Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Tuesday, February 5, 2013

Bendera Umno BN di tempat agihan BR1M



KANGAR: Bendera Umno dan Barisan Nasional dikesan telah dipasang pada pagar dewan tempat pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0  di dua lokasi di Perlis hari ini.

Kedua-dua tempat yang dimaksudkan iaitu di Dewan 1Malaysia, Simpang Empat dan Dewan Serbaguna Seri Melati, Beseri di mana pengagihan BR1M 2.0 dibuat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Simpang Empat dan Santan.

Tinjauan Harakahdaily juga mendapati terdapat sepanduk Undilah Barisan Nasional turut dipasang pada pagar Dewan 1Malaysia, Simpang Empat. Via - HarakahDaily

Monday, February 4, 2013

Isu kalimah Allah selesai, Majlis Syura sudah putuskan

KUALA LUMPUR: PAS tidak akan melayan sebarang desakan dari mana-mana pihak berhubung isu penggunaan kalimah Allah memandangkan ianya telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS sebelum ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Datuk Harun Taib berkata, keputusan oleh bandan tertinggi PAS itu sebelum ini adalah sangat jelas dan semua pihak harus menghormati keputusan tersebut.

"Ianya dibuat secara kolektif setelah melalui perbincangan yang mendalam oleh Majlis Syura Ulamak PAS dan ianya bukan diputuskan secara individu.

"Kita meminta agar mana-mana institusi dan individu-individu tertentu agar menghormati pandangan dan keputusan PAS ini sepertimana dalam kenyataan rasmi oleh Majlis Syura Ulamak PAS sebelum ini," katanya kepada Harakahdaily.

Pada 13 Januari lalu, mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS memutuskan sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah namun kalimah suci itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini.

Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Keputusan itu juga menjelaskan menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah. Via - HarakahDaily

Tuesday, January 15, 2013

HKR112: 500,000 hadir, RM268,802.10 kutipan

KUALA LUMPUR: Sekretariat Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) menyifatkan 500,000 menyertai himpunan di Stadium Merdeka baru-baru dengan jumlah kutipan dermanya adalah RM268,802.10.

Sehungan itu, Pengerusinya, Haji Mohamad Sabu dalam kenyataannya  mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke atas rakyat Malaysia yang telah sama-sama melakar sejarah pada 12 Januari 2013 lalu. 

"Perhimpunan yang dihadiri oleh 500,000 perserta tersebut adalah bukti apa yang diperjuangkan selama ini oleh Pakatan Rakyat iaitu rakyat perlu diberikan peluang berhimpun secara aman dan bebas menyatakan pendapat," kata beliau dalam kenyataannya.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan Himpunan ini terutamanya anggota keselamatan dari PDRM, pengurusan Stadium Merdeka, pasukan Unit Amal serta para pimpinan NGO dan parti politik. 

"Kami juga menghargai kesabaran orang ramai yang terpaksa menghadapi kesesakan jalanraya pada hari tersebut," katanya.

Kutipan yang berjumlah RM268,802.10 ini, katanya, akan digunakan bagi menampung perbelanjaan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang telah dianjurkan di seluruh negara baru-baru ini.

Sokongan dari orang ramai, katanya, sangat mengharukan dan menjadi peniup semangat untuk Pakatan Rakyat terus berusaha memperbaiki sistem negara tercinta ini yang telah dirosakkan oleh pemerintahan BN.

"Tentunya usaha ini memerlukan sokongan dan dokongan berterusan dari orang ramai terutama menjelang Pilihanraya Umum ke 13 akan datang. 
"Dengan ini saya merayu orang ramai agar terus menghulurkan sumbangan kepada kami ke akaun "Tabung Impian Rakyat Malaysia" Maybank 562106235615," kata beliau dalam kenyataannya. Via - HarakahDaily