Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Tuesday, September 23, 2014

PAS berdoa Azmin dapat pikul amanah besar

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan tahniah kepada Timbalan Presiden PKR yang juga Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali yang telah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai menteri besar yang baharu hari ini.

"PAS berdoa agar amanah yang besar ini akan dapat dipikul oleh YAB Tuan Mohamed Azmin Ali dengan taufik dan panduan dari Allah SWT," ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Tambahnya, PAS berharap pelantikan itu akan memastikan kesinambungan dan kecemerlangan pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Selangor sejak 2008 untuk manfaat rakyat secara keseluruhannya.

PAS juga, kata beliau akan memberikan kerjasama berterusan kepada Menteri Besar Selangor melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang akan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Adun, Ahli Dewan Rakyat PAS dan seluruh Ahli-Ahli Majlis untuk memastikan khidmat yang terbaik kepada rakyat di negeri Selangor secara khususnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, PAS juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di atas khidmat yang cemerlang sebagai Menteri Besar Selangor dari 2008 hingga 2014. 

"Semoga Allah SWT melimpahkan kebaikan dan rahmat-Nya di atas khidmat beliau selama ini," ujarnya beliau lagi. - HARAKAHDAILY 23/9/2014

Saturday, September 6, 2014

JOM KE HIMPUNAN AMAN - HENTIKAN DISKRIMINASI TERHADAP PENEROKA FELDA


Alhamdulillah, SUHAKAM sedia bertemu peneroka Felda pada 11 september, bermula pukul 9.30 pagi. Insyaallah, kengganan Felda memberi Saguhati Hari Raya & insentif FGVH, lesen MPOB, ketidakadilan Perjanjian Pengurusan Tanam Semula dan Kos Tanam Semula, antara yang akan dibangkitkan.

Warga Felda khususnya, Jom hadir beramai ramai. SEBARKAN. - FB Mazlan Aliman

Wednesday, August 6, 2014

Rumah generasi kedua Felda hanya janji p'raya?

TEMERLOH: Desakan daripada Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) sendiri supaya projek Perumahan Generasi Kedua Felda (PGKF) dihentikan kerana masalah harga dan spesifikasi, membuktikan projek yang dicanang untuk pilihan raya itu gagal.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Pahang, Yohanis Ahmad berkata, dakwaan MBFM yang dianggap NGO mewakili generasi kedua yang diiktiraf Felda itu, membenarkan dakwaan Anak sebelum ini bahawa projek tersebut hanya untuk memancing undi pilihan raya.

Sekali gus, ia gagal menyelesaikan masalah generasi kedua dan ketiga Felda yang masih tinggal dalam tanah rancangan yang sesetengah pada masa ini terus duduk sebumbung atau menumpang di tanah peneroka asal.

Sepatutnya perumahan kerajaan mestilah bersifat mampu milik dan ada unsur kebajikan bukannya harga berdasarkan pasaran terbuka. Jika syarat pinjaman yang sangat ketat iaitu melalui bank dan perlukan slip gaji, mungkin tidak ada masalah kepada anak-anak peneroka yang Berjaya dan tinggal di bandar-bandar besar.

“Tetapi syarat itu dikenakan kepada anak-anak peneroka yang masih tinggal di tanah rancangan, ia tentulah tidak munasabah langsung,” katanya.

Yohanis berkata demikian mengulas kenyataan disiarkan akhbar semalam oleh Pengerusi MBFM Wilayah Jengka Nasharuddin Mat Nasir yang menggesa Felda menghentikan segera projek PGBF kerana terdapat rungutan generasi kedua Felda berhubung harga, spesifikasi, pinjaman dan konsep pelaksanaannya.

Kenyataan itu menyebut, di Wilayah Jengka, harga minimum satu unit rumah yang dibina Felda itu sudah mencecah RM120,000 pada masa ini dan tidak seperti dijanjikan.

Selain daripada harganya yang tinggi, syarat pinjaman pula ketat sehingga menyukarkan mereka yang tinggal di tanah rancangan untuk memiliki rumah tersebut. Sebaliknya memberi peluang kepada generasi yang tinggal di luar membelinya.

Yohanis berkata, sebelum pilihan raya umum (PRU) lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib telah mengumumkan sasaran Felda untuk membina 20,000 unit rumah dalam masa lima tahun dan harga dijanjikan sekitar RM60,000.

“Kenapa sekarang harga menjangkau RM120,000 hanya dalam tempoh dua tahun? Ini tidak sepatutnya berlaku kerana perumahan dibina bukan atas tanah komersil atau individu tetapi tanah milik Felda.  Contohnya di Padang Piol padang bola yang dikorbankan.

“Lagipun itu rumah ‘rumah pasang siap’ bagaimana harga boleh melambung begitu tinggi? Pada saya harga RM60,000 itu dah munasabah kerana setiap peneroka pun ada peruntukan RM40,000 daripada Felda untuk pembesaran rumah,” katanya.

Menurut Yohanis, sepatutnya kerajaan sudah ada penilaian sendiri untuk pembinaan rumah tersebut. Jika tidak, itu bermakna Felda membuat projek yang tidak jelas hanya untuk PRU saja.

“Jadi bilakah masalah anak-anak peneroka yang tinggal dan bekerja di ladang-ladang Felda nak selesai?” soalnya. - HARAKAHDAILY 6/8/2014