Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Sunday, January 8, 2017

Menanti 'keajaiban' Shahrir selamatkan Felda


Pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Felda yang baharu mengesahkan ada kepincangan yang sangat besar melanda Felda. Kebiasaannya lantikan dibuat sebelum memasuki tahun baharu jika pengerusi yang lama tidak disambung perkhidmatannya yang tamat 31 Disember 2016. Bila pelantikan ini diumumkan melepasi minggu pertama awal tahun baharu, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Lagi pelik dan menghairankan apabila Tan Sri Isa Samad masih lagi dikekalkan menerajui FGV ketika desakan penyingkiran beliau sudah tidak dapat sembunyikan lagi. Tidak pernah peneroka Felda mendesak kerajaan singkirkan Pengerusi Felda sebelum ini. Sampai ada pegawai yang sanggup dipecat dan ada pula yang membuat ugutan terbuka akan meninggalkan Umno jika pimpinan tertinggi Felda tidak berubah sebelum 1 Januari 2017.  Kenapa Perdana Menteri tidak berani memberi tugasan menerajui FGV kepada Tan Sri Shahrir? Jika Shahrir mampu dilihat terbaik menerajui Felda, kenapa masih mengekalkan Isa?

Perkara ini hampir sama bila Isa menyingkirkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif sebelum ini, Datuk Emir Mawani Abdullah dan diganti dengan Datuk Zakaria Arshad , seorang anak peneroka Felda sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)  FGV. Isa dilihat masih tidak mahu melepaskan FGV. Perdana Menteri juga tidak berani singkirkan Isa. Datuk  Emir Mawani pernah mencetuskan perbalahan terbuka dengan Isa, Presiden FGV waktu itu membuat kenyataan, FGV  memutuskan cadangan pemilikan 37 peratus  saham PT Eagle dibatalkan kerana mendapat bantahan dari pemegang saham FGV.

Selang beberapa hari, Isa menyanggah kenyataan  Mawani, Isa mengatakan FGV tidak batalkan cadangan pemilikan saham PT EHP  tetapi ditangguhkan sementara urusan ini walaupun ada maklumat mengatakan FGV telah membayar ratusan juta sebagai komitmen untuk urusan pemilikan PT Eagle Hight Plantations (PT EHP) . Sebaliknya Isa memaksa Felda Investment Corporation (FIC ) meneruskan rundingan memiliki 37 peratus saham PT EHP anak syarikat Rajawali Group sebuah konglomerat perladangan terbesar Indonesia.

Seolah-olah ada sesuatu kepentingan yang tidak akan dilepaskan Isa sehingga agenda peribadi beliau berjaya disempurnakan. Sebab itu bila tersebar maklumat di kalangan warga Felda, Tan Sri Isa akan terus menerajui Felda untuk beberapa tahun lagi, tentangan terhadap Isa kian melebar dan desakan bertali arus dari pelbagai pihak. Tindakan terbaharu dari kerajaan ini semakin menampakkan kecelaruan yang parah sedang dialami Felda.

Sudah tentunya Tan Sri Shahrir Abdul Samad akan memberi perhatian kepada barisan kepimpinan pengurusan Felda sebagai langkah pertama. Semua perniagaan teras akan diteliti serta kewangan semasa sebenar Felda akan diberi penekanan sebagai langkah awal beliau memulihkan keyakinan 2 juta warga Felda dan rakyat Malaysia.

Felda yang menjadi pemegang saham terbesar FGV, sudah tentu akan menghadapi kesan besar daripada turun naik saham FGV. Tan Sri Shahrir  juga akan menghadapi jalan sukar untuk memastikan FGV mampu memberi pulangan dan kebaikan kepada Felda selagi Tan Sri Isa masih menduduki kerusi Pengerusi FGV. Langkah Shahrir akan terhalang, apa jua tindakan pengerusi Felda ini akan terencat merujuk perkembangan terkini. Apa yang Tan Shahrir boleh strukturkan hanya pada Felda, tetapi FGV tiada apa yang boleh dibuat, bahkan satu lagi pertembungan pengurusan akan terjadi.

Hampir semua anak syarikat dan aset Felda Holdings sebelum ini sudah diserahkan kepada FGV terutama tanah ladang sawit Felda seluas 360,000 hektar kini milik FGV. Aset ini merupakan 'angsa bertelur emas' bagi Felda kerana mampu memberi pendapatan tunai RM1.2 bilion hingga RM1.8 bilion setiap tahun. Felda banyak menyelesaikan masalah dan membuka pelaburan baru hasil dari kewangan yang kukuh serta urustadbir yang cemerlang sehinggalah Tan Sri Isa dilantik Pengerusi Felda pada 2011.

Koperasi Pemodalan Felda (KPF) yang memiliki 51 peratus saham dalam Felda Holdings telah disingkir oleh Isa Samad dan digantikan Felda Hodings dengan FGV. Sejak dari ini banyak dana Felda dan FGV mulai digunakan untuk membuat pelaburan besar ratusan juta bahkan berbilion ringgit dalam dan luar negara. 

Di sinilah terletaknya cabaran utama pengerusi Felda yang baharu untuk memulihkan Felda dan yang paling utama keyakinan pengundi warga Felda di 317 tanah rancangan di 54 daripada 222 parlimen perlu dikekalkan untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-14. Pada PRU13 yang lalu, 51 kawasan parlimen telah dimenangi Barisan Nasional dan menjadikan kawasan Felda sebagai aset simpanan tetap kerusi Barisan Nasional.

Dengan dilema hutang ratusan ribu ringgit direkodkan kepada akaun peneroka yang sudah bergelar warga emas, pengurusan tanam semula yang banyak masalah, penjagaan ladang oleh Felda Technoplant yang teruk  gagal disembunyikan lagi oleh pengurusan Isa sebelum ini menambahkan lagi tugasan, cabaran pengerusi yang baharu. 

Tempoh parlimen yang ada sekarang hanya berbaki sekitar 2 tahun sahaja, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memerlukan satu 'keajiban' untuk  mengembalikan kecemerlangan Felda setelah hampir semua aset sebelum ini sudah menjadi milik FGV. Apakah pemberian durian runtuh RM15,000 setiap seorang peneroka sebelum penyenaraian FGV ke bursa saham sebelum ini akan akan diulangi pengerusi Felda yang baharu sebagai jalan mudah untuk meredakan kemarahan warga Felda?

Sama-sama kita nantikan.

Naraza Muda
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
8 Januari 2017 / 9 Rabiul Akhir 1438 - HARAKAHDAILY 8/1/2017

Saturday, December 10, 2016

PAS tetap saingan terbesar Umno

Kerjasama politik pada asasnya melibatkan rundingan kerusi.

Umno tidak mungkin dapat mengizinkan sebilangan besar kerusi-kerusi yang dimenangi mereka untuk dilepaskan ke tangan PAS begitu sahaja, dan sudah pastinya PAS juga tidak akan melepaskan kerusi-kerusi menangnya yang jumlahnya jauh lebih kecil berbanding apa yang Umno ada.

Oleh itu, adalah mustahil bagi PAS dan Umno mengadakan kerjasama politik dan mereka yang mencanangkan adanya kerjasama politik antara PAS dan Umno hanyalah fitnah.

Dari sudut politik, sejarah membuktikan Pas adalah saingan utama kepada Umno, terutamanya dalam isu berkaitan dengan Islam dan kebajikan rakyat walaupun PAS tidak pernah memegang kuasa kerajaan pusat.

Contohnya, PAS di Kelantan mendahului pelbagai perubahan seperti sistem kerja lima hari, cuti bersalin 60 hari, pemberian khairat kematian dan kebajikan lain yang akhirnya terpaksa ditiru oleh kerajaan Umno.

Hari ini PAS juga mengemudi RUU 355 dan bantahan terhadap penindasan Rohingya (untuk makluman semua, hari ini adalah kali ketiga PAS berhimpun untuk Rohingya), dan akhirnya Umno turut serta menyatakan sokongan terhadap RUU 355 dan juga bantahan kepada Rohingya.

Jika PAS bukan saingan, masakan Umno akan mengikuti rentak PAS?

PAS adalah parti pembangkang yang matang dan efektif, di mana ia mampu membezakan isu yang perlu bekerjasama dengan kerajaan, mendesak kerajaan dan membantah pihak kerajaan. Ia tidak menjadi pembangkang yang membangkang secara totok apa yang kerajaan lakukan seperti parti-parti pembangkang yang lain.

PAS akan terus menjadi perintis kepada pendekatan matang dan sejahtera sebagai budaya baru di dalam sistem demokrasi negara.

PAS tetap adalah saingan terbesar kepada Umno di arena politik bagi menggantikan sistem negara dengan Islam.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
4 Disember 2016


Langgani Telegram Channel Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man https://telegram.me/ustitm

Monday, November 7, 2016

PAS sudah 65 tahun, matang dalam tindakan



KUALA LUMPUR: "Apabila PAS membuat satu keputusan maka adalah sebabnya," ujar Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad. 

Beliau berkata, PAS sudah berumur 65 tahun, matang dalam tindakan dan keputusan. 

"Jatuh, bangun, menang, kalah, pahit, manis semua sudah dilalui," ujarnya menerusi laman facebook.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu menambah, PAS tidak pernah memaksa orang lain mengikut pendiriannya. 

Menurutnya, mereka yang tidak bersetuju boleh kata apa sahaja, kerana itu sikap mereka. 

Tegasnya, PAS akan bekerja seperti biasa untuk menegakkan Islam di atas muka bumi ini. 

"Berapa lama musuh PAS hendak membunuh perjuangan PAS dengan berbagai cara, semuanya gagal. PAS adalah PAS," ujar beliau. - HARAKAHDAILY 8/11/2016