Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Wednesday, May 25, 2016

RM792 juta janji di Sarawak, berapa pula PRK Sg Besar dan K Kangsar?


Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman, kerajaan BN telah menjanjikan 400 projek bernilai RM792.34 juta untuk Sarawak sempena pilihan raya negeri.

Berapakah jumlah yang kerajaan pusat BN bakal janjikan pula sempena pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang bakal menjelang memandangkan dua PRK ini menjadi referendum penting bagi nyawa politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

Pada Pilihan raya Umum ke-13, kempen BN dikatakan dibantu menggunakan dana derma saudagar Arab. Dana siapa pula yang bakal digunakan untuk kedua-dua PRK kali ini? Dan dana mana pula yang digunakan ketika PRN Sarawak?

Melihat cara BN berkempen dengan janji RM792 juta di Sarawak, tidak dinafikan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar bakal menyaksikan satu petempuran sengit antara BN dan PAS.

Saya percaya tiada siapa dalam kalangan pembangkang yang ingin terus melihat bagaimana PM and pemimpin BN membuat kenyataan seperti “GST diterima rakyat”, “Rakyat percaya tiada salahlaku pada derma RM2.6 bilion”, “BN sememangnya menjaga rakyat”, “Rakyat percaya PM tidak terlibat dengan 1MDB”, “BN kerajaan yang bersih” dan sebagainya sekiranya BN memenangi PRK ini seperti yang terjadi di Sarawak.

Diharapkan pihak pembangkang yang tidak sudi membantu PAS, jangan mengambil sikap menyusahkan sambil memudahkan kerja BN mencapai kemenangan pada kedua-dua PRK ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
18 Syaaban 1437 / 25 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 25/5/2016

Tuesday, May 10, 2016

SPR bincang PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar 13 Mei

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membincangkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada mesyuarat khas, 13 Mei ini.
Memetik laporan Bernama, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata pihaknya telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kedua-dua kerusi itu daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 6 petang semalam.

"Sehubungan dengan itu, selaras dengan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan telah wujud kekosongan luar jangka dan bagi mengisi kekosongan kerusi P.067 Kuala Kangsar dan P.093 Sungai Besar, SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan Pilihan Raya Kecil tersebut," katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong kerana kedua-dua penyandang, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau pada 5 Mei lepas.

Pada Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 lalu, Noriah memperolehi 18.695 undi sementara calon PAS, Mohamed Salleh M Husin mendapat 18,296 undi. Manakala Mohammad Khair-il Anuar memperolehi 14,218 undi sementara calon PAS, Drs Khalil Idham Lim Abdullah mendapat 13.136 undi dan calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim mengutip 447 undi. 

Pada Ahad lalu, Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata parti itu akan bertanding pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. - HARAKAHDAILY 10/5/2016