Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Tuesday, August 18, 2015

Sudah sampai masa ulama menasihat pemerintah

KOTA BHARU: Mengambil kira peranan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Mufti agak terhad, Lembaga Penasihat Ulama pula dicadang bagi menasihatkan pemerintah (umarak).

Naib Yang Dipertua Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) Selangor Dr Ahmad Zaki Abd Latiff berkata lembaga penasihat tersebut dianggap penting bagi mendekatkan ulama dengan umarak.

Katanya biar pun sudah ada Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Mufti di setia negeri, namun peranan menasihatkan penguasa masih lagi terbatas.

“Masih lagi tidak meluas dengan peranan dimainkan institusi agama yang ada sekarang. Jadi Lembaga Penasihat Ulama dianggap perlu diwujudkan bagi mengisi lompang tersebut,” katanya selepas membentang kertas kerja pada seminar antarabangsa pemikiran Sheikh Daud Al Fathoni di Dewan Jubli Perak di Padang Perdana hari ini.

Seminar sehari itu dirasmikan anggota Exco, Datuk Nassuruddin Daud. Ia dianjurkan Tabung Amanah Tok Kenali (Tatok) dan Wadah Selangor.

Hadir sama Timbalan Speaker Dun Pulau Pinang, Maktar Shapee, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dr Yusnan Yusof, Pengarah Tatok, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, dan wakil-wakil rakyat.

Pesertanya dari pusat pengajian pondok di seluruh Kelantan, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Dakwah Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Persatuan Imam Selatan Thailand, Majlis Agama Islam Narathiwat, Pondok Kandis dan Yayasan Islam Kelantan.

Ketika membentang kerja sebelum itu Dr Ahmad Zaki berkata pada zaman lampau pernah ada lembaga penasihat diraja di Kedah dan Perlis yang dikenali sebagai mursyid.

Katanya, mursyid ketika itu berperanan menasihat istana berkaitan agama dan pentadbiran negeri.

“Jadi sekarang sudah sampai masanya intitusi penasihat terdiri kalangan ulama secara terancang diwujudkan bagi menasihat pemerintah.

“Institusi penasihat begitu penting sehingga ketika zaman penjajah, Inggeris melantik penasihat kalangan mereka bagi menasihat Raja-raja Melayu,” ujarnya yang juga bekas Pengarah Institut Kajian Zakat UiTM Shah Alam.

Menurutnya barat cuba memisahkan ulama daripada umarak sejak abab ke-16 lagi bagi memastikan kekuatan Islam terpinggir dalam pentadbiran kerajaan.

Kata beliau barat berjaya menghalang kebangkitan Islam setelah ulama diasingkan daripada umara’.

Turut membentang kertas kerja pada seminar itu pengarang majalah Pengasuh, Mohamad Mahmud, Naib Presiden Wadah, Dr Abdul Halim El Muhammady, Dr Luqman Abdullah dari UM dan Dr Abdul Basit Abdul Rahmad (Kias). - HARAKAHDAILY 17/8/2015

Saturday, June 27, 2015

PAS mampu ganti Umno – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yakin PAS mampu menjadi sebuah parti yang kuat serta parti kepada orang Melayu dalam meningkatkan syariat Islam.

Beliau ketika ditemui Harakahdaily berkata, pemilihan pada muktamar lalu memberi kesan yang sangat besar berbanding pemilihan sebelum ini.
"Ada beberapa aspek yang memberi kesan kepada PAS apabila barisan kepimpinan yang didokong barisan ulama terutamanya dari sudut organisasi.

"Kita perlu duduk dan merangka strategi bagi memantapkan gabungan antara ulama, profesional dan aktivis parti," katanya.

Menurut beliau lagi, PAS perlu mantapkan cawangan dan meningkatkan keahlian supaya menjadi parti yang mendominasi dalam muafakat Pakatan Rakyat.

"Walaupun kita lihat ada masalah timbul PAS perlu menjadi parti yang kuat, kita ada keahlian lebih sejuta orang.

"Bukan sahaja kekuatan di dalam Pakatan Rakyat tetapi mampu mengambil alih Umno untuk teras kepada orang Melayu," katanya lagi.

Beliau ketika ditanya mengenai gambaran ada ahli yang akan keluar PAS berkata apa yang digembar gemburkan itu tidak akan berlaku sepertimana yang diperkatakan.

"Selagi kita pelihara asas kekuatan PAS, selagi mana kita berpegang teguh kepada dasar dan prinsip Islam, kita akan terus kuat.

"Begitu juga dalam isu rakyat kita bersikap anjal dan akan terus berjuang untuk mereka, apa yang kita perlu ingat perubahan muktamar itu merupakan isyarat untuk PAS kembali kepada perjuangan asal iaitu perjuangan Islam," sambung beliau lagi. - PAS Pusat

Wednesday, May 27, 2015

Kenyataan Media : “Malaysia Digesa Hantar Tentera Pengaman Ke Myanmar”

1. Nasib sedang menimpa ke atas umat Islam Rohingya ketika ini adalah satu bentuk pembersihan etnik secara tersusun, termasuk didalangi oleh pihak-pihak yang mempunyai keupayaan dan kuasa. Tindakan pengusiran, penganiayaan dan kezaliman serta pembunuhan adalah tekanan untuk menghapuskan umat Islam dari satu-satu penempatan atau wilayah.
2. Perkara ini mengulangi tragedi buruk pernah ditimpakan ke atas umat Islam di Bosnia Herzegovina pada tahun 1992 yang menghadapi kerakusan etnik Serbia. Begitu juga umat Islam di Palestin berdepan pencerobohan dan peperangan dari Zionis Israel sejak tahun 1948 tanpa ada pembelaan sewajarnya khususnya dari badan dunia.
3. Umat Islam di Rohingya bukan sahaja berdepan kegilaan puak Rakhine untuk bermandi darah, malah kecurangan Kerajaan Myanmar serta ketidakpedulian pihak tentera menyaksikan atau menghalang tindakan kezaliman dari berlaku. Sehingga ke saat ini, tidak ada badan dunia yang bersuara menyaksikan mala petaka dahsyat ke atas kemanusiaan ini.
4. Malah, media Barat pula bersikap adu domba apabila memainkan isu ‘Human Traficking’ sebagai alasan dan desakan ke atas negara umat Islam Asean iaitu Malaysia dan Indonesia untuk menerima pelarian-pelarian Rohingya. Sedangkan negara Asean lain dibela kononnya tidak berupaya menerima pelarian tersebut khususnya Thailand.
5. Malangnya, Malaysia yang merupakan Pengerusi Negara Asean juga tidak mengambil langkah proaktif untuk bersuara, apatah lagi untuk menyatakan tindakan konkrit penyelesaian. Malaysia mesti segera menggerakkan peranan lebih agresif mengetuai semua negara Asean untuk menyelamatkan umat Islam Rohingya atas tanggung jawab kemanusiaan.
6. Malaysia selaku anggota tidak tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan anggota Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) juga perlu mendesak masyarakat antarabangsa khusunya badan-badan dunia tersebut untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Myanmar supaya memberikan hak kepada umat Islam Rohingya dan menghentikan serta merta pencabulan hak ke atas mereka.
7. Jika sekiranya Malaysia boleh menghantar kekuatan ketenteraannya berkhidmat sebagai pasukan pengaman di bawah PBB ke Somalia, Lubnan, Bosnia dan lain-lain negara yang jauh, sewajarnya atas maruah dan nyawa umat Islam, Malaysia perlu menawarkan diri ke Myanmar.
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
8 Syaaban 1436 / 26 Mei 2015