lantai 
komoditi getah bagi mengelakkan pekebun kecil terbeban dengan harga komoditi itu yang tidak stabil.
    
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas  berkata kerajaan melalui kementerian itu telah mengadakan satu makmal pada Mac lalu untuk membincangkan mekanisme 'Social Safety Net' yang sesuai sebagai satu pendekatan membantu pekebun kecil.
    
"Cadangan-cadangan (dalam makmal) ini sedang dalam pertimbangan kerajaan dan sama ada kita akan melaksanakan harga lantai atau tidak bergantung kepada hasil rumusan makmal ini," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) di Dewan Rakyat di sini, hari ini. 
    
Nawawi ingin tahu perancangan kementerian untuk menetapkan harga lantai atau cara lain yang difikirkan sesuai agar pihak pekebun getah menerima pendapatan yang stabil bagi menampung kehidupan keluarga mereka.
    
Uggah berkata kerajaan turut mengkaji opsyen yang sesuai termasuk menggalakkan aktiviti sampingan bagi menjana pendapatan tambahan kepada pekebun kecil getah untuk menangani kesan negatif daripada penurunan harga dan pendapatan. HarakahDaily

Saturday, April 5, 2014

Hudud: Tahniah MB Kelantan, Terengganu bila pula?

Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambut baik kenyataan Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad
 Yakob bahawa kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) yang membawa kepada perlaksanaan hukum Hudud pada tahun 2015 nanti. 

Ianya berikutan kesediaan Kerajaan Pusat untuk memberi laluan kepada penguatkuasaan enakmen ini sebagaimana jawapan yang telah diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Parlimen baru-baru ini.

Malah dengan kesediaan Kerajaan Pusat ini, Pemuda PAS berpendirian tiada lagi alasan untuk kerajaan negeri Terengganu terus menangguhkan perlaksanaan kanun Hudud dan Qisas yang telah digazetkan oleh Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin setelah ianya dibentangkan oleh Kerajaan Negeri PAS Terengganu pada tahun 2000 yang lalu.

Ustaz Datuk Ahmad Yakob telah menyahut cabaran perlaksanaan Hudud di Kelantan. Bila pula Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akan melaksanakan Hudud di Terengganu?

Jangan sekadar lantang bersuara sehingga sanggup menggunakan Al-Quran untuk bersumpah mengenai urusan bola sepak sedangkan hukum Allah yang wajib dilaksanakan para pemimpin diabaikan.   

Malah Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan jika kerajaan Pusat berhasrat untuk meletakkan perlaksanaan undang-undang Hudud ini di bawah makmal transformasi jenayah yang telah ditubuhkan di bawah Pemandu JPM dengan menjadikan Kelantan dan Terengganu sebagai model perlaksanaannya.

Inilah masanya elemen syariah diperkenalkan untuk menangani permasalahan jenayah yang semakin serius.

Komitmen Menteri Besar Kelantan untuk melaksanakan hukum Hudud dengan membawa isu dan pindaan berkaitan melalui suatu bil persendirian ke Parlimen adalah satu langkah yang mencerminkan pendirian Tuan Guru Presiden dan PAS bahawa perlaksanaan Hudud akan melalui proses demokrasi.

Ianya juga sebagai ingatan kepada pihak ketiga termasuklah NGO Islam tertentu yang semacam mempersoal komitmen PAS kepada perlaksanaan Islam yang syumul dan meragui kedaulatan kerajaan negeri yang sebenarnya mempunyai ruang tertentu untuk menguatkuasakan undang-undang Islam seperti hukum Hudud ini dengan kerjasama kerajaan Pusat.  

Dan sekadar satu cadangan kecil buat kerajaan negeri Kelantan agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai ahli-ahli parlimen yang dipertimbangkan untuk menaja bil persendirian tersebut ke Parlimen kelak.

Ini memandangkan Tuan Guru Presiden merupakan tenaga pemikir penting di sebalik penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan. 

Penglibatan Ustaz Nik Abduh di dalam bil persendirian ini pula akan menjadi satu penghormatan simbolik kepada Tuan Guru Mursyidul Am dan mantan Menteri Besar Kelantan yang gigih memperjuangkan hukum Hudud berdepan segala kecaman dan ugutan.

Pemuda PAS siap bersedia untuk turun membantu menerangkan hukum Hudud yang akan dilaksanakan ini kepada rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat, wakil-wakil rakyat BN dan rakyat keseluruhannya. 

Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua untuk melihat tertegaknya hukum Allah di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia. - HarakahDaily