Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Monday, October 28, 2013

Adakah MyKad palsu ada kaitan PRU13?

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan langkah kerajaan mendesak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil tindakan segera memastikan semua pengawal keselamatan di lebih 600 syarikat kawalan keselamatan mengesahkan MyKad pengawal keselamatan masing-masing.

Ia berikutan kes pembunuhan seorang pengurus bank di ibu negara yang dilakukan oleh seorang pengawal bank yang menggunakan kad pengenalan palsu.

“Lebih dari itu, DPPM mendesak supaya kesemua syarikat keselamatan di negara ini mengesahkan pekerja mereka dengan mengenalpasti latar belakang, rekod perkhidmatan sebelum ini, keluarga dan lain-lain,” ujar ketua Penerangan DPPM, Dr Riduan Mohd Nor dalam kenyataan kepada Harakahdaily. 

Berikut adalah kenyataan beliau.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan langkah kerajaan mendesak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil tindakan segera memastikan semua pengawal keselamatan di lebih 600 syarikat kawalan keselamatan mengesahkan MyKad pengawal keselamatan masing-masing.

Ia berikutan kes pembunuhan seorang pengurus bank di ibu negara yang dilakukan oleh seorang pengawal bank yang menggunakan kad pengenalan palsu.

Lebih dari itu, DPPM mendesak supaya kesemua syarikat keselamatan di negara ini mengesahkan pekerja mereka dengan mengenalpasti latar belakang, rekod perkhidmatan sebelum ini, keluarga dan lain-lain. 

DPPM tidak boleh menerima mana-mana syarikat menerima pekerja secara ‘tangkap muat’ tanpa diketahui rekod dan latar belakang pekerjanya sehingga pekerja mereka melakukan jenayah di luar pengetahuan majikannya.

DPPM menganggap kejadian jenayah terbabit amat serius dan memerlukan siasatan rapi. Suspek perlu ditangkap segera bagi mengelakkan kejadian jenayah lain yang lebih serius berlaku di tempat lain. 

Namun begitu, DPPM menganggap pemilikan kad pengenalan palsu oleh suspek lebih serius dari jenayah yang dilakukannya.

DPPM merasa kesal bagaimana syarikat terbabit tidak boleh mengenalpasti kesahihan kad pengenalan suspek terlebih awal sebelum diambil bekerja. 

Kejadian jenayah yang dilakukan oleh suspek membuka maklumat bahawa ada segelintir rakyat Malaysia memiliki MyKad palsu dan merasa bebas melakukan jenayah kerana rekod mereka tidak diketahui atau dikenalpasti.

Ini juga menandakan sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu sudah beroperasi dan berleluasa di negara ini. 

Mungkinkah terdapat ramai lagi golongan penjenayah berlegar-legar dalam negara ini dengan memiliki MyKad palsu seperti suspek? 

Apakah ini juga menandakan terdapatnya sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu bertujuan untuk gerak kerja pilihanraya umum ke 13 tempoh hari? 

Persoalan ini perlu disiasat dengan menyeluruh dan JPN perlu bertanggungjawab sekiranya perkara tersebut ada kaitannya. 

DPPM mendesak supaya sindiket pengeluaran Mykad palsu segera ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan. Ia tidak boleh dibiarkan kerana ia faktor penyumbang jenayah berlaku di negara ini.

Akhirnya, DPPM juga mendesak kerajaan melakukan operasi menjejak pemilik Mykad palsu secara bersepadu dan menyeluruh.

Ia melibatkan semua agensi dan pasukan keselamatan dan beroperasi di seluruh negara. 

Biar kerajaan dan rakyat berpenat membanteras sindiket ini daripada membiarkan penjenayah bermaharajalela melakukan aksi jenayah mereka tanpa dikesan identiti mereka kerana menggunakan Mykad palsu. - HarakahDaily

Monday, October 21, 2013

Ustaz Azam Samad calon PAS PRK Sg Limau



Ustaz Azam berucap pada Majlis Pengumuman Calon N20 Sungai Limau, malam ini.

JERAI: Ketua Pemuda PAS Jerai, Ustaz Azam Samad diumumkan sebagai calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau.

Pengumuman dibuat Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kira-kira jam 10 malam ini di majlis pengumuman calon di sini.

Ustaz Azam yang juga bekas guru bakal berdepan calon BN Ahmad Sohaimi Lazim.

Ustaz Azam ketika memberikan ucapan sulung malam ini berkata, beliau akan memikul amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.

Beliau menegaskan, azamnya untuk meneruskan agenda bekas Menteri Besar Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebelum ini.

Beliau juga berharap seluruh jentera Pakatan Rakyat khususnya PAS untuk bekerja keras mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut.

Ustaz Azam turut menyeru agar semua pihak menghadapi pilihan raya kecil kali ini dengan penuh harmoni.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala 4 November depan sebagai hari mengundi.

Kerusi DUN Sungai Limau kosong ekoran kematian bekas menteri besar Kedah Tan Sri Ustaz Azizan Razak kerana komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis pada 26 September lalu.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi.


Wednesday, October 2, 2013

Laporan Audit: Bukti undang-undang manusia gagal

Untuk memasuki negara lain, kita memerlukan pasport. Tanpa pasport, kita akan dianggap pendatang tanpa izin dan boleh diusir keluar bila-bila masa sahaja. Jika diusir, jangan salahkan sesiapa kerana itulah undang-undang yang telah difahami umum.

Demikian juga untuk masuk ke alam dunia ciptaan ALlah SWT ini, tetap perlukan kepada pasport. Pasport hidup di dunia ini ialah Islam yang syumul. Tidak berakidah dengan akidah Islam ertinya hidup di dunia tanpa pasport. Berpegang dengan undang-undang selain undang-undang Allah SWT pula ertinya memegang pasport tanpa cop visa. Kedua-duanya salah dan boleh dianggap sebagai pandatang tanpa izin. Jika diusir dari sesebuah negara boleh kembali ke negara asal. Namun, jika diusir dari dunia milik Allah SWT, ke mana lagi kaki ingin melangkah?

Itulah ibarat orang-orang yang hidup dengan undang-undang ciptaan manusia. Selama-lamanya manusia tidak akan mampu mengawal manusia. Hari ini, saya membaca berita mengenai Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan kelmarin. Sekali lagi menyaksikan ketirisan berbillion ringgit wang rakyat yang dibelanjakan di sektor-sektor kerajaan.

Ia bukan jumlah yang sedikit. Bajet perbelanjaan negeri Kelantan sahaja hanya sekitar RM500 juta setahun, bayangkan jika ketirisan berbliion ringgit ini dapat diselamatkan dan diagihkan kepada negeri seperti Kelantan, berapa jutakah yang dapat manfaat darinya?

Sayangnya, ketirisan ini bukan kali pertama berlaku. Ia akan terus berlaku selagi Umno Barisan Nasional menjadi kerajaan. Puncanya, undang-undang manusia tidak akan mampu mengawal manusia. Manusia boleh menggubal undang-undang, tetapi manusia tidak sebijak Penciptanya iaitu Allah SWT.

Sekawan kambing tidak akan dapat dikawal oleh kambing. Ia memerlukan kepada gembala. Manusia mustahil dapat mengawal manusia, mereka memerlukan kuasa yang lebih hebat, dan kuasa yang Maha Hebat itu ialah Allah SWT.

Takutlah kepada Allah SWT. Audit di dunia mungkin kita boleh melepasinya, namun audit di Akhirat nanti, jika gagal melepasinya hanya neraka yang menjadi tempat balasannya.

Sekian, wassalam.

Yang benar,

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh: 26 Dzulka'edah 1434 H|2 Oktober 2013  - Harakah Daily