Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Tuesday, April 5, 2016

Tudung Bukan Sekadar Bungkus Kepala, Tetapi Ia Adalah Akhlak

Kenyataan Media
Dewan Ulama PAS Selangor (DUPNS)
Bertudung merupakan suatu kewajipan ke atas seorang wanita Muslimah. Ia patut untuk mendidik pemakainya dan penjualnya berakhlaq mulia kerana ia bukan sekadar masalah hukum, tetapi lebih dari itu ia melibatkan persoalan akhlaq. Lagi mulia seseorang itu, lagilah ia perlu untuk menjaga penampilannya dengan baik dan sempurna.
Baru-baru ini, kita digemparkan dengan video pergaduhan sesama pelanggan di sebuah tempat jualan tudung yang berfesyen yang disebarkan di dalam media baru. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana semua pihak yang terlibat dengan jualan beli tudung patut mengambil berat soal akhlaq.
Kepada pembeli tudung, pemikihan jenis tudung amat penting agar tidak sekadar membungkus kepala tetapi ialah menjaga aurat sebagai seorang Muslimah. Janganlah ada yang menutup kepala tetapi pada hakikatnya masih jauh dengan perintah Allah. Selain itu, perlu ingat bahawa matlamat menutup aurat bukan sekadar untuk menjaga zahir sahaja, tetapi ialah untuk menjaga hati agar hilang sifat menunjuk nunjuk, sombong, berasa lawa sangat dan sebagainya.
Kepada penjual tudung, kita bertanggung jawab di hadapan Allah apabila kita menyediakan tudung yang tidak patuh syariah. Mungkin itu adalah salah pembeli yang membeli tudung berkenaan, tetapi penjual juga turut menyumbang saham dengan menyediakan tudung yang tidak patuh syariah. Selian itu, jangan pula ada penjual tudung, tetapi dia sendiri tidak bertudung, seolah olah ia merupakan suatu produk budaya sahaja.
Panduan umum tentang tudung patuh syariah telah diberikan oleh ulama, yang tidak susah untuk kita mematuhinya. Sekiranya para penjual dapat menyediakan tudung yang patuh syariah sehingga dapat membuat gelombang besar kepada masyarakat, pahalanya sungguh besar.
Saya mengajak semua pihak yang berkaitan dengan jual beli tudung, sama ada penjual, pembeli, pereka fesyen, penjahit dan sebagainya agar menjadikannya sebagai suatu tuntutan Islam, bukan sekadar produk budaya dan apatah lagi semata-mata untuk mengaut keuntungan sahaja.
Us Rizuan Rahmat
Ketua
Dewan Ulama PAS Selangor
5 April 2016

Saturday, February 13, 2016

1.5 Juta Bangladesh Pekerja Tempatan Hendak Kerja Apa?

1.5 Juta Bangladesh Pekerja Tempatan Hendak Kerja Apa?
Ustaz Hj Idris Hj Ahmad
Naib Presiden PAS
12 Februari 2016
Tidak cukup lagikah 2.1 juta pekerja asing yang berdaftar di semua sektor. Termasuk yang menjadi jaga di hotel, kadang-kadang bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris pun tidak faham. Menurut perangkaan tidak rasmi, pekerja asing di Malaysia sudah mencecah 7 juta orang. Tiba-tiba kerajaan hendak membawa masuk lagi 1.5 juta daripada Bangladesh. Oleh itu pekerja Malaysia hendak kerja apa.
Sampai bila kerajaan hendak mengurang pergantungan kepada boroh asing. Sedangkan di dalam RMK 11, kerajaan bercadang untuk mengurang 11 peratus pekerja asing. Kalau pun negara perlu sangat kepada pekerja asing, kenapa tidak didaftar semula di kalangan mereka yang masih tinggal secara haram di negara ini sebagai pekerja yang sah.
Adakah benar rakyat Malaysia tidak mahu bekerja. Adakah benar rakyat Malaysia malas bekerja. Adakah rakyat Malaysia memilih kerja. Atau ada di kalangan pemimpin rakyat Malaysia yang hendak berniaga boroh asing. Mungkin ada segelintir rakyat Malaysia yang berfikiran demikian tetapi masih ramai yang mahu bekerja di sektor separa mahir.
Ada di kalangan siswazah yang bekerja juru pam minyak, operator kilang, restoran makanan segera, menjual top up telefon.
Apakah kerajaan tidak berfikir berapa billion setahun wang negara dihantar oleh boroh asing ke negara asal mereka. Adakah ini baik dari segi ekonomi untuk jangka panjang, kerana pendapatan mereka tidak dibelanja di negara kita.

Saturday, January 2, 2016

Berjuang: Malulah Kita Jika Sudah Merasa Penat

KUALA LUMPUR: Ujian dan penentangan yang berlaku kepada Nabi Muhammad SAW ketika berdakwah amat jauh berbanding dengan apa yang menimpa kepada kita sekarang.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menerusi laman facebook.

"Malulah kita, jika sudah merasa letih dan penat di dalam kita berdakwah dan berjuang, sedangkan kerja yang kita buat tidak berapa banyak," ujarnya.
Beliau menambah, Nabi Muhammad SAW diutuskan bukan untuk menunjuk tamadun kebendaan, tetapi hadir untuk memberi petunjuk agama yang tidak boleh dicapai oleh akal seperti syurga,neraka, pahala dan dosa.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berata, manusia akan binasa apabila urusan akhirat difikirkan mengikut logik akal tanpa berpandukan wahyu Ilahi. - HARAKAHDAILY 30/12/2015