Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Wednesday, October 5, 2016

KENYATAAN MEDIA BERSAMA: Tan Sri Isa perlu diganti


Foto Ustaz Roslan Md Esa.Anak kepada pengasas Felda, Datuk Seri Najib Razak sendiri cukup bangga dengan perkembangan Felda yang digagaskan oleh ayahandanya, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein hingga menggunakan kejayaan Almarhum ini untuk memanjangkan nyawa ikan politiknya saban tahun.
Cuma masalahnya, Felda yang gemilang sebagai pertama nilam negara di zaman ayahandanya kini semakin malap.
HEBOH mutakhir ini wujudnya warga Felda yang menganjurkan himpunan dan bantahan berikutan kegagalan Felda membayar gaji atau hasil mereka mengikut jadual bayaran seperti mana yang telah ditetapkan sebelum ini.
Warga Felda yang juga merupakan aset kepada industri komoditi negara khasnya sawit dan getah kini berdepan ancaman kegawatan ekonomi akibat kegagalan pihak pengurusan Felda menyediakan pelan bayaran hasil yang lebih kompetitif dan berkesan.
Puluhan tahun lamanya warga Felda menyemai benih kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Felda. Pengorbanan mereka ini telah merancakkan industri komoditi negara hinggalah jenama Felda sangat dikenali di peringkat antarabangsa. Namun kini ia telah menjadi sia-sia dan nasib mereka semakin diabaikan apabila Felda jatuh di tangan mereka yang tidak mengutamakan nasib peneroka.
Malapetaka Felda bermula apabila Najib, dengan mudah menyerahkan Felda ke tangan Tan Sri Isa Abdul Samad yang sangat diketahui rekod buruk dan cukup bermasalah dalam urus tadbir kerajaan semasa menerajui Negeri Sembilan. Bahkan beliau pernah digantung dalam Umno kerana terpalit dengan politik wang.
Tindakan menyenarai Felda Global Ventures (FGV) ke Bursa Malaysia yang kononnya dijamin keuntungan kini membawa padah. Peringatan dan amaran PAS selama ini dilihat mengganggu Felda, tapi terbukti kini apa yang dibimbangi oleh PAS ternyata berlaku.
Kegilaan Isa Samad berbelanja untuk projek mega dan pembelian kondominium mewah menjerat Felda ke tanah gersang dan kontang dalam aspek pengurusan kewangan.
Kini kantung Felda sudah menyusut, semua projek utama tergantung. Rumah Generasi kedua terbengkalai. Bahkan apa yang menyedihkan kegagalan Felda membuat pembayaran hasil sawit peneroka.
Warga peneroka tanpa mengira parti mengadakan perhimpunan kerana mereka hilang sabar di atas kelewatan pembayaran, malah ada peneroka yang mengadu kelewatan melampau.
Akibatnya warga Felda merintih, bayaran hasil mereka distruktur semula menyebabkan mereka berdepan kesukaran untuk hidup. Keperluan bulanan melibatkan perbelanjaan dapur, pendidikan anak-anak bahkan ia menjejas tanggungan bulanan peneroka.
Kekangan kewangan Felda ini menyebabkan peneroka yang mengalami kegawatan kian terdesak. Keadaan ini dibimbangi akan diambil kesempatan oleh 'taukeh' luar yang menawarkan pembayaran secara tunai yang jauh lebih rendah dari harga kilang terpaksa diterima oleh peneroka.
Meskipun demikian, nasib malang peneroka tetap tidak sepenting projek hartanah Felda di luar negara. Contohnya, projek hartanah Felda Investment Corp (FIC) di Wembley, London menjadi impian Isa Samad. Fasa pertama dan kedua projek ini telah menelan belanja £167.76 juta manakala fasa ketiga, yang dilancarkan bulan lepas dianggarkan melebihi £100 juta.
Di atas kertas, Felda dikatakan kini memiliki 12 hotel dan resort, termasuk apartmen perkhidmatan Grand Plaza, Bayswater dan Grand Plaza Kensington, kedua-duanya di London.
Sementara Felda berkembang 'pesat' di luar negara, nasib Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) untuk membina 20,000 unit rumah generasi kedua Felda yang membabitkan peruntukan RM380 juta pula mengalami kelewatan. Projek yang sepatutnya siap pada 2017 kini diumumkan bakal siap di 2018.
Apakah dan bagaimanakan semua ini menguntungkan peneroka?
Yang pasti, peneroka Felda hari ini semakin kegawatan walaupun dijanjikan hidup mereka akan berubah ke lebih baik setelah FGV disenaraikan di Bursa Malaysia. PAS bimbang perkara yang sama akan berulang dengan pertukaran arah Felda ini.
Sebelum situasi menjadi lebih parah, PAS menggesa suatu langkah drastik mesti dilakukan bagi menyelamatkan keadaan ini. Projek perumahan Generasi Kedua, pembayaran hasil sawit mesti dijelaskan pada waktunya, bebanan hutang peneroka mesti distruktur semula agar ia tidak membebankan warga Felda.
Lebih penting, jika Najib berniat untuk menyelamatkan legasi ayahandanya, PAS tetap mendesak agar Isa Samad mesti ditukar segera dari Felda.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
Roslan Md Isa
Pengerusi Generasi