Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Wednesday, April 13, 2011

PRU 13 - SEMAKIN JELAS TANDANYA

KUALA LUMPUR 11 April : Di sebalik desas-desus kemungkinan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada tahun ini, laporan media menyebut sudah ada notis meminta peperiksaan sekolah-sekolah kerajaan pada pertengahan tahun ini akan dipercepatkan dipercayai sebahagian daripada persiapan menghadapi hari pengundian kelak.

Laporan Sin Chew Daily hari ini menyebut, kerajaan persekutuan telah mengedarkan satu notis yang meminta pihak sekolah supaya mempercepatkan peperiksaan kerana pilihan raya umum ke-13 akan diadakan pada Jun atau Julai ini, bergantung pada keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.

Akhbar itu berkata beberapa sekolah di Negeri Sembilan juga telah menerima notis tersebut dan peperiksaan mesti diadakan pada bulan depan serta dewan sekolah pula tidak boleh disewakan kepada awam mulai Jun dan bulan seterusnya.


Penganalisis dan pemerhati politik berkata pilihan raya paling cepat akan diadakan pada Jun atau Julai dan mungkin pada Oktober memandangkan Ogos dan September merupakan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri manakala November umat Islam akan menunaikan haji.

Friday, February 18, 2011

SUSUN STRATEGI YANG MANTAP


Berbaloikah 'peleburan duit rakyat' yang dikeluarkan
dengan majoriti kemenangan BN?

Pensyarah Jabatan Kanan Pengajian Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah menyifatkan keputusan pilihanraya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kerdau dan Merlimau hanyalah sebuah 'pesta di peringkat tempatan' yang tidak harus dibanggakan oleh Umno-BN.

Menurut beliau, pertambahan majoriti untuk kedua-dua kubu kuat BN itu adalah sesuatu yang lazim apabila jumlah pemilih baru yang didaftarkan juga meningkat berbanding 2008. Namun menurut beliau, senario itu sama sekali tidak memberikan petunjuk secara total berhubung trend pengundian rakyat pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti.  

"Keputusan PRK bukan petunjuk untuk pilihan raya akan datang. Ia hanyalah sebuah pesta demokrasi di peringkat tempatan. Peningkatan undi BN sudah dijangka. Bagaimanapun, peratusan undi hampir sama dengan tahun sebelumnya dan tiada perbezaan ketara. Kemungkinan pengundi tempatan tidak menerima maklumat yang jelas dan bergantung kepada kempen sahaja. Mereka didorong situasi semasa," katanya.


Di DUN Merlimau, calon BN semalam berjaya menewaskan calon PAS, Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi menewaskan calon PAS Yuhaizad Abdullah. Manakala di DUN Kerdau, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad mendapat majoriti 2,724 mengalahkan calon PAS, Hasanuddin Salim.

Menang PRK tak bermakna menang juga PRU...
"Kalau kita lihat pada 2008 dan kita bandingkan pada hari ini, kita dapati pertambahan pemilih sekitar 1,000 lebih namun kita harus melihat kepada peratusan. Peratusannya hampir sama. Ini bermaksud tidak ada perubahan yang begitu ketara yang membolehkan satu pernyataan dibuat bahawa Barisan Nasional berada di standard yang lebih baik berbanding 2008 kerana pertambahan pemilih itu," katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan Pakatan Rakyat untuk menyusun strategi yang lebih mantap dari segi teknikal dan kepimpinan untuk mengimbangi kestabilan kerajaan Umno-BN. Ujarnya, sikap rakyat yang mudah termakan janji-janji politik Umno-BN juga menjadi faktor utama yang mendorong kepada peningkatan undi. 

Friday, January 14, 2011

ISLAM TIDAK IKTIRAF KETUANAN BANGSA

Misi terpenting kedatangan Islam ialah untuk menghapuskan kepatuhan dan ketuanan berasaskan bangsa dan warna kulit dan menggantikan dengan ketuanan berasaskan keimanan dan ketaqwaan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz NIk Mat berkata perkara ini perlu difahami oleh semua pihak sama ada mereka dari kalangan umat Islam mahupun dari kalangan bukan Islam.


"Dalam konsep kepimpinan, baginda Nabi s.a.w mengajar supaya mereka yang dipimpin wajib patuh kepada pemimpin walaupun pemimpin itu seorang hamba berkulit hitam," kata beliau ketika berucap di majlis perhimpunan bulanan penjawat awam di Kota Darulnaim pagi ini.


Dalam masyarakat Arab jahiliyyah kata beliau, bangsa kulit hitam yang berasal dari Habsyah (Afrika) amat dipandang hina kerana mereka adalah golongan hamba abdi yang tiada sebarang hak malah boleh di jual beli.


"Rasulullah s.a.w. sengaja menggunakan kiasan ini untuk menunjukkan Islam membawa misi pembebasan fikiran yang dibawa oleh Islam supaya pengagungan bangsa dihapuskan. M
ana-mana pihak yang terus berbincang berkenaan ketuanan bangsa segera menghentikan amalan buruk itu kerana ia bukan sekadar bertentangan dengan konsep hak asasi manusia malah sesuatu yang bercanggah dengan Islam."

"Di akhirat kita semua akan hanya terbahagi tiga iaitu mereka yang beriman, orang munafik dan golongan kuffar. T
idak akan ada soalan tentang bangsa, warna kulit, dan keturunan di akhirat nanti melainkan tiga kumpulan ini sahaja."

"Mereka yang meninggalkan aqidah yang jadi simpulan pegangan kaum mukminin dengan memilih nasionalis dan ideologi ciptaan manusia lain akan menerima padah di akhirat di samping mereka akan menjadi permainan pihak lain di dunia ini," tegasnya lagi.