Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Saturday, September 17, 2016

Nama 2 DUN Pahang Bakal Diubah

KUANTAN: 15 September 2016 - Dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang akan diubah namanya menerusi persempadanan semula yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ia adalah DUN Jengka yang akan diletakkan semula di Parlimen Maran bagi menggantikan DUN Kuala Sentul.
Ketika ini, DUN Jengka terletak di bawah Parlimen Kuala Krau. Seramai 22,765 daftar pemilih disenaraikan di DUN Jengka membabitkan 12 daerah mengundi. Selain itu, kawasan diubah namanya menerusi persempadanan semula itu adalah DUN Paya Pulai yang ketika ini sebahagian daripada DUN Kuala Semantan di bawah Parlimen Temerloh.
DUN Paya Pulai yang mempunyai seramai 11,229 daftar pemilih membabitkan lapan daerah mengundi disyorkan diletakkan di bawah Parlimen Kuala Krau.
SPR dalam notis kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di Pahang menyatakan tiada perubahan bilangan kawasan Parlimen dan DUN di negeri ini. "Ada pindaan dan perubahan kepada bahagian pilihan raya negeri membabitkan dua bahagian (DUN). "Jumlah bilangan pemilih adalah seramai 740,023 orang yang ditentukan SPR dan diwartakan 13 Mei 2016," katanya dalam buku notis dipamerkan di pejabat SPR Pahang di Wisma Persekutuan di sini.
Notis dan peta kawasan Parlimen serta DUN itu mula dipamerkan kepada orang ramai mulai jam 8 pagi tadi. Tarikh bantahan syor persempadanan semula itu bermula hari ini sehingga 14 Oktober depan yang boleh dibuat secara bertulis kepada SPR.
Ia hendaklah dihantar kepada Pegawai Pilihan Raya di alamat Pengarah Pilihan Raya Negeri Pahang, Tingkat 8, Wisma Persekutuan, Jalan Gambut, 25000, Kuantan, Pahang. PAS Pusat

Saturday, August 13, 2016

FGV: Beruang anak emas, peneroka anak pungut

IMAGEKRISIS yang melanda syarikat korporat Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGV) masih diperkatakan sehingga ke hari ini. Daripada konflik kepimpinan yang menerajuinya sehinggalah kepada prestasi pasaran semasa dan kedudukan saham FGV yang masih kekal di bawah RM2.00.

Ketiadaan fokus yang lebih jitu bagi menyelesaikan masalah yang semakin membengkak, FGV pula sebaliknya dilihat menyalurkan sejumlah besar wangnya bagi kempen melindungi beruang matahari di Terengganu.

Fokus kerajaan bagi memulihkan kedudukan saham FGV merupakan suatu perkara yang sangat mustahak. Jika jutaan ringgit dapat disalurkan bagi menyelamatkan kepupusan spesies haiwan tersebut, apakah suatu yang terlalu sukar bagi kerajaan memenuhi harapan 100,000  peneroka yang pernah dijanjikan dengan keuntungan berlipat kali ganda hasil pelaburan daripada FGV suatu ketika dahulu.

Namun, persoalan yang masih tinggal tanda tanya adalah apakah langkah strategik kerajaan bagi meningkatkan prestasi pasaran saham yang pernah mencapai nilai RM5.39 pada awal-awal hari saham tersebut diniagakan pada 2012 yang lalu?

Apakah faktor tersebut benar-benar berpunca daripada kejatuhan harga komoditi dunia atau sememangnya krisis kepimpinan Felda telah mengalami 'deficit-trust' yang menyumbang kepada kesan negatif terhadap keyakinan para pelabur. Rakyat khususnya peneroka Felda berhak mendapatkan jawapannya. – HARAKAHDAILY 13/8/2016

Saturday, July 30, 2016

Dakwaan TMJ terhadap Felda, menteri jawab dengan lakonan


Apabila wawancara Tuanku Ismail yang membidas Felda kerana menyalahgunakan wang peneroka bagi kepentingan individu tertentu, dan mempersoalkan keperluan agensi kerajaan sepertinya menubuhkan pasukan bola sepak dan penyelewengan dana yang diperuntukkan untuk golongan miskin tersebar melalui laman Facebook pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Lantas, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ismail Sabri Yaakob menjawab 'Felda tidak pernah lari dari landasan asal'. Beliau berkata Felda digalakkan mencari pendapatan bagi membolehkan ia berdikari dan menampung perbelanjaan mereka.

“Felda tidak pernah lari pun daripada landasan asalnya. Felda daripada asalnya, menyusun semula masyarakat, memberikan tanah kepada orang Melayu yang tidak ada tanah untuk tingkatkan pendapatan mereka dan sebagainya.

“Bukan bermakna Felda itu berniaga, ia lari daripada tujuan asal. Felda satu ketika dahulu, sewaktu ditubuhkan, mendapat bantuan, sokongan kewangan daripada kerajaan,” petikan ucapan Menteri ini disiarkan oleh media web feldavoice.http://www.feldavoice.com/2016/07/28/felda-tidak-pernah-lari-dari-landasan-asal-ismail-sabri-jawab-tuduhan-tmj/

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini seolah-olah menafikan seribu macam permasalahan yang sudah melanda Felda sejak Tan Sri Isa Abdul Samad dilantik menjadi Pengerusi Felda oleh Perdana Menteri pada 2011.

Terbaharu, peneroka di seluruh negara dikejutkan dengan kegagalan pihak Felda membayar duit hasil jualan BTB  mereka dan lebih parah masalah ini sudah menular di beberapa negeri dan tanah rancangan Felda. Sehingga hari ini menteri terbabit tidak pula memberi penjelasan mengapa perkara ini berlaku.

Saya pernah membangkitan keluhan kontraktor-kontarktor Felda beberapa minggu lalu, mereka tidak menerima bayaran tuntutan kerja mereka sejak beberapa bulan lalu. Sehingga kini Tan Sri Isa Samad membisu. Banyak perkara pelik dan pemborosan yang melibatkan kewangan Felda dilaporkan sejak 2011 hingga kini.

Penyenaraian FGV di papan utama bursa saham pada 2012 sesungguhnya telah mengubah segalanya. Tranformasi yang dilaungkan oleh Perdana Menteri benar-benar sudah mengubah Felda dari sejak penubuhannya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober 2011 lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB), syarikat milik penuh Federal Land Development Authority (FELDA) akan disenaraikan di Bursa Saham Malaysia.

Penyenaraian ini dijangka mampu menjana dana sebesar RM6 bilion. Bagi menjayakan impian ini, FGV perlu menguasai kedudukan kukuh dalam Felda. Peneroka seluruh negara tidak sedar penyingkiran Koperasi Permodalan Felda (KPF) dari Felda Holdings adalah satu kesilapan besar. KPF yang menguasai ekuiti 51 peratus pegangan kepentingan di dalam FHB, manakala baki 49 peratus dikuasai badan-badan kerajaan. Ke mana hasil dari dana penyenaraian ini?

KPF yang menguasai 51 peratus ekuiti dalam Felda Holdings Berhad ( FHB ) telah ditendang keluar dari Felda apabila perwakilan bersetuju menyerahkan 112,199,999 kepada Felda Global Venture Holdings Berhad (FGVH) dengan kaedah mengangkat tangan tanpa melalui penerangan dan taklimat khas berkaitan. Sejarah hitam ini berlaku pada 27 Oktober 2013 jam 10 pagi di Dewan Banquet Menara Felda.

Penyingkiran KPF dari dari menguasai FHB dengan 51 peratus pegangan saham yang sebelum ini menjadi kebanggaan peneroka Felda telah membuka mata peneroka Felda seluruh negara. FGV telah mengambil alih semua kepentingan 112,199,999 unit saham bersamaan 51 peratus dengan nilai yang sangat tidak munasabah iaitu RM2.2bilion ataupun RM19.61 sesaham.

Peneroka Felda digambarkan saham ini akan membawa mereka menjadi golongan rakyat yang berpendapatan tinggi. Perdana Menteri sendiri mengungkapkannya dalam membawa Felda ke arah tranformasi dan mampu mengubah kehidupan warga peneroka Felda.

Saham FGV yang diniagakan dengan nilai IPO RM4.45 seunit menjunam dengan teruk sehingga kini. Dengan harga semasa tidak melepasi RM1.90 pada suku kedua tahun ini, menambahkan lagi kebimbangan  peneroka Felda terhadap nasib mereka, walaupun hanya memiliki hanya 2.2 peratus keseluruhan saham FVG yang di keluarkan. Peneroka Felda hanya diperuntukkan 800 unit saham sahaja.

Peneroka Felda berhutang dengan bank perdagangan RM3,560 tidak termasuk faedah dan mengalami kerugian semasa RM2,080 pada pada 27 Julai 2016, apabila urusniaga ditutup dengan nilai semasa RM1.85 seunit. Lebih malang lagi peneroka terpaksa membayar pinjaman kepada Felda RM50 setiap bulan untuk melunaskan pinjaman pembelian saham sebanyak 800 unit. Kerajaan telah mengumumkan Felda telah mengambil alih hutang peneroka dari bank setelah setahun pinjaman ini dibuat.

Bagaimana pula kerugian syarikat, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri dan lain-lain yang memiliki saham FGV dan sudah pastinya mereka membuat pelaburan yang besar dan kini sedang menanggung kerugian akibat kejatuhan nilai semasa saham FGV ini yang terpaksa dikeluarkan dari senaraian utama di papan bursa.

Penjualan aset Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV)  di luar negara, FGV telah menjual keseluruhan kepentingannya dalam Twin Rivers Technologies Enterprises de Transformation de Granines Oleagineuses du Quebec Inc (TRT-ETGO) dengan nilai AS$180 juta atau RM608.2 juta, isu ini terus menjadi tanya rakyat Malaysia kerana pihak FGV tidak pernah menjelaskan kedudukan keuntungan yang didakwanya mencecah RM65 juta.

Tidak ada laporan lengkap keuntungan yang didakwa FGV, sebaliknya ada sumber yang sangat boleh dipercayai mendakwa FGV mengalami kerugian besar berkait penjualan ini sehingga mencecah RM800 juta.

Pada awal julai 2015 lalu, FGV seperti mana dilaporkan Bloomberg dijangka memperolehi lebih RM1 bilion selepas berjaya menjual kilang TRT-ETGO yang telah menarik minat pembida pada harga AS$180 juta (RM686 juta) hingga AS$250 juta (RM953 juta).

Hanya sebulan selepas laporan Bloomberg, FGV telah melaporkan penjualan TRT-ETGO ini dengan harga RM608.2 juta kepada Viterra Inc, pengendali dan pemasar bijirin dan minyak terkemuka Kanada.

Pada 11 Ogos lalu, bekas Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Emir Mavani mengesahkan bahawa perbincangan dengan lima syarikat antarabangsa berminat untuk membida TRT-ETGO masih berjalan. Hanya jarak waktu 14 hari, FGV telah mengumumkan penjualan ini.

Ketika peneroka Felda berhadapan dengan kejatuhan harga komuditi sawit dan getah, Felda telah mengumunkan projek penerokaan dalam segmen penginapan di luar negara melibatkan kos RM373.4 juta.

Bilik yang berharga hampir RM1 juta berhampiran Wembly Stadium London didakwa mampu membawa Felda mencapai matlamat menambah pendapatan kepada syarikat dalam langkah strategik Felda melalui Felda Investment Corporation (FIC).

Ini hanya sebahagian permasalah yang melanda Felda. Peliknya menteri ini tidak menyedari masalah hutang yang sedang melingkari peneroka Felda waktu ini. Berjayakah kita jika peneroka Felda meninggal dunia dengan hutang puluh ribu bahkan ada sebahagian mencecah ratus ribu? Hutang yang ditinggalkan ini bakal diwarisi generasi seterusnya. Apakah dasar Felda ada menyatakan peneroka akan mati dengan hutang ratusan ribu? Apa benar masih berada di landasan sebenar?

Hentikanlah lakonan ini, kami mengharapkan menteri dapat menyelami isu sebenar, bukan berkata ikut skip. Kami tidak nafikan penubuhan Felda oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1960 membawa kejayaan memberi tanah kepada 112,635 peneroka dan ditempatkan di 317 buah rancangan.

Naraza Muda
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
29 Julai 2016 / 24 Syawal 1437 - HARAKAHDAILY 29/7/2016