Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Saturday, July 30, 2016

Dakwaan TMJ terhadap Felda, menteri jawab dengan lakonan


Apabila wawancara Tuanku Ismail yang membidas Felda kerana menyalahgunakan wang peneroka bagi kepentingan individu tertentu, dan mempersoalkan keperluan agensi kerajaan sepertinya menubuhkan pasukan bola sepak dan penyelewengan dana yang diperuntukkan untuk golongan miskin tersebar melalui laman Facebook pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Lantas, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ismail Sabri Yaakob menjawab 'Felda tidak pernah lari dari landasan asal'. Beliau berkata Felda digalakkan mencari pendapatan bagi membolehkan ia berdikari dan menampung perbelanjaan mereka.

“Felda tidak pernah lari pun daripada landasan asalnya. Felda daripada asalnya, menyusun semula masyarakat, memberikan tanah kepada orang Melayu yang tidak ada tanah untuk tingkatkan pendapatan mereka dan sebagainya.

“Bukan bermakna Felda itu berniaga, ia lari daripada tujuan asal. Felda satu ketika dahulu, sewaktu ditubuhkan, mendapat bantuan, sokongan kewangan daripada kerajaan,” petikan ucapan Menteri ini disiarkan oleh media web feldavoice.http://www.feldavoice.com/2016/07/28/felda-tidak-pernah-lari-dari-landasan-asal-ismail-sabri-jawab-tuduhan-tmj/

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini seolah-olah menafikan seribu macam permasalahan yang sudah melanda Felda sejak Tan Sri Isa Abdul Samad dilantik menjadi Pengerusi Felda oleh Perdana Menteri pada 2011.

Terbaharu, peneroka di seluruh negara dikejutkan dengan kegagalan pihak Felda membayar duit hasil jualan BTB  mereka dan lebih parah masalah ini sudah menular di beberapa negeri dan tanah rancangan Felda. Sehingga hari ini menteri terbabit tidak pula memberi penjelasan mengapa perkara ini berlaku.

Saya pernah membangkitan keluhan kontraktor-kontarktor Felda beberapa minggu lalu, mereka tidak menerima bayaran tuntutan kerja mereka sejak beberapa bulan lalu. Sehingga kini Tan Sri Isa Samad membisu. Banyak perkara pelik dan pemborosan yang melibatkan kewangan Felda dilaporkan sejak 2011 hingga kini.

Penyenaraian FGV di papan utama bursa saham pada 2012 sesungguhnya telah mengubah segalanya. Tranformasi yang dilaungkan oleh Perdana Menteri benar-benar sudah mengubah Felda dari sejak penubuhannya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober 2011 lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB), syarikat milik penuh Federal Land Development Authority (FELDA) akan disenaraikan di Bursa Saham Malaysia.

Penyenaraian ini dijangka mampu menjana dana sebesar RM6 bilion. Bagi menjayakan impian ini, FGV perlu menguasai kedudukan kukuh dalam Felda. Peneroka seluruh negara tidak sedar penyingkiran Koperasi Permodalan Felda (KPF) dari Felda Holdings adalah satu kesilapan besar. KPF yang menguasai ekuiti 51 peratus pegangan kepentingan di dalam FHB, manakala baki 49 peratus dikuasai badan-badan kerajaan. Ke mana hasil dari dana penyenaraian ini?

KPF yang menguasai 51 peratus ekuiti dalam Felda Holdings Berhad ( FHB ) telah ditendang keluar dari Felda apabila perwakilan bersetuju menyerahkan 112,199,999 kepada Felda Global Venture Holdings Berhad (FGVH) dengan kaedah mengangkat tangan tanpa melalui penerangan dan taklimat khas berkaitan. Sejarah hitam ini berlaku pada 27 Oktober 2013 jam 10 pagi di Dewan Banquet Menara Felda.

Penyingkiran KPF dari dari menguasai FHB dengan 51 peratus pegangan saham yang sebelum ini menjadi kebanggaan peneroka Felda telah membuka mata peneroka Felda seluruh negara. FGV telah mengambil alih semua kepentingan 112,199,999 unit saham bersamaan 51 peratus dengan nilai yang sangat tidak munasabah iaitu RM2.2bilion ataupun RM19.61 sesaham.

Peneroka Felda digambarkan saham ini akan membawa mereka menjadi golongan rakyat yang berpendapatan tinggi. Perdana Menteri sendiri mengungkapkannya dalam membawa Felda ke arah tranformasi dan mampu mengubah kehidupan warga peneroka Felda.

Saham FGV yang diniagakan dengan nilai IPO RM4.45 seunit menjunam dengan teruk sehingga kini. Dengan harga semasa tidak melepasi RM1.90 pada suku kedua tahun ini, menambahkan lagi kebimbangan  peneroka Felda terhadap nasib mereka, walaupun hanya memiliki hanya 2.2 peratus keseluruhan saham FVG yang di keluarkan. Peneroka Felda hanya diperuntukkan 800 unit saham sahaja.

Peneroka Felda berhutang dengan bank perdagangan RM3,560 tidak termasuk faedah dan mengalami kerugian semasa RM2,080 pada pada 27 Julai 2016, apabila urusniaga ditutup dengan nilai semasa RM1.85 seunit. Lebih malang lagi peneroka terpaksa membayar pinjaman kepada Felda RM50 setiap bulan untuk melunaskan pinjaman pembelian saham sebanyak 800 unit. Kerajaan telah mengumumkan Felda telah mengambil alih hutang peneroka dari bank setelah setahun pinjaman ini dibuat.

Bagaimana pula kerugian syarikat, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri dan lain-lain yang memiliki saham FGV dan sudah pastinya mereka membuat pelaburan yang besar dan kini sedang menanggung kerugian akibat kejatuhan nilai semasa saham FGV ini yang terpaksa dikeluarkan dari senaraian utama di papan bursa.

Penjualan aset Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV)  di luar negara, FGV telah menjual keseluruhan kepentingannya dalam Twin Rivers Technologies Enterprises de Transformation de Granines Oleagineuses du Quebec Inc (TRT-ETGO) dengan nilai AS$180 juta atau RM608.2 juta, isu ini terus menjadi tanya rakyat Malaysia kerana pihak FGV tidak pernah menjelaskan kedudukan keuntungan yang didakwanya mencecah RM65 juta.

Tidak ada laporan lengkap keuntungan yang didakwa FGV, sebaliknya ada sumber yang sangat boleh dipercayai mendakwa FGV mengalami kerugian besar berkait penjualan ini sehingga mencecah RM800 juta.

Pada awal julai 2015 lalu, FGV seperti mana dilaporkan Bloomberg dijangka memperolehi lebih RM1 bilion selepas berjaya menjual kilang TRT-ETGO yang telah menarik minat pembida pada harga AS$180 juta (RM686 juta) hingga AS$250 juta (RM953 juta).

Hanya sebulan selepas laporan Bloomberg, FGV telah melaporkan penjualan TRT-ETGO ini dengan harga RM608.2 juta kepada Viterra Inc, pengendali dan pemasar bijirin dan minyak terkemuka Kanada.

Pada 11 Ogos lalu, bekas Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir Mavani mengesahkan bahawa perbincangan dengan lima syarikat antarabangsa berminat untuk membida TRT-ETGO masih berjalan. Hanya jarak waktu 14 hari, FGV telah mengumumkan penjualan ini.

Ketika peneroka Felda berhadapan dengan kejatuhan harga komuditi sawit dan getah, Felda telah mengumunkan projek penerokaan dalam segmen penginapan di luar negara melibatkan kos RM373.4 juta.

Bilik yang berharga hampir RM1 juta berhampiran Wembly Stadium London didakwa mampu membawa Felda mencapai matlamat menambah pendapatan kepada syarikat dalam langkah strategik Felda melalui Felda Investment Corporation (FIC).

Ini hanya sebahagian permasalah yang melanda Felda. Peliknya menteri ini tidak menyedari masalah hutang yang sedang melingkari peneroka Felda waktu ini. Berjayakah kita jika peneroka Felda meninggal dunia dengan hutang puluh ribu bahkan ada sebahagian mencecah ratus ribu? Hutang yang ditinggalkan ini bakal diwarisi generasi seterusnya. Apakah dasar Felda ada menyatakan peneroka akan mati dengan hutang ratusan ribu? Apa benar masih berada di landasan sebenar?

Hentikanlah lakonan ini, kami mengharapkan menteri dapat menyelami isu sebenar, bukan berkata ikut skip. Kami tidak nafikan penubuhan Felda oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1960 membawa kejayaan memberi tanah kepada 112,635 peneroka dan ditempatkan di 317 buah rancangan.

Naraza Muda
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
29 Julai 2016 / 24 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 29/7/2016

Thursday, June 9, 2016

Bendera: Tiba-tiba dia menangis, meluru keluar

SEDANG kami bersembang setelah habis tazkirah subuh di Markaz Pemuda pagi tadi, tiba-tiba seorang sahabat lengkap berpakaian AMAL datang mengadu banyak bendera PAS disabotaj tengah malam tadi.

Sambil mengadu, sambil marah-marah. Membebel seorang diri, kami biarkan dia meluahkan perasaannya. Tiba-tiba dia menangis, meluru keluar sambil membuka serban, dijadikan kain mengesat air matanya.

"Kenapa diorang tak ingat Allah sampai buat jahat kat kita macam ni?"

Rungutan yang diulang-ulang, menyedarkan kami akan kejujuran niatnya. Kagum dan terharu.

Padahal logiknya, bendera je pun. Tak perlulah sampai menangis

Sungguh, apabila terlibat di medan bawahan, kita akan belajar dengan orang yang tidak terpelajar tentang ilmu IKHLAS dan KEJUJURAN. Sedangkan dunia pada hari ini sedang kehilangan dua nikmat tersebut.

Orang seperti ini memang tidak 'standard' di mata dunia. Tetapi al-Quran mengajar agar mendahulukan mereka, berdamping dengan mereka.

Cuba baca balik surah 'Abasa.

USTAZ ABDUL MU'IZZ MUHAMMAD
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 9/6/2016

Wednesday, May 25, 2016

RM792 juta janji di Sarawak, berapa pula PRK Sg Besar dan K Kangsar?


Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman, kerajaan BN telah menjanjikan 400 projek bernilai RM792.34 juta untuk Sarawak sempena pilihan raya negeri.

Berapakah jumlah yang kerajaan pusat BN bakal janjikan pula sempena pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang bakal menjelang memandangkan dua PRK ini menjadi referendum penting bagi nyawa politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

Pada Pilihan raya Umum ke-13, kempen BN dikatakan dibantu menggunakan dana derma saudagar Arab. Dana siapa pula yang bakal digunakan untuk kedua-dua PRK kali ini? Dan dana mana pula yang digunakan ketika PRN Sarawak?

Melihat cara BN berkempen dengan janji RM792 juta di Sarawak, tidak dinafikan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar bakal menyaksikan satu petempuran sengit antara BN dan PAS.

Saya percaya tiada siapa dalam kalangan pembangkang yang ingin terus melihat bagaimana PM and pemimpin BN membuat kenyataan seperti “GST diterima rakyat”, “Rakyat percaya tiada salahlaku pada derma RM2.6 bilion”, “BN sememangnya menjaga rakyat”, “Rakyat percaya PM tidak terlibat dengan 1MDB”, “BN kerajaan yang bersih” dan sebagainya sekiranya BN memenangi PRK ini seperti yang terjadi di Sarawak.

Diharapkan pihak pembangkang yang tidak sudi membantu PAS, jangan mengambil sikap menyusahkan sambil memudahkan kerja BN mencapai kemenangan pada kedua-dua PRK ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
18 Syaaban 1437 / 25 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 25/5/2016