Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Wednesday, June 4, 2014

Rakyat makin terbeban sistem baru subsidi minyak

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membentangkan cadangan sistem subsidi baru petrol dan diesel di Parlimen
 untuk dibahaskan bagi mengambil kira bebanan rakyat yang sedia terbeban akibat menanggung kenaikan harga barang, sebelum sebarang keputusan dibuat.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, dalam keadaan harga barang terus meningkat dan tangga gaji masih belum berjaya dilonjakkan, sebarang perubahan drastik terhadap harga petrol dan diesel sudah tentu akan mempunyai kesan berganda kepada harga barang.

Beliau menambah, rakyat perlu diberikan masa secukupnya, sekurang-kurangnya setahun untuk memberi pandangan sebelum sistem baru ini berkuatkuasa, mengambil kira kesusahan yang dialami rakyat akibat kenaikan harga petrol, elektrik, gula dan barang-barang keperluan lain.

“Jadi Barisan Nasional (BN) wajar membentangkan cadangan rombakan sistem ini ke Parlimen sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.

BN dilaporkan kini sedang memuktamadkan satu sistem subsidi baru petrol dan diesel untuk golongan tertentu mengikut kadar pendapatan.

Setakat ini, laporan menyebut jumlah pendapatan yang dipertimbangkan adalah RM5,000 ke bawah, manakala individu berpendapatan lebih RM10,000 sebulan perlu membeli pada harga pasaran.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan juga bimbang kemungkinan wujudnya pasaran gelap petrol dan diesel jika sistem baru subsidi itu tidak diperhalusi serta dibincangkan secara terbuka.

Beliau khuatir sekiranya sistem baru subsidi ini tidak diperhalusi dan dibincangkan secara terbuka, apabila dilaksanakan kelak ia mewujudkan pasaran gelap petrol dan diesel yang menimbulkan masalah baru lebih besar dari masalah penyeludupan sedia ada kerana ia melibatkan lebih ramai orang dan rakyat biasa.

“Contohnya jika harga subsidi seliter petrol RM2.10 dan harga pasaran adalah RM2.80 seliter, pasaran gelap boleh berlaku apabila kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi menjualnya pada harga RM2.30 seliter kepada ejen pasaran gelap, manakala ejen pasaran gelap menjualnya pada harga RM2.50 seliter kepada syarikat, pengusaha dan orang persendirian yang membeli melalui pasaran gelap,” ujarnya.

Ini, ujar beliau sudah tentu tidak berbaloi apabila dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel serta kesan kenaikan berganda kepada harga barang, sedangkan ketirisan subsidi petrol dan diesel yang dijadikan alasan untuk menukar sistem makin berleluasa. - HarakahDaily

Saturday, May 24, 2014

Kementerian sahkan DNA khinzir dalam dua produk Cadbury

KUALA LUMPUR: Dua sampel coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel (Cadbury Dairy Milk 
Hazelnut) dan Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) dikesan mengandungi DNA khinzir (porcine).
    
DNA khinzir itu dikesan Kementerian Kesihatan dalam sampel Coklat Susu dengan Kacang Hazel bernombor kelompok (batch no) NO200813M01H I2 bertarikh luput 13 Nov 2014; dan Coklat Susu dengan Buah Badam dengan nombor kelompok 221013N01R I1 bertarikh luput 15 Jan 2015.
    
Ketika memaklumkan perkara itu dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata analisis terhadap Cadbury Dairy Milk Chocolate bagaimanapun tidak menemui kandungan DNA tersebut.
    
Isu pengesanan DNA khinzir dalam produk Cadbury tersebar luas di media sosial sejak semalam yang memaparkan keputusan analisis terhadap dua produk berkenaan.
    
Dr Noor Hisham berkata ketiga-tiga sampel coklat itu telah diambil untuk analisis DNA khinzir bagi tujuan pemantauan.
    
Beliau berkata pengeluar coklat terbabit, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd akan memanggil balik produk-produk itu daripada pasaran dengan serta merta.
    
"Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok pada label produk sebelum membeli atau memakannya," kata Dr Noor Hisham.
    
Pengguna boleh mengemukakan sebarang soalan kepada Kementerian Kesihatan melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq. - Bernama ( HarakahDaily )

Saturday, May 17, 2014

PM: Kenaikan tarif elektrik tak dapat dielak

Kenaikan tarif elektrik pada awal tahun ini dilakukan supaya kerajaan tidak perlu mensubsidi operasi TNB dengan dana awam kemudiannya, kata perdana menteri.

Katanya, kenaikan tarif elektrik tidak dapat dielakkan kerana 85 peratus kos TNB terdiri daripada kos bahan api dan harganya semakin meningkat.

“Jika (TNB) menanggung kerugian, apa kemudiannya? Terdapat pelbagai implikasi...

“Pada akhirnya, kita akan belanjakan dana awam untuk mensubsidi TNB. Adakah ini yang kita mahu?

“Kita tidak mahu membebankan rakyat, tetapi hakikatnya kita tiada pilihan,” katanya.

Najib berkata demikian kepada kakitangan TBN dalam acara sempena hari pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu. - MalaysiaKini