Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Tuesday, June 25, 2013

Kenapa kadi tidak bertindak ke atas tarian gelek?

SEGAMAT: "Kenapa penganjuran tarian gelek sebelum ini pejabat kadi tidak bertindak? Tetapi apabila kuliah agama Ustaz Azhar Idrus pula mahu disekat?"

Inilah antara perkara yang dibangkitkan Yang Dipertua PAS Segamat, Firdaus Masod kepada Kadi daerah Segamat, Assheikh Haji Sulaiman berhubung larangan membenarkan Ustaz Azhar Idrus menyampaikan kuliah di sebuah madrasah, di Segamat, 22 Jun lalu.

Beliau turut mencabar pihak kadi tersebut untuk menahan Ustaz Azhar pada malam tersebut jika benar bersalah dan bertegas untuk meneruskan majlis ilmu tersebut yang kemudiannya mencatat kehadiran lebih dari 10,000 hadirin.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Firdaus berkata beliau kesal dengan keadaan itu, yang mana kuliah agama yang membawa kepada kebaikan cuba disekat, sebaliknya tidak berbuat apa-apa terhadap tarian gelek yang menimbulkan kontroversi sebelum ini.

Kadi daerah itu menghantar surat kepada pihak penganjur kuliah ini agar menghentikan majlis itu atau berhadapan dengan tindakan undang-undang dari Kadi Daerah.

"Ini yang berlaku di Johor, mereka takut dengan ustaz-ustaz yang ada nama yang mereka anggap boleh mempengaruhi orang ramai.  Kalau pengaruh untuk perkara baik, tiada masalah.  Tapi, isu tauliah yang dibangkitkan bagi menyekat kuliah agama," tegas beliau yang membantu adiknya menguruskan madrasah tersebut.

Arahan pembatalan ini dikeluarkan oleh Kadi Daerah Segamat, Assheikh Haji Sulaiman pada 20 Jun lepas.

"Dukacita dimaklumkan bahawa pihak kami tiada menerima apa-apa permohonan kebenaran dan pihak kami juga tiada mengeluarkan apa-apa kebenaran dan tauliah bagi program tersebt.

"Justeru itu adalah dikehendaki agar tuan menangguhkan ceramah tersebut atau pihak kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," tulis Kadi daerah itu dalam suratnya bertarikh 20 Jun yang ditujukan kepada Pengerusi Madrasah Ibnu Mas'ud, Kampung Tasik, Segamat.

Bagaimanapun, kata Firdaus, majlis ilmu itu tetap diteruskan dengan kuliah diberikan oleh Ustaz Azhar dan pihak madrasah tidak menerima sebarang surat susulan ekoran keingkaran terhadap arahan tersebut.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan isu tauliah yang diberikan kepada pendakwah di setiap negeri dikaji semula.

Biarpun mengakui keperluan pentauliahan untuk mana-mana pendakwah bagi mengelakkan sebarang penyebaran ajaran sesat, Firdaus berkata sudah sampai masanya ia dipermudahkan dengan mekanisme-mekanisme tertentu.

"Kita akui bukan mudah seseorang itu diberikan tauliah, kita akui itu. Cuma mungkin perlu dipermudahkan dengan penyelarasan di seluruh negara," kata beliau.

Cadang beliau, biarpun pemberian pentauliahan itu terletak di bawah kuasa undang-undang negeri, ia mungkin boleh digunapakai di mana-mana negeri di seluruh negara.

"Mungkin apabila seseorang pendakwah itu mendapat tauliah dari negeri Selangor, tauliah itu juga turut terpakai di negeri-negeri lain di Malaysia," kata beliau. - HarakahDaily

Friday, June 7, 2013

Saya sokong himpunan aman - Haron Din

KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, beliau menyokong sebarang perhimpunan aman yang dianjurkan di negara ini selagi tidak mengundang kepada malapetaka.

“Lagi pun kalau ada kekacauan yang berlaku, ia sebenarnya berpunca daripada provokasi pihak tertentu. Saya berharap pihak yang menganjurkan perhimpunan aman perlu menjaga keamanan,” katanya ketika ditemui Harakah di Kota Bharu.

Ikuti laporan penuh dalam Harakah edisi Isnin ini. - HarakahDaily

Thursday, May 30, 2013

Pemuda PAS 'salute' Safwan Anang, Adam Adli


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyanjung tinggi keberanian anak-anak muda  dalam mempertahankan kebenaran meskipun mereka berdepan dengan risiko ditangkap dan dipenjarakan.

Naib Ketua DPPM Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, keengganan Safwan Anang untuk diikat jamin sebanyak RM 5,000 membuka mata semua pihak bahawa beliau adalah simbol rakyat yang dizalimi. 

"Beliau juga menunjukkan suatu sikap seriusnya anak muda dalam memperjuangkan demokrasi yang kian nazak di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Raja, kebangkitan anak-anak muda seperti Safwan Anang dan Adam Adli merupakan suatu fenomena luar biasa di negara ini. 

Di negara lain, adalah menjadi suatu tanda yang besar sekiranya mahasiswa serta anak muda sudah mula berani turun berhimpun, ia menandakan zaman gelap kepada pemerintah dan permulaan cerah untuk pembebasan bagi rakyat yang cintakan keamanan, kedamaian dan demokrasi yang sebenar.

Tambahnya, menjadi suatu hikmah yang besar pasca PRU ke 13 apabila anak-anak muda mempunyai kesedaran intelektual yang tinggi dalam berpolitik. 

"Anak-anak muda kini tidak lagi hanya memikirkan keseronokan dan kehidupan mereka semata-mata, sebaliknya mereka bangkit menuntut hak mereka yang ‘dicuri’ ekoran penipuan yang berlaku dalam PRU ke 13.

"Anak-anak muda kini sudah mula bercakap soal ketelusan, kejujuran dan kerajaan yang beramanah dalam memimpin negara," jelasnya lagi.

Raja berkata, penangkapan Adam Adli dan Safwan Anang adalah titik tolak kebangkitan anak-anak muda dan kerajaan tidak boleh menganggap penangkapan mahupun pemenjaraan ikon mahasiswa ini boleh mendiamkan mulut ratusan ribu anak-anak muda. 

"Justeru, sebagai tanda  solidariti kepada perjuangan anak-anak muda ini, DPPM dengan ini menawarkan untuk menanggung kos guaman buat Safwan Anang dan Adam Adli sepanjang kes beliau di mahkamah. 

"DPPM juga bersedia membantu dengan membekalkan peguam dari Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) bagi membela anak muda yang ditangkap, didakwa dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah," katanya. - HarakahDaily