Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Wednesday, August 14, 2013

MESIR: PAS desak Najib panggil sidang khas Parlimen

(Penyokong Morsi yang didakwa mati dibakar di Nahdhah)

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak agar segera memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan keganasan terbaru di Mesir.

Ketua Whip Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar, berkata pada persidangan khas itu, kerajaan juga digesa membawa usul bagi membantah tindakan pemerintah sementara Mesir di bawah kuasa tentera yang telah membantai rakyat sendiri awal pagi ini.

"Datuk (Seri) Najib selaku ketua parlimen perlu bertindak segera. Kepimpinan Malaysia perlu dilihat berani menyatakan pendirian. Biar kita dapat keputusan atas nama parlimen.

"Saya yakin, kita di Pakatan Rakyat akan bersetuju dengan usul yang dibawa bagi membantah tindakan tersebut.

"Parlimen pernah menyaksikan sejarah kita (Pakatan Rakyat) dan kerajaan bersama dalam beberapa isu termasuk isu Palestin sebelum ini," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam operasi bermula awal pagi tadi waktu tempatan, pihak tentera Mesir menggempur Medan Raba'ah yang menjadi pusat perkampungan himpunan penyokong legitimati dan penyokong Presiden Dr Muhammad Morsi.

Serangan yang didakwa menggunakan kereta perisai, jentolak, penembak tepat , gas pemedih mata dan peluru hidup itu memakan korban ratusan orang dan ribuan lagi cedera di medan itu.

Beberapa agensi berita termasuk RNN turut melaporkan bahawa pasukan penembak tepat juga mengambil tempat dari atas helikopter dan tentera turut menggunakan gas beracun.

Sehingga kini, angka rasmi kematian tidak dapat disahkan, namun beberapa sumber memaklumkan ianya mungkin mencecah 500 orang setakat ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, melalui sidang kahs itu nanti, Pakatan Rakyat akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung langkah yang wajar diambil selaku negara anggota PBB dan OIC.

"Kita juga desak kerajaan Malaysia memanggil duta Mesir untuk memberi nota bantahan dan amaran berhubung tindakan kejam kerajaan sementara tersebut," katanya. - HarkahDaily

Friday, July 19, 2013

Ambil umpan jangan makan mata kail - Presiden PAS

Antara bahan kempen untuk memastikan kemenangan Che Long.

BESUT: Pengundi di Dun Kuala Besut dinasihatkan Presiden PAS supaya menjadi lebih pintar apabila hanya sekadar “mengambil umpan” dan tidak “termakan mata kail” yang disogok pada kempen pilihan raya sekarang.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pengundi Kuala Besut perlu berlagak sebagai ikan yang lebih cerdik, ketika umpan banyak ditabur bagi meraih simpati pengundi.

“Jangan pula kita menjadi seperti ikan yang makan semua sekali umpan dan mata kail. Itu tidak ada kepintaran namanya. Kita perlu lebih pintar dalam perkara ini,” katanya pada ceramah di Markas Pemuda di Kampung Nail, malam tadi.

Hadir sama Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Leman Raja Lawak. Di tapak ceramah juga diadakan solat tarawih di bawah khemah yang disediakan.

Kemeriahan kempen di kawasan itu nampaknya lebih didominasi PAS dan Pakatan Rakyat apabila peniaga mengambil kesempatan melariskan pelbagai produk berlogo Pakatan Rakyat.

Selain itu gerai-gerai segera juga banyak wujud bagi memudahkan orang ramai berbuka puasa. Kawasan berkenaan meriah sepanjang malam.

Biar pun terdapat sebuah bilik gerakan Umno/BN di kawasan berdekatan, namun ia tenggelam memandangkan tumpuan ramai lebih terarah kepada markas PAS.

Ustaz Abdul Hadi juga mengimbau banyak manfaat diperolehi rakyat ketika PAS mentadbir Terengganu pada 1999.

“Perkara pertama yang kita lakukan selepas menang pada 1999 ialah menghapuskan tol di Jambatan Sultan Mahmoood bagi mengurangkan bebanan pengguna jalan raya.

“Selain itu kita juga menghapuskan cukai pintu yang dikenakan kepada kediaman-kediaman yang terletak di kawasan bandar.

“Langkah itu diambil memandangkan kerajaan Terengganu sudah ada sumber hasilnya daripada hasil royalti petroleum yang sudah memadai digunakan bagi membangunkan Terenggganu,” ujarnya.

Beliau juga mendedahkan apa yang berlaku di Mesir sekarang serupa juga dengan apa yang pernah berlaku di Kelantan pada 1978 apabila Umno mempengaruhi rakyat berdemontrasi bagi menggulingkan kerajaan PAS.

Selepas itu apabila keadaan tidak terkawal kerajaan BN yang memerintah pusat mengisytiharkan darurat di Kelantan sebagai langkah permulaan mengambil alih kerajaan negeri daripada PAS. - HarakahDaily

Thursday, July 4, 2013

PAS kutuk rampasan kuasa terhadap presiden Morsi

KUALA LUMPUR: PAS mengutuk sekeras-kerasnya rampasan kuasa oleh tentera Mesir terhadap kepimpinan Presiden Dr Mohamed Morsi kerana telah mengenepikan suara rakyat negara itu melalui undi pilihan raya yang adil dan bersih.

Timbalan Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Dr Syed Azman Nawawi berkata, apa yang terjadi di Mesir sekaligus memberi gambaran negatif bahawa wujud usaha untuk membunuh pendemokrasian yang berlaku di seluruh dunia.

PAS turut menggesa tentera negara itu kembali kepada kedudukan asal mereka dan menyerah kembali kuasa kepada kerajaan Mohamed Morsi yang dipilih oleh rakyat.

Syed Azman juga percaya apa yang berlaku di Mesir adalah merupakan satu rampasan kuasa yang mendapat sokongan kuasa besar dunia.

Katanya, apabila melihat polisi kerajaan dan Presiden Mesir yang tidak menguntungkan pihak kuasa besar maka mereka kembalikan negara itu kepada tentera dengan mengenepikan kuasa rakyat.

"Ini merupakan penghinaan kepada keputusan rakyat yang memilih kerajaan yang sah melalui pilihan raya bersih.

"Tiba-tiba boleh bagi sokongan rampasan kuasa oleh tentera kerajaan yang sah melalui demokrasi," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut mendapat gambaran keadaan di Mesir selepas menghubungi salah seorang pimpinan Ikhwan Muslimin iaitu Dr Essam Arian kelmarin sebelum di tangkap.

"Saya difahamkan beliau sudah ditangkap hari ini. Saya dapat hubungi beliau kelmarin untuk mengetahui bagaimana keadaan disana," jelasnya.

Pilihan raya Presiden Mesir tahun lepas telah mendapat pengiktirafan seluruh dunia yang memperlihatkan sebuah pilihan raya yang paling telus dan adil.

Ketua angkatan tentera mengeluarkan satu deklarasi petang semalam, menggantung perlembangaan dan melantik Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly Mansour, sebagai ketua interim negara.

Dalam siaran televisyen tempatan, pemimpin tentera dan tokoh politik, Andel Fattah al-Sisi telah mengisytiharkan penyingkiran Morsi.

Penyokong Morsi yang berkumpul di pinggir bandar Kaherah sangat tidak puas hati dan penyingkiran pemimpin negara Mesir ini membangkitkan kemarahan mereka dengan pengumuman yang dibuat oleh tentera itu.

Menurut anggota kanan Ikhwan Muslimin, Morsi kini berada di bawah tahanan tentera.

Dua tahun lalu, di Tahrir terdapat perayaan hampir sama selepas Hosni Mubarak ditumbangkan dan Morsi diangkat sebagai presiden pertama dipilih rakyat. - HarakahDaily