Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Wednesday, May 25, 2016

RM792 juta janji di Sarawak, berapa pula PRK Sg Besar dan K Kangsar?


Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman, kerajaan BN telah menjanjikan 400 projek bernilai RM792.34 juta untuk Sarawak sempena pilihan raya negeri.

Berapakah jumlah yang kerajaan pusat BN bakal janjikan pula sempena pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang bakal menjelang memandangkan dua PRK ini menjadi referendum penting bagi nyawa politik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

Pada Pilihan raya Umum ke-13, kempen BN dikatakan dibantu menggunakan dana derma saudagar Arab. Dana siapa pula yang bakal digunakan untuk kedua-dua PRK kali ini? Dan dana mana pula yang digunakan ketika PRN Sarawak?

Melihat cara BN berkempen dengan janji RM792 juta di Sarawak, tidak dinafikan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar bakal menyaksikan satu petempuran sengit antara BN dan PAS.

Saya percaya tiada siapa dalam kalangan pembangkang yang ingin terus melihat bagaimana PM and pemimpin BN membuat kenyataan seperti “GST diterima rakyat”, “Rakyat percaya tiada salahlaku pada derma RM2.6 bilion”, “BN sememangnya menjaga rakyat”, “Rakyat percaya PM tidak terlibat dengan 1MDB”, “BN kerajaan yang bersih” dan sebagainya sekiranya BN memenangi PRK ini seperti yang terjadi di Sarawak.

Diharapkan pihak pembangkang yang tidak sudi membantu PAS, jangan mengambil sikap menyusahkan sambil memudahkan kerja BN mencapai kemenangan pada kedua-dua PRK ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
18 Syaaban 1437 / 25 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 25/5/2016

Tuesday, May 10, 2016

SPR bincang PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar 13 Mei

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membincangkan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada mesyuarat khas, 13 Mei ini.
Memetik laporan Bernama, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata pihaknya telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kedua-dua kerusi itu daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 6 petang semalam.

"Sehubungan dengan itu, selaras dengan Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan telah wujud kekosongan luar jangka dan bagi mengisi kekosongan kerusi P.067 Kuala Kangsar dan P.093 Sungai Besar, SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan Pilihan Raya Kecil tersebut," katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong kerana kedua-dua penyandang, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau pada 5 Mei lepas.

Pada Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 lalu, Noriah memperolehi 18.695 undi sementara calon PAS, Mohamed Salleh M Husin mendapat 18,296 undi. Manakala Mohammad Khair-il Anuar memperolehi 14,218 undi sementara calon PAS, Drs Khalil Idham Lim Abdullah mendapat 13.136 undi dan calon Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim mengutip 447 undi. 

Pada Ahad lalu, Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata parti itu akan bertanding pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. - HARAKAHDAILY 10/5/2016

Tuesday, April 12, 2016

Felda disaran membetulkan urusniaga dengan syarak

Felda perlu membetulkan beberapa aspek pengurusannya agar menepati hukum syarak. Sebagai sebuah agensi yang hampir sepenuhnya diuruskan oleh orang Islam, maka Felda wajar mengkaji seluruh sistem agar selaras dengan kehendak syarak samada dalam urusan dengan peneroka, pembelian sawit mahupun pengurusan.
1. Isu hutang
Peneroka adalah konsumer dan pembekal utama bagi Felda. Kejayaan Felda mengangkat martabat ekonomi rakyat boleh dibanggakan oleh semua pihak. Kejayaan mewujudkan perkampungan tersusun dari aspek penempatan dan peluang ekonomi khasnya generasi pertama hampir selesai.
Namun terdapat isu utama yang tidak menepati tuntutan syarak yang memerlukan langkah segera diambil.
Pertama, peneroka yang tanam semula dengan Felda berhadapan dengan masalah jumlah hutang yang tidak diketahui.
Walaupun hasil mereka dipotong setiap bulan namun pihak Felda gagal menjelaskan berapa sebenarnya jumlah hutang yang perlu ditanggung oleh peneroka. Peneroka hanya akur ada hutang dan hasil mereka dipotong bagi membayar hutang tersebut.
Dari sudut syarak, pemiutang berhak mengetahui jumlah hutang mereka. Ia adalah salah bilamana Felda gagal menjelaskan jumlah hutang dan baki hutang peneroka.
Akibatnya ramai waris peneroka yang terkejut bilamana berlaku kematian, baharulah mereka dimaklum ada hutang yang masih berbaki.

Sebagai langkah pembetulan, pihak Felda wajib memaklumkan jumlah hutang yang ditanggung oleh peneroka dan bentuk hutang tersebut. Malah, penyata tahunan perlu dihantar kepada peneroka atau satu mekanisma baru perlu diwujudkan bagi mempermudahkan peneroka menyemak baki hutang mereka.
2. Ansuran ladang
Setiap peneroka dipotong hasil mereka bagi membiayai ansuran ladang. Sebagaimana hutang, mereka juga tidak dimaklumkan apakah bentuk perlindungan yang diberikan kepada ladang mereka dan khidmat agensi ansuran yang mana digunakan Felda.
Sehingga kini, banyak peneroka masih gagal mendapat pampasan bagi ladang yang musnah dari syarikat ansuran kerana tiada mekanisma yang jelas.
Sebagai langkah pembetulan, agensi ansuran atau pihak Felda mesti memaklumkan kepada peneroka bentuk perlindungan yang dihakkan kepada ladang mereka dan mekanisma tuntutan sekiranya berlaku kemusnahan ladang mereka.
3. Kaedah pembelian sawit

Felda membayar kepada peneroka berdasarkan kadar perahan minyak sawit dari buah sawit. Manakala hasil minyak dari isi rong sawit, minyak kotor dan lain-lain tidak dibayar kepada peneroka.
Pembayaran lebihan tan sawit pada setiap hujung tahun bukanlah berdasarkan harga isi rong atau minyak kotor yang dijual. Ketidakadilan berlaku apabila ada di kalangan peneroka yang tidak mendapat sebarang bayaran kerana tidak mencapai sasaran jumlah tan sawit sedangkan hasil isi rong sawit mereka juga mempunyai nilai yang agak tinggi.
Bagi menyelesaikan masalah ini agar urus niaga Felda menepati kehendak syarak, Felda seharusnya membeli buah sawit berdasarkan jumlah tan sawit yang dihantar ke kilang, bukan berdasarkan kadar perahan minyak.
Jika ia terus berdasarkan kadar perahan, Felda mesti membayar semua hasil milik peneroka kerana dari sudut syarak kerana ia masih menjadi hak peneroka.
Manakala dengan menggunakan kaedah pembelian buah sawit, dari sudut syarak, semua buah sawit tersebut akan menjadi hak Felda.
Menggunakan kaedah ini, Felda cuma perlu menentukan satu mekanisma penetapan harga buah sawit yang dijual ke kilang Felda. Insha-Allah, dengan cara ini segala urusniaga Felda akan menepati kehendak syarak dan tidak berlaku unsur gharar dalam muamalah tersebut.
PAS penuh yakin terdapat kaedah yang mampu dilaksanakan oleh pihak pengurusan Felda demi mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Tuan Ibrahim Tuan Man 
Timbalan Presiden PAS
13 April 2016