Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Saturday, April 5, 2014

Hudud: Tahniah MB Kelantan, Terengganu bila pula?

Dewan Pemuda PAS Malaysia menyambut baik kenyataan Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Ahmad
 Yakob bahawa kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) yang membawa kepada perlaksanaan hukum Hudud pada tahun 2015 nanti. 

Ianya berikutan kesediaan Kerajaan Pusat untuk memberi laluan kepada penguatkuasaan enakmen ini sebagaimana jawapan yang telah diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Parlimen baru-baru ini.

Malah dengan kesediaan Kerajaan Pusat ini, Pemuda PAS berpendirian tiada lagi alasan untuk kerajaan negeri Terengganu terus menangguhkan perlaksanaan kanun Hudud dan Qisas yang telah digazetkan oleh Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin setelah ianya dibentangkan oleh Kerajaan Negeri PAS Terengganu pada tahun 2000 yang lalu.

Ustaz Datuk Ahmad Yakob telah menyahut cabaran perlaksanaan Hudud di Kelantan. Bila pula Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akan melaksanakan Hudud di Terengganu?

Jangan sekadar lantang bersuara sehingga sanggup menggunakan Al-Quran untuk bersumpah mengenai urusan bola sepak sedangkan hukum Allah yang wajib dilaksanakan para pemimpin diabaikan.   

Malah Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan jika kerajaan Pusat berhasrat untuk meletakkan perlaksanaan undang-undang Hudud ini di bawah makmal transformasi jenayah yang telah ditubuhkan di bawah Pemandu JPM dengan menjadikan Kelantan dan Terengganu sebagai model perlaksanaannya.

Inilah masanya elemen syariah diperkenalkan untuk menangani permasalahan jenayah yang semakin serius.

Komitmen Menteri Besar Kelantan untuk melaksanakan hukum Hudud dengan membawa isu dan pindaan berkaitan melalui suatu bil persendirian ke Parlimen adalah satu langkah yang mencerminkan pendirian Tuan Guru Presiden dan PAS bahawa perlaksanaan Hudud akan melalui proses demokrasi.

Ianya juga sebagai ingatan kepada pihak ketiga termasuklah NGO Islam tertentu yang semacam mempersoal komitmen PAS kepada perlaksanaan Islam yang syumul dan meragui kedaulatan kerajaan negeri yang sebenarnya mempunyai ruang tertentu untuk menguatkuasakan undang-undang Islam seperti hukum Hudud ini dengan kerjasama kerajaan Pusat.  

Dan sekadar satu cadangan kecil buat kerajaan negeri Kelantan agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai ahli-ahli parlimen yang dipertimbangkan untuk menaja bil persendirian tersebut ke Parlimen kelak.

Ini memandangkan Tuan Guru Presiden merupakan tenaga pemikir penting di sebalik penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan. 

Penglibatan Ustaz Nik Abduh di dalam bil persendirian ini pula akan menjadi satu penghormatan simbolik kepada Tuan Guru Mursyidul Am dan mantan Menteri Besar Kelantan yang gigih memperjuangkan hukum Hudud berdepan segala kecaman dan ugutan.

Pemuda PAS siap bersedia untuk turun membantu menerangkan hukum Hudud yang akan dilaksanakan ini kepada rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat, wakil-wakil rakyat BN dan rakyat keseluruhannya. 

Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua untuk melihat tertegaknya hukum Allah di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia. - HarakahDaily

Thursday, March 27, 2014

Menteri sahkan tentera AS buat latihan di Kelantan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam dimaklumkan bahawa sememangnya tentera Amerika 
Syarikat hadir ke Kelantan pada awal bulan ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kehadiran mereka dari 18 hingga 21 Mac sebagai membuat latihan tahunan.

"Sememangnya kehadiran tentera Amerika Syarikat di Kelantan dua minggu pada tahun ini.

"Aktiviti latihan tahunan 3 strikes bermula 18 hingga 21 Mac dan akan diadakan lagi pada 17 hingga 29 September 2014," kata beliau.

Menurutnya lagi, kehadiran tentera USA RPAC itu juga menjalankan latihan bencana alam seperti banjir dan junggle wellfare.

Turut terlibat dalam latihan itu termasuk pasukan Markas 8 Briged serta Markas Tentera Darat.

Isu kehadiran tentera Amerika Syarikat sebelum ini dibangkitkan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang mendakwa ianya mendatangkan kecurigaan  yang besar di kalangan rakyat Kelantan.

Berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, beliau telah meminta penjelasan daripada pihak kerajaan berhubung isu itu. - HarakahDaily

Thursday, March 6, 2014

Gerakan Suara Orang Kampung akan ke seluruh negara

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Maaysia hari ini melancarkan Gerakan Suara Orang Kampung bagi memperjuangkan nasib petani, penternak dan nelayan di seluruh negara.

Pelancaran gerakan tersebut dibuat dalam piket di hadapan bangunan Lembaga Getah Malaysia (LGM) Jalan Ampang, dekat sini tengah hari tadi.

Kira-kira 50 wakil petani, penternak dan nelayan bersama Pemuda PAS Malaysia berkumpul di hadapan Wisma Central sebelum berarak ke bangunan LGM.

Mereka berpakaian petani dan membawa basikal sambil memgang plakad bertulis 'Naik Harga Padi' 'Harga Padi Murah, Harga Beras Mahal', 'Orang Tengah Untung Atas Angin' dan beberapa sepanduk lain lagi.

Pengerusi Gerakan Suara Orang kampung, Sulaiman Ibrahim atau Leman Raja Lawak dalam piket tersebut mengajak rakyat Malaysia turun ke Demonstrasi Baling 2.0 yang akan diadakan di Baling pada 5 April depan.

"Tujuan demonstrasi ini untuk membela nasib penoreh-penoreh getah yang sedang menghadapi kejatuhan harga getah.

"Penurunan harga getah beku di bawah paras harga kos pengeluaran RM3.21 sekilogram menyebabkan ramai penoreh menderita," katanya.

Selain isu harga getah, turut menjadi kebimbangan mereka adalah mengenai pesawah padi yang berada di bawah paras kemiskinan.

Menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat, ketiadaan sistem pengurusan bendang yang baik menyebabkan sebahagian daripada 172,230 pesawah padi berada di bawah paras kemiskinan.

"Pengeluaran padi negara masih rendah dengan purata 4.2 tan semusim, penggunaan tanah bendang untuk tujuan komersial dan pelbagai masalah tanaman padi menyebabkan beras sebagai food security negara berada dalam keadaan terancam," katanya.

Bagi penternak pula, mereka mengalami masalah kecurian banyak binatang ternakan akibat ketiadaaan sistem pengenalan binatang ternakan.

Penternak secara komersial menghadapi masalah tempat untuk membina ladang ternakan kerana tempat yang diluluskan kerajaan terhad.

Kos pengeluaran racun, baja, makanan ternakan, diesel, sewa jentera dan pula semakin meningkat.

Sementara itu, isu-isu bagi nelayan pula melibatkan pemberian subsidi diesel yang tidak mencukupi menyebabkan nelayan tidak mampu turun ke laut.

Penggunaan pukat hanyut daripada nelayan negara jiran menyebabkan ikan berkurangan serta masalah ruang penempatan bot nelayan di jeti yang tidak mencukupi.

Perkara-perkara ini disebabkan kelemahan agensi kerajaan yang berkaitan dengan petani, penternak dan nelayan.

Jesteru, Pemuda PAS Malaysia sedia menerima sebarang aduan rakyat di talian 019-3940959.

Pemuda PAS juga akan melancarkan Gerakan Suara Orang Kampung ke seluruh negara mengikut jadual berikut:

1. Selangor - 11 Mac 2014
2. Perak - 19 Mac 2014
3. Pulau Pinang - 20 Mac 2014
4. Negeri Sembilan - 21 Mac 2014
5. Pahang - 22 Mac 2014
6. Melaka - 23 Mac 2014
7. Kelantan - 28 Mac 2014
8. Johor - 29 Mac 2014
9. Terengganu - 30 Mac 2014
10. Kedah dan Perlis - 5 April 2014  - HarakDaily