Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Sunday, March 24, 2013

DAP tanding guna lambang PAS dialu-alukan


KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengalu-alukan cadangan Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang untuk bertanding di bawah logo PAS sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan partinya menjelang PRU13.

“Jika berlaku pembatalan, PAS mengalu-alukan calon-calon DAP dan Kit Siang untuk bertanding menggunakan lambang PAS mahupun PKR,” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali hari ini kepada Harakahdaily.

Mustafa memberikan reaksi kepada cadangan Lim yang menyatakan kesediaannya untuk bertanding di bawah lambang PAS sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan partinya ekoran kesilapan dalam pemilihan pada tahun lalu.

Di Twitter, bagaimanapun Ahli Parlimen Ipoh Timur itu melahirkan kebimbangan timbul konspirasi untuk mengelakkan partinya bertanding di PRU13.

“Tiada sebab untuk ROS untuk membatalkan DAP! Tapi konspirasi tertinggi di dalam jabatan mainan kotor BN akan menggantung/membatalkan DAP supaya lambang Roket tidak boleh digunakan pada PRU13 kerana BN takut pada PRU13.

"(Saya telah) memberitahu wartawan bahawa BN bersalah menyalahgunakan kuasa untuk membatalkan DAP dengan tidak mengikut perlembagaan supaya simbol roket tidak dapat digunakan di PRU. Maka dengan itu, calon-calon DAP akan bertanding sebagai calon bebas atau meminjam logo PAS/PKR. Jika BN salahguna kuasa, saya mungkin akan guna logo PAS di PRU13 untuk menguatkan PR,” tulis Lim di Twitter.

Semalam, bekas Naib Presiden DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim menggesa DAP diamb
il tindakan oleh ROS kerana gagal mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP selepas berlaku kesalahan dalam pengiraan undi.

Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman pula berkata ia menghadapi kesukaran menyelesaikan siasatan tidak mendapat kerjasama daripada pemimpin tertinggi parti itu.

Rahman dipetik berkata notis telah diberi kepada seorang pemimpin tertinggi DAP untuk memberi keterangan tapi pemimpin tersebut memberi pelbagai alasan seperti tiada masa.
Sementara itu, Mustafa menegaskan bahawa adalah tidak adil untuk mengambil tindakan terhadap DAP menjelang PRU13.

“Adalah tidak adil untuk membatalkan DAP di saat menjelang pilihanraya umum ke 13. PAS melihat tindakan itu lebih bermotif politik,” tegas beliau. - HarakahDaily

Wednesday, March 20, 2013

Tuan Ibrahim ketuai konvoi anak muda bermotosikal


(Tuan Ibrahim mengetuai konvoi bermotosikal bersama anak muda di Jengka)

JENGKA: Tanggal 17 Mac yang lalu, Karnival Anak Muda Bersama Artis anjuran Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Kuala Krau dengan kerjasama Alternatif Riding Club (ARC) Pahang, telah berlangsung dengan jayanya.

Konvoi disertai oleh kira-kira 250 buah motosikal dan 30 buah kereta turut disertai oleh Datuk Tuan Ibrahim Bin Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman Al Haffiz, Ketua Pemuda PAS Pahang dan Tuan Haji Nazri Bin Hussin, Timbalan  Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau serta kepimpinannya.

Karnival bermula dengan Konvoi Anak Muda untuk Perubahan dari Pekan Kerdau melalui Pekan Jenderak.
Kemudian, konvoi berhenti  solat Zohor di Masjid Lama Bandar Jengka sebelum memulakan aktiviti sukan bermotor di Dataran Nadi Kota, Bandar Jengka.

Sambutan dan penyertaan daripada masyarakat setempat serta penduduk di sekitar Kawasan Kuala Krau untuk karnival dan konvoi ini adalah di luar jangkaan.

Di sebelah petang, aktiviti diteruskan dengan Sembang Santai Anak Muda bersama Artis yang menampilkan Farah Asyikin Zulkifli (One in the Million) dan Nurul Suhadah Shuib (Ameerah Malaysia).

Kehadiran orang ramai yang terdiri daripada beliawanis dan kaum wanita adalah melebihi 300 orang. Keadaan hujan panas sedikitpun tidak mengganggu perjalanan program tersebut.

Kemudiannya, Munajat Anak Muda diadakan di Masjid Lama Jengka sebelum Pogram Bicara Selebriti berlansung pada malam harinya.

Program yang membawa penampilan Iwan yang bergandingan Farah Asyikin di samping Tuan Ibrahim bersama panelis lain telah menyebabkan orang ramai membanjiri Dataran Nadi Kota Jengka.

Iwan bersama Farah turut mempersembahkan beberapa buah lagu secara live kepada para hadirin.

Dalam ucapannya Tuan Ibrahim mengingatkan rakyat bahawa perubahan bermula dari diri sendiri.

"Jangan harap perkara akan berubah sekiranya sendiri tidak berubah dulu. Nak berubah ke arah yang lebih baik, sendiri harus berubahlah dulu," katanya.

Kehadiran anak muda menggalakkan ini menandakan satu arus perubahan bakal berlalu di pilihanraya umum ke 13 akan datang. - HarkahDaily

Thursday, March 14, 2013

Negara tidak akan bankrap terbukti di Kelantan

KOTA BHARU: Kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam bahawa negara tidak akan bangkrap jika Pakatan Rakyat memerintah mendapat sambutan pelbagai pihak.

Antaranya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan.

Ekoran kenyataan Musa itu, Tuan Guru Nik Aziz teringat inilah juga tohmahan jahat yang dibuat oleh Umno ketika PAS mula-mula menang di Kelantan pada tahun 1990 lalu.

"Saya membaca kenyataan Tun Musa Hitam bahawa negara tidak akan bangkrap jika Pakatan Rakyat memerintah sebagaimana tuduhan pihak-pihak tertentu. 

"Suka untuk saya ingatkan, inilah juga tuduhan yang dilontarkan kepada Kelantan apabila Umno tewas pada tahun 1990, ada yang mendakwa bahawa Kelantan akan bangkrap dalam masa tiga bulan. 

"Alhamdulillah, hingga ke hari ini, Kelantan tidak bangkrap bahkan membangun sebagaimana negeri-negeri yang lain," tulis beliau dalam facebooknya.

Bagi Mursyidul Am PAS itu, itulah juga yang akan berlaku jika Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya, "negara tidak akan bangkrap Insya-Allah.....".

Tun Musa Hitam menegaskan tidak adil jika menganggap negara akan bankrap jika pembangkang berjaya memerintah negara.

Menurutnya, sekiranya mengambil alih Putrajaya, gabungan tersebut akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan ekonomi negara berkembang dengan baik, lapor Sinar Harian.

Harian itu melaporkan Musa (kanan) sebagai berkata, perkara penting adalah memberi gambaran baik terhadap ekonomi negara supaya mampu menarik pelabur.

"Itu kenyataan politik, bagi pendapat saya tidak, malah saya telah ulas perkara ini secara terbuka, termasuk kepada pihak bank dan orang luar. Ini adalah pendapat dan pendirian peribadi saya.

"Jika pembangkang memerintah, mereka tidak akan membuat pelabur dari luar negara lari.

"Mereka tidak akan buat sedemikian dan membuat ekonomi bankrap," beliau dilapor sebagai berkata dalam sidang media, kelmarin. - HarakahDaily