Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Sunday, April 26, 2015

Rompin : Bekas CEO Koperasi Felda bantu kempen PAS

ROMPIN: Bekas CEO Koperasi Permodalan Felda (KPF) Holding, Datuk Sarchu Sawal menyeru peneroka menyelamatkan Felda daripada terus dimusnahkan oleh BN.
Beliau berkata, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad telah merosakkan matlamat asal Felda untuk membantu golongan bumiputera.
Sebaliknya tegas beliau, Felda ketika ini mengalami kerugian teruk selepas Felda Global Ventures (FGV) disenaraikan dalam Bursa Malaysia.
"Kita harus selamatkan Felda. Saya ialah orang pertama bersama Datuk Zulkifli Wahab yang menentang penyenaraian FGV.
 "Jadah apa FGV disenaraikan dalam Bursa Malaysia? Biasanya orang menyenaraikan syarikat sebab tak ada duit. Masa itu Felda ada RM4 billion. Mana pergi RM4 billion itu sekarang?
"Semasa saya ambil alih KPF sebahagian besar pendapatan daripada Felda Holding.
"Keuntungan syarikat disalurkan kepada peneroka sebagai penghormatan kepada peneroka yang memberi sumbangan kepada syarikat.
"Namun apa dah jadi sekarang? Datang penyangak dari Negeri Sembilan habis semuanya," kata beliau dalam Himpunan Perdana Selamatkan Felda 2.0 di Felda Keratong 4, dekat sini malam tadi.
Beliau turut berjanji akan membantu kempen PAS bagi memenangkan calonnya, Ustaz Nazri Ahmad yang juga anak peneroka Felda.
"Kita kena selamatkan Felda, selamatkan KPF. Undilah calon PAS. Insya-Allah dia akan dapat bawa suara peneroka.
"Walaupun Umno BN kata kalau PAS menang tak jadi kudis bagi mereka tetapi sekurang-kurangnya kita tunjuk rasa tidak senang kita kepada kerajaan melalui undi.
"Saya dah lama masuk PAS. Saya masuk PAS bukan nak bertanding tapi saya nak betulkan keadaan.
"Saya ada tanggungjawab untuk membantu peneroka-peneroka. Felda telah dikacau-bilaukan," kata beliau yang mengakui menjadi ahli PAS ketika masih berkhidmat dalam Felda lagi.
Himpunan malam tadi dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Turut bersama ialah bekas Naib Presiden FGV, Ghani Mahmood yang akan turut berkempen untuk PAS. - HARAKAHDAILY 26/4/2015

Sunday, April 19, 2015

Terima kasih di Chempaka, tetap berentap di Rompin

MESYUARAT PAS Pusat semalam (Isnin) telah membuat keputusan untuk PAS bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin. 

Tiada sebab untuk PAS memberi laluan mudah kepada Umno tatkala kerajaan BN yang dipimpin Umno tidak memberikan laluan mudah kepada rakyat dengan memperkenalkan GST dan meneruskan sikap borosnya dalam menguruskan kewangan negara.

PAS tidak bersetuju dengan hujah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang cuba memujuk PAS untuk tidak bertanding di PRK Rompin atas alasan untuk menjimatkan wang, masa dan tenaga kedua-dua parti.
Jika begitu, apakah Umno akan memberikan kemenangan percuma kepada PKR di Permatang Pauh atas alasan yang sama?

Kalau ingin menjimatkan duit, lebih elok Menteri Besar Pahang menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad dalam mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan jawapan kepada isu 1MDB dan pelbagai isu rakyat yang masih tidak dijawab.

Rakyat Rompin memerlukan perhatian. PRK Rompin ini menjadi medan terbaik untuk suara dan keluhan rakyat Rompin diangkat ke media terutamanya kelemahan kerajaan negeri dan pengabaian pembangunan di Rompin khasnya bagi masyarakat orang asal.

Pendek kata, persaingan PAS-Umno di PRK Rompin akan menguntungkan rakyat Rompin.

Masa inilah, jalan-jalan dan lampu-lampu jalan mereka akan dibaiki – bantuan-bantuan kerajaan negeri dan persekutuan akan tiba untuk rakyat Rompin kerana ini adalah kubu kuat Umno.

Masa inilah jugalah satu-satunya peluang rakyat Rompin untuk melihat para pemimpin BN Umno secara dekat.

Memberi laluan percuma kepada PAS di PRK Chempaka bukanlah menandakan Umno sudah mengganggap PAS sebagai sahabat.

Jika betul menganggap PAS ialah sahabat, mengapa tidak kerajaan pusat masih enggan membayar royalti minyak kepada Kelantan?

Mengapa rakyat Kelantan terus diseksa tanpa lebuh raya selama ini?

Namun begitu, terima kasihlah kerana memberikan laluan di PRK Chempaka, tapi kami tetap akan bertanding di Rompin untuk rakyat Rompin.

Kita bertanding bukan untuk bermusuh tetapi menghidupkan sistem demokrasi. Umno tetap saingan PAS di dalam politik.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Naib Presiden PAS
14 April 2015