Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Wednesday, August 6, 2014

Rumah generasi kedua Felda hanya janji p'raya?

TEMERLOH: Desakan daripada Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) sendiri supaya projek Perumahan Generasi Kedua Felda (PGKF) dihentikan kerana masalah harga dan spesifikasi, membuktikan projek yang dicanang untuk pilihan raya itu gagal.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Pahang, Yohanis Ahmad berkata, dakwaan MBFM yang dianggap NGO mewakili generasi kedua yang diiktiraf Felda itu, membenarkan dakwaan Anak sebelum ini bahawa projek tersebut hanya untuk memancing undi pilihan raya.

Sekali gus, ia gagal menyelesaikan masalah generasi kedua dan ketiga Felda yang masih tinggal dalam tanah rancangan yang sesetengah pada masa ini terus duduk sebumbung atau menumpang di tanah peneroka asal.

Sepatutnya perumahan kerajaan mestilah bersifat mampu milik dan ada unsur kebajikan bukannya harga berdasarkan pasaran terbuka. Jika syarat pinjaman yang sangat ketat iaitu melalui bank dan perlukan slip gaji, mungkin tidak ada masalah kepada anak-anak peneroka yang Berjaya dan tinggal di bandar-bandar besar.

“Tetapi syarat itu dikenakan kepada anak-anak peneroka yang masih tinggal di tanah rancangan, ia tentulah tidak munasabah langsung,” katanya.

Yohanis berkata demikian mengulas kenyataan disiarkan akhbar semalam oleh Pengerusi MBFM Wilayah Jengka Nasharuddin Mat Nasir yang menggesa Felda menghentikan segera projek PGBF kerana terdapat rungutan generasi kedua Felda berhubung harga, spesifikasi, pinjaman dan konsep pelaksanaannya.

Kenyataan itu menyebut, di Wilayah Jengka, harga minimum satu unit rumah yang dibina Felda itu sudah mencecah RM120,000 pada masa ini dan tidak seperti dijanjikan.

Selain daripada harganya yang tinggi, syarat pinjaman pula ketat sehingga menyukarkan mereka yang tinggal di tanah rancangan untuk memiliki rumah tersebut. Sebaliknya memberi peluang kepada generasi yang tinggal di luar membelinya.

Yohanis berkata, sebelum pilihan raya umum (PRU) lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib telah mengumumkan sasaran Felda untuk membina 20,000 unit rumah dalam masa lima tahun dan harga dijanjikan sekitar RM60,000.

“Kenapa sekarang harga menjangkau RM120,000 hanya dalam tempoh dua tahun? Ini tidak sepatutnya berlaku kerana perumahan dibina bukan atas tanah komersil atau individu tetapi tanah milik Felda.  Contohnya di Padang Piol padang bola yang dikorbankan.

“Lagipun itu rumah ‘rumah pasang siap’ bagaimana harga boleh melambung begitu tinggi? Pada saya harga RM60,000 itu dah munasabah kerana setiap peneroka pun ada peruntukan RM40,000 daripada Felda untuk pembesaran rumah,” katanya.

Menurut Yohanis, sepatutnya kerajaan sudah ada penilaian sendiri untuk pembinaan rumah tersebut. Jika tidak, itu bermakna Felda membuat projek yang tidak jelas hanya untuk PRU saja.

“Jadi bilakah masalah anak-anak peneroka yang tinggal dan bekerja di ladang-ladang Felda nak selesai?” soalnya. - HARAKAHDAILY 6/8/2014

Thursday, July 17, 2014

Peneroka terlibat saman Felda dinafi dividen, duit raya

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mempersoal tindakan Felda yang didakwa menafikan pembayaran dividen Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan duit raya kepada peneroka-peneroka yang terlibat kes saman ke atas agensi itu.

Presidennya Mazlan Aliman berkata, tindakan Felda menafikan pemberian dividen dan duit raya itu adalah zalim dan satu diskriminasi.

Menurut beliau, proses mahkamah adalah perkara lumrah yang dibenarkan kepada mana-mana warganegara Malaysia sesuai dengan kekebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan. 

"Ia adalah hak peneroka apabila ketidakadilan berlaku. Ia salah satu ikhtiar apabila perbincangan dengan pengurusan felda menemui jalan buntu. 

"Sewajarnya Felda berlapang dada dan menggunakan saluran mahkamah untuk berdepan dengan peneroka. 

"Jika Felda betul dalam tindakan mereka, tiada apa yang harus mereka takuti tatkala berhadapan dengan peneroka di muka pengadilan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Felda sebelum ini mengumumkan 'durian runtuh' kepada peneroka Felda sempena Aidilfitri menerusi pembayaran dividen saham individu dan dividen tabung amanah daripada Felda Global Ventures (FGV).

Peneroka Felda juga akan menerima sumbangan duit raya dan agihan pendapatan daripada Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Mengulas lanjut, Mazlan berkata sepatutnya 112,635 orang peneroka kesemuanya mendapat dividen dan saguhati tersebut.

"Saya menggesa mana-mana peneroka yang dinafikan dari memperolehi dividen FGV dan duit raya yang jumlahnya hampir RM1,000 setiap seorang, agar membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran. 

"Juga laporan kepada SPRM, kerana ia merupakan salah guna kuasa dari pihak Felda," - HARAKAHDAILY 18/7/2014

Wednesday, June 18, 2014

Tolak rayuan, kerajaan boleh tekan peneroka

KUALA LUMPUR: Tindakan Dewan Rakyat menolak petisyen rayuan peneroka Felda yang menuntut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengeluarkan lesen pekebun kecil kepada peneroka dilihat kerajaan boleh menekan peneroka pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyatakan demikian sejurus selesai perhimpunan petisyen rayuan berkenaan kepada Dewan Rakyat di luar lobi Parlimen yang turut dihadiri 200 peneroka Felda Jengka, Keratong, Cini, Kota Gelanggi, Palong, Mempaga, Bukit Tajau, Bukit Damar, Sungai Koyan, Lurah Bilut, Sungai Tekam, Kemahang, Sungai Relang dan Kampung New Zealand.

"Rayuan ditolak kerana kerajaan tidak mahu melihat rakyat terutamanya peneroka memperolehi taraf hidup yang lebih baik, kerajaan mahu rakyat terus bergantung hidup kepada Felda.

"Kerajaan mahu tradisi kemiskinan ini berterusan agar kebergantungan hidup kepada kuasa politik dapat mereka lakukan," jelasnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Katanya lagi, apabila tidak mampu untuk menaikkan taraf hidup rakyat sepatutnya kerajaan perlu memberi peluang peneroka untuk menentukan kehidupan masa depan mereka.

"Peneroka menuntut lesen pekebun kecil untuk membolehkan mereka menjual sendiri kepada mana-mana kilang yang menawarkan harga yang tinggi dan sepatutnya kerajaan membenarkan permohonan tersebut.

"Ini tidak, kerajaan ingin terus mencengkam peneroka untuk melihat peneroka terus hidup dalam keadaan menaruh harap kepada pemberian kerajaan.

"Jelas kerajaan tidak prihatin tentang rintihan rakyat, walaupun mereka hadir merayu agar suara hati mereka didengari tetapi semuanya ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat atas alasan yang tidak munasabah," sambung beliau lagi.

Beliau turut menyambut baik keberanian para peneroka dalam menuntut hak mereka.

"Apa yang berlaku hari ini adalah satu perkembangan baik dalam sistem demokrasi, peneroka berani bangkit dalam menuntut hak mereka," kata beliau. - HARAKAHDAILY 18/6/2014





Sumber - HarakahDaily