Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Wednesday, February 27, 2013

Manifesto Pakatan Rakyat mesra anak muda

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat 10 perkara penting yang ditekankan di dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR) adalah bagi tawaran kepada anak muda khasnya dan rakyat amnya untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini nanti.

“Ianya sudah tentu bagi menjamin peranan dan keperluan anak muda di era perubahan dan keyakinan atas sokongan kepada PR bagi membina Negara yang lebih berprinsipkan keadilan dan berkebajikan,” ujar Naib Ketua DPPM, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss(gambar).

Katanya, antara intipati yang menarik yang boleh dikongsi bersama anak muda adalah jaminan PR untuk memastikan 1 juta peluang pekerjaan baru untuk rakyat khasnya.

Malah, ujarnya penekanan bagi perlaksanaan gaji minima juga diambil berat dan penubuhan tabung dengan peruntukan RM2 bilion bagi permudah pelaksanaan gaji minima.

Tambahnya lagi, antara penekanan lain juga adalah untuk memastikan 1 juta tenaga kemahiran terlatih dari kalangan lepasan sekolah diwujudkan.

PR juga, ujar beliau melihat perlunya universiti teknikal di negara ini dan akan menyediakan lima buah universiti tersebut.

“Penyediaan latihan kepada 1 juta belia dan lepasan sekolah akan dirangka oleh kerajaan PR jika diberikan mandat oleh rakyat kelak, malah penyediaan 25 sekolah vokasional juga sebahagian daripada perancangan untuk generasi belia dalam negara kita,” katanya lagi.

Beliau menambah, bagi rumah mampu milik juga menjadi fokus utama untuk semua lapisan masyarakat dan golongan anak muda yang telah mendirikan rumah tangga juga mengisi keperluan tersebut.

Selain itu, ujarnya PR bersedia untuk melihat dasar automotif yang akan menguntungkan rakyat khasnya bagi tujuan keperluan kenderaan.

“Malah PR juga berjanji agar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan. Penumpuan ke atas pakej pengajian dan perkhidmatan awam juga dipastikan bagi kemudahan dalam negara kita.

“Kami yakin pengisian di atas manifesto PR akan menjamin dan memelihara Negara kita agar lebih berdaya saing dan menjadi negara maju di masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau lagi, ia juga mengisi kehendak dan peranan yang dimainkan oleh generasi muda khasnya yang menjadi aset penting di dalam negara kita. - HarakahDaily

Monday, February 25, 2013

TG Nik Aziz aset terbesar Pakatan - Anwar


(Pemimpin utama PAS, PKR dan DAP di Konvensyen Pakatan Rakyat ke - 4 hari ini)

SHAH ALAM: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan rekod kepimpinan yang ditunjukkan Tuan Guru Datuk Nik Aziz selama 22 tahun di Kelantan adalah aset terbesar Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya.

Bagi beliau, intergriti dan good governance yang ditunjukkan Tuan Guru Nik Aziz selama 22 tahun mentadbir Kelantan membuktikan kehebatan kepimpinan yang ada pada Pakatan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan di Konvensyen Pakatan Rakyat ke 4 di Pusat Konvensyen Shah Alam tengahari tadi.

Kata Anwar, tidak ada mana-mana pemimpin di rantau sebelah sini yang boleh mengatasi kehebatan Tuan Guru Nik Aziz dari segi intergritinya.

Anwar juga berkata, Pakatan Rakyat juga berbangga dengan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Guan Eng hebat dari segi kecekapan dan ketelusan yang ditunjukkan oleh kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin beliau.

"Beliau juga sanggup mengaku kelemahannya untuk memahami keperluan Melayu Pulau Pinang.

"Selepas kita beritahu, dia telah memperuntukkan setengah bilion ringgit (RM500 juta) untuk perumahan di Pulau Pinang," kata Anwar.

Anwar juga berkata, Pakatan Rakyat sangat berbangga dengan kehebatan yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Dengan perancangan yang dibuat oleh Khalid, lihatlah apa yang dikecapi oleh rakyat Selangor sekarang," kata Anwar dalam ucapannya memuji kehebatan Khalid dalam membangunkan ekonomi Selangor. - HarakahDaily

Sunday, February 24, 2013

4 kali ramalan tarikh bubar parlimen terlepas


KOTA BHARU: Sudah empat kali ramalan tarikh pembubaran parlimen terlepas begitu sahaja. Terakhir seperti disebut ramai 22 Febuari juga tidak menjadi kenyataan.

Tiba-tiba hari ini Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) belum diumumkan kerana kerajaan mahu dasar transformasi negara benar-benar terbukti berjaya.

"Sebab itulah saya tunggu sampai kita letih hendak buat PRU, kita tunggu kerana saya hendak buktikan dasar transformasi negara benar-benar berjaya," katanya ketika melancar projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban Sentral di Seremban hari ini.

Persoalannya sejuah mana kenyataan Perdana Menteri itu mempunyai asas yang kuat atau ada sesuatu di sebaliknya.

Bagaimananpun bagi Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasuruddin Hassan Tantawi(gambar) bukan isu transformasi yang menyebabkan Perdana Menteri sering kali menukar pelan tarikh pembubaran parlimen.

“Sebenarnya ada perkara lain yang membuat Datuk Seri Najib menjadi serba salah. Sebelum ini ura-ura parlimen hendak dibubar pada Febuari 2012, namun tidak menjadi kenyataan mungkin ada kaitan Himpunan Bersih 3.0.

“Kemudian ditukar pula kepada April 2012, namun tidak juga menjadi kenyataan kerana kebangkitan rakyat pada Himpunan Hijau.

“Maklumat ini bukan kita dapat di tepi jalan sebaliknya sumber dalaman Umno sendiri. Kita pun ada agen dalam Umno,” katanya pada ceramah isu semasa di markas Unit Peti Undi Lundang di sini malam tadi.

Hadir sama artis hijrah, Hairie Othman, bekas Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Hamid Omar, Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Nor Azariza Alawi, pengarah pilihan raya, Azahari Ab Rahman dan Timbalan Pengerusi MTD Bunut Payong, Abdul Razak Mamat.

Nasruddin berkata, kemudian khabar angin tarikh pembubaran parlimen ditunda kepada Disember, namun tidak menjadi realiti selepas kehadiran lautan manusia pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka.

“Sumber Umno pula menyebut pada 22 Febuari akan dibubar, namun terlepas begitu sahaja. Mengapa. Mungkin ada kaitan dengan kajian Merdeka Centre dan Universiti Malaya yang memperlihat kedudukan BN tergugat.

“Kebangkitan rakyat begitu jelas sekali. Pada awal 1990 ceramah PAS di Johor hanya dihadiri beberapa orang sahaja, namun sekarang sambutan begitu hangat.

“Begitu juga di Sabah pada awal 1990-an penduduk di sana menganggap lambang PAS seperti bola pingpong. Namun sekarang penerimaan rakyat begitu mendadak,” ujarnya.

Menurutnya pada program terbaru yang diadakan di Sabah minggu lepas kehadiran rakyat sehingga penuh dewan, dan ada anak muda yang datang membawa gitar. - HarkahDaily