Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Tuesday, October 13, 2015

Felda perlu selesai segera projek PGBF terbengkalai


SEKALI lagi pihak Hal Ehwal Felda PAS Pusat mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Felda Tan Sri Isa Abdul Samad kerana memberi respons segera terhadap desakan NGO Generasi yang banyak membangkitkan permasalahan perumahan generasi kedua dan ketiga Felda yang sangat mendesak.


Pengerusi Felda mengulangi janjinya untuk memastikan Felda menyiapkan 20,000 unit buah rumah untuk generasi kedua dan ketiga Felda menjelang 2018 dalam satu majlis di Tanjung Malim pada 6 Oktober 2015 lalu.

Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dimulakan pada tahun 2012 dengan peruntukan RM1.4 billion, dan sehingga kini 8,570 unit dalam proses pembinaan dan sebahagian kecil sudah siap dibina di seluruh negara.

Namun apa yang mendukacitakan warga generasi Felda, banyak projek ini menghadapi masalah sehingga menimbulkan kebimbangan dan kesangsian apakah peserta dan pemohon dapat menduduki rumah ini mengikut tempoh yang dijanjikan.

Ada beberapa projek yang sudah siap tetapi tidak dapat dijual kerana perbagai masalah teknikal seperti status tanah dan kelayakan pemohon itu sendiri. Sebagai contoh PGBF di Felda Padang Piol, Jerantut sudah siap sepenuhnya tetapi masih tidak dapat diagihkan.

Apa yang mengejutkan pihak kami, Felda terpaksa membuat pinjaman baharu RM300 juta melalui bank perdagangan untuk selesaikan 7 projek PGBF yang dikategorikan 'sakit'.

Pihak kami telah mengenal pasti 7 projek PGBF sakit ini iaitu, Felda Bukit Sagu, Felda Sungai Retang, Felda Jengka 12, Felda Jengka 6, Felda Bukit Tajau, Felda Kg Awah dan Felda Chini 3, semuanya di Pahang.

Pahang di antara negeri yang paling banyak mendapat projek PGBF, sekitar 4,000 unit buah diperuntukkan dan telah dilaksanakan tetapi masih di tahap 50 peratus pelaksanaa
n dan ada yang terbengkalai di peringkat awal penyediaan tapak lagi.

Di Terengganu, pihak kami mengesan 5 projek perumahan PGBF dan sentuhan kasih. Malangnya tiada satupun projek ini siap sehingga Oktober 2015. Lebih malang ada projek ini hanya dilihat umpan pilihan raya sahaja. 

Di Felda Bukit Bading 98 unit disebut akan dibina dan sudah siap pelancaran pecah tanah oleh Menteri Besar Terengganu pada 2012, apa yang menyedihkan hanya semak samun pengganti unit rumah.

Justeru itu, pihak kami mengharapkan Felda melaksanakan dan menyelesaikan dahulu semua projek PGBF ini sebelum memberi jaminan akan menyiapkan kesemua 20,000 unit menjelang 2018.

Hal Ehwal Felda PAS merasakan adalah tidak wajar satu keperluan warga generasi Felda ini dijadikan umpan dan bahan ugutan untuk kepentingan politik sempit. 

Kami bersetuju dengan penyediaan peruntukan RM1.4 billion untuk 20,000 unit rumah tetapi kami tidak sekali-kali bersetuju sebarang penyelewengan berlaku.

Kami sudah menubuhkan Jawatankuasa untuk memantau semua projek perumahan ini di kawasan Felda seluruh negara bagi memastikan setiap projek ini dilaksanakan dengan telus oleh pihak yang dipertanggungjawabkan. - HARAKAHDAILY 13/10/2015

Wednesday, September 23, 2015

Teks Khutbah Eidul Adha 1436H Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Wahai hamba-hamba Allah! Bertakwalah kepada Allah. Carilah bekalan, sebaik-baiknya bekalan itu ialah bertakwa dan sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa.
Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 96-97 :
Maksudnya: "Sesungguhnya rumah yang pertama didirikan untuk (beribadah kepada Allah) ialah yang berada di Mekah yang diberkati dan menjadi petunjuk kepada seluruh alam. Padanya tanda-tanda yang banyak (diantaranya) makam Ibrahim dan sesiapa memasukinya (baitul Allah itu) menjadi amanlah dia. Allah mewajibkan keatas manusia dikalangan sesiapa yang mampu supaya menunaikan haji kebaitullah itu, dan sesiapa yang kufur (engkar itu melawan perintah ini) maka ketahuilah sesunggunnya Allah itu Maha Kaya (tidak berhajat) kepada seluruh alam."
Teks Khutbah Eidul Adha 1436H Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang boleh di muatturun di :-
 www.terengganukini.net  - PAS Pusat

Sunday, September 6, 2015

Saya temui segalanya di sini

APABILA timbul isu Pasma, GHB dan PAN, saya mengikuti semua berita tentangnya, hampir tiada satu perkataan pun saya tertinggal untuk membacanya sehingga saya lansgung tidak sempat menulis tentangnya kerana untuk membacanya sahaja pun sudah merapatkan otak.

Saya melihat rakan-rakan seperjuangan dan bekas pimpinan saya terutama pada zaman pemuda dan mereka yang saya kagumi menggalas sarat harapan baru mereka meninggalkan PAS. Mereka tegar untuk tinggalkan wadah yang pernah saya dan mereka berduka dan bersuka bersama.

Ada masa-masanya berkaca juga mata melihat mereka, bergentayangan kembali waktu sama-sama bermukhayyam, berjambori dan di dalam program PAS, taujihat dan nasihat mereka sering melalui corong telinga saya dan sehingga kini masih di dalam bekas hati saya.

Saya hanya boleh menghantar ke pintu sahaja, hanya melihat mereka melangkah, tidak munasabah saya tinggalkan PAS yang telah puluhan tahun saya berada di dalamnya kerana semuanya ada di sini, rasanya tiada sesuatu pun yang tidak ada di dalam PAS.

Saya sedih mereka pergi tapi saya gembira untuk kekal di dalam PAS. Di dalam PAS, ada semuanya yang saya idamkan dan perlukan dalam kehidupan saya sebagai seorang muslim. Semuanya mencukupi dan saya sangat tenang dan gembira berada di dalamnya.

Di dalam PAS saya selesa dan berasa selamat dengan dasarnya iaitu al-Qur'an, hadis, ijmak dan qias, juga ada ulama yang membimbing saya di samping pimpinan dan rakan-rakan yang bukan ulama dari golongan profesional sehinggalah golongan marhaen seperti saya.

Perjuangan itu dakwah, dakwah itu berterusan sama ada menang atau kalah dalam pilihan raya, destinasi dakwah ialah sehingga Islam dapat diletakkan di atas, sama ada dengan sebab musuh kalah atau musuh menerimanya. Saya yakin PAS adalah bahtera yang membawa saya kepada destinasi tersebut.

PAS istiqamah menentang kezaliman, Umno tetap menjadi musuh selagi ia tidak kembali kepada Islam dan zalim kepada rakyat, kita telah sepakati bahawa Islam itu "Rahmatan lil Alamin", kerana itu saya kekal dengan PAS yang tegar dengan dasar Islam dan hasratnya. Tiada jalan pintas melainkan kita mesti melalui jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW.

Jika kalian kata PAS lemah, kerana dipimpin oleh manusia yang lemah, kalian pergilah kepada manusia yang tiada kelemahan. Cuma nanti kalau kalian tidak berjumpa dengan apa yang dihajati, kembalilah. Pintu PAS sentiasa terbuka luas untuk dimasuki. Islam itu sentiasa tegas dengan kelembutan.

Pesanan saya yang lemah untuk abang-abang dan adik-adik saya yang telah melangkah meninggalkan PAS, pastikan yang baru itu lebih baik dari yang lama. PAS telah mengajar kalian bahawa kita berjuang untuk runtuhkan kezaliman dan gantikan dengan keadilan, bukan digantikan dengan sesuatu yang hampir sama.

Tiadalah keadilan melainkan sesuatu yang diturunkan oleh Allah SWT yang pasti akan membela seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. – HARAKAHDAILY 4/9/2015

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR,
Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur