Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Wednesday, October 21, 2015

NAJIB TERUS TIPU WARGA FELDA




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan gah mengumumkan harga baharu rumah untuk generasi kedua Felda yang boleh dibeli dengan harga antara RM60,000 hingga RM70,000 seunit.
Najib berkata sebelum ini di bawah Program Perumahan Generasi Kedua Felda, beliau telah mengumumkan penurunan harga rumah dari RM120,000 kepada RM90,000 untuk pembinaan kira-kira 20,000 unit rumah untuk generasi kedua peneroka.
“Pada masa akan datang, kita akan bina lebih banyak rumah dalam lingkungan RM60,000 ke RM70,000, kita kurangkan sedikit bahan dan reka bentuk daripada 1,100 kaki persegi kepada 850 kaki persegi, yang mustahak rumah mampu disewa dan dibeli generasi kedua Felda,” katanya ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan 2015 bertema “Mensyukuri Nikmat” di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak.
Ucapan ini turut di siarkan oleh hampir semua akhbar arus perdana dan Bernama. Beliau juga pernah mengumunkan penurunan harga PGBF ini ketika saat akhir tempoh berkempen PRK Rompin apabila menyedari sokongan anak muda generasi baharu Felda mula kendur.
Berdasarkan semakan dalam buku laporan Dasar-dasar Felda 2010 dengan jelas apa yang diucapkan Perdana Menteri itu satu pembohongan besar.
Menurut catatan laporan ini, Projek perumahan ini kenali ' Program Perumahan Warga Felda ( PWF ) kini ditukar Program Perumahan Generasi Baharu Felda ( PGBF ) mengariskan konsep dan dasar, objektif penubuhan PWF, pembiayaan Projek, kompenan dan spesifikasi rumah serta pembiayaan bagi pembelian rumah.
Harga yang telah didasarkan bagi rumah Kos Rendah ( 3 bilik ) hanyalah antara RM35,000/RM45,000 manakala Rumah Kos Sederhana Rendah (3 bilik) berharga RM60,000/RM75,000.
Berdasarkan laporan ini, dengan jelas Felda telah manipulasikan harga rumah ini sebelum diumumkan penurunannya semasa kempen PRK Rompin bagi menjaga undi warga Felda di 14 tanah rancangan di kawasan PRK ini.
Sebelum ini Felda menetapkan harga sekitar RM120,000/ RM125,000 seunit bagi program PGBF dan menimbulkan keluh resah anak peneroka Felda untuk memilikinya.
Perbezaan harga yang sangat ketara sehingga mencecah RM50,000 seunit adalah sangat mengejutkan. Jika keluasan asal 780kps ( rujuk keluasan cadangan) dibesarkan sedikit kepada 1100kps (keluasan yang sedang dibina ) dan kenaikan harga bahan binaan sebelum GST, masih tidak munasabah.
Kaedah kelayakan pembeli juga menimbulkan masalah besar kepada anak peneroka felda apabila mereka tidak layak mendapat pinjaman kerajaan dan juga institusi kewangan seperti bank.
Pengerusi Felda sebelum ini pernah mengumumkan penangguhan PGBF kerana ingin mengenal pasti kaedah penjualan unit kepada anak peneroka generasi 2&3 Felda.
Sekali lagi anak peneroka Felda dibohongi, setelah disemak dalam buku laporan Dasar-dasar Felda 2010, dengan jelas Felda telah mengariskan kaedah pembelian rumah.
Dalam laporan ini, tiga kaedah dinyatakan dengan jelas:
a ) Pembelian Secara Tunai
b) Pinjaman Perumahan
c) Pembelian Secara Sewa Beli.
Persoalan kenapa baru sekarang 2015 Perdana Menteri menyebut diperkenalkan kaedah sewa beli?
Apa yang lebih malang dan menyedihkan projek PGBF ini banyak yang terbengkalai. Tidak semua 8570 unit daripada 20,000 unit dengan peruntukan RM1.4 billion berjalan mengikut jadual.
Bermacam masalah yang pihak kami dimaklumkan dan ada yang sudah kami dedahkan beberapa projek sakit terutama di Pahang.
Walaupun Pengerusi Felda telah berjanji untuk memastikan Felda menyiapkan 20,000 unit buah rumah PGBF menjelang 2018 seperti dalam ucapan beliau dalam satu Majlis di Tanjung Malim pada 06 Oktober 2015 baru-baru ini, Kami masih sangsi.
Sekian,

NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda.
21 Oktober 2015 / 08 Muharam 1437

Tuesday, October 13, 2015

Felda perlu selesai segera projek PGBF terbengkalai


SEKALI lagi pihak Hal Ehwal Felda PAS Pusat mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Felda Tan Sri Isa Abdul Samad kerana memberi respons segera terhadap desakan NGO Generasi yang banyak membangkitkan permasalahan perumahan generasi kedua dan ketiga Felda yang sangat mendesak.


Pengerusi Felda mengulangi janjinya untuk memastikan Felda menyiapkan 20,000 unit buah rumah untuk generasi kedua dan ketiga Felda menjelang 2018 dalam satu majlis di Tanjung Malim pada 6 Oktober 2015 lalu.

Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) dimulakan pada tahun 2012 dengan peruntukan RM1.4 billion, dan sehingga kini 8,570 unit dalam proses pembinaan dan sebahagian kecil sudah siap dibina di seluruh negara.

Namun apa yang mendukacitakan warga generasi Felda, banyak projek ini menghadapi masalah sehingga menimbulkan kebimbangan dan kesangsian apakah peserta dan pemohon dapat menduduki rumah ini mengikut tempoh yang dijanjikan.

Ada beberapa projek yang sudah siap tetapi tidak dapat dijual kerana perbagai masalah teknikal seperti status tanah dan kelayakan pemohon itu sendiri. Sebagai contoh PGBF di Felda Padang Piol, Jerantut sudah siap sepenuhnya tetapi masih tidak dapat diagihkan.

Apa yang mengejutkan pihak kami, Felda terpaksa membuat pinjaman baharu RM300 juta melalui bank perdagangan untuk selesaikan 7 projek PGBF yang dikategorikan 'sakit'.

Pihak kami telah mengenal pasti 7 projek PGBF sakit ini iaitu, Felda Bukit Sagu, Felda Sungai Retang, Felda Jengka 12, Felda Jengka 6, Felda Bukit Tajau, Felda Kg Awah dan Felda Chini 3, semuanya di Pahang.

Pahang di antara negeri yang paling banyak mendapat projek PGBF, sekitar 4,000 unit buah diperuntukkan dan telah dilaksanakan tetapi masih di tahap 50 peratus pelaksanaa
n dan ada yang terbengkalai di peringkat awal penyediaan tapak lagi.

Di Terengganu, pihak kami mengesan 5 projek perumahan PGBF dan sentuhan kasih. Malangnya tiada satupun projek ini siap sehingga Oktober 2015. Lebih malang ada projek ini hanya dilihat umpan pilihan raya sahaja. 

Di Felda Bukit Bading 98 unit disebut akan dibina dan sudah siap pelancaran pecah tanah oleh Menteri Besar Terengganu pada 2012, apa yang menyedihkan hanya semak samun pengganti unit rumah.

Justeru itu, pihak kami mengharapkan Felda melaksanakan dan menyelesaikan dahulu semua projek PGBF ini sebelum memberi jaminan akan menyiapkan kesemua 20,000 unit menjelang 2018.

Hal Ehwal Felda PAS merasakan adalah tidak wajar satu keperluan warga generasi Felda ini dijadikan umpan dan bahan ugutan untuk kepentingan politik sempit. 

Kami bersetuju dengan penyediaan peruntukan RM1.4 billion untuk 20,000 unit rumah tetapi kami tidak sekali-kali bersetuju sebarang penyelewengan berlaku.

Kami sudah menubuhkan Jawatankuasa untuk memantau semua projek perumahan ini di kawasan Felda seluruh negara bagi memastikan setiap projek ini dilaksanakan dengan telus oleh pihak yang dipertanggungjawabkan. - HARAKAHDAILY 13/10/2015

Wednesday, September 23, 2015

Teks Khutbah Eidul Adha 1436H Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Wahai hamba-hamba Allah! Bertakwalah kepada Allah. Carilah bekalan, sebaik-baiknya bekalan itu ialah bertakwa dan sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa.
Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 96-97 :
Maksudnya: "Sesungguhnya rumah yang pertama didirikan untuk (beribadah kepada Allah) ialah yang berada di Mekah yang diberkati dan menjadi petunjuk kepada seluruh alam. Padanya tanda-tanda yang banyak (diantaranya) makam Ibrahim dan sesiapa memasukinya (baitul Allah itu) menjadi amanlah dia. Allah mewajibkan keatas manusia dikalangan sesiapa yang mampu supaya menunaikan haji kebaitullah itu, dan sesiapa yang kufur (engkar itu melawan perintah ini) maka ketahuilah sesunggunnya Allah itu Maha Kaya (tidak berhajat) kepada seluruh alam."
Teks Khutbah Eidul Adha 1436H Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang boleh di muatturun di :-
 www.terengganukini.net  - PAS Pusat

Sunday, September 6, 2015

Saya temui segalanya di sini

APABILA timbul isu Pasma, GHB dan PAN, saya mengikuti semua berita tentangnya, hampir tiada satu perkataan pun saya tertinggal untuk membacanya sehingga saya lansgung tidak sempat menulis tentangnya kerana untuk membacanya sahaja pun sudah merapatkan otak.

Saya melihat rakan-rakan seperjuangan dan bekas pimpinan saya terutama pada zaman pemuda dan mereka yang saya kagumi menggalas sarat harapan baru mereka meninggalkan PAS. Mereka tegar untuk tinggalkan wadah yang pernah saya dan mereka berduka dan bersuka bersama.

Ada masa-masanya berkaca juga mata melihat mereka, bergentayangan kembali waktu sama-sama bermukhayyam, berjambori dan di dalam program PAS, taujihat dan nasihat mereka sering melalui corong telinga saya dan sehingga kini masih di dalam bekas hati saya.

Saya hanya boleh menghantar ke pintu sahaja, hanya melihat mereka melangkah, tidak munasabah saya tinggalkan PAS yang telah puluhan tahun saya berada di dalamnya kerana semuanya ada di sini, rasanya tiada sesuatu pun yang tidak ada di dalam PAS.

Saya sedih mereka pergi tapi saya gembira untuk kekal di dalam PAS. Di dalam PAS, ada semuanya yang saya idamkan dan perlukan dalam kehidupan saya sebagai seorang muslim. Semuanya mencukupi dan saya sangat tenang dan gembira berada di dalamnya.

Di dalam PAS saya selesa dan berasa selamat dengan dasarnya iaitu al-Qur'an, hadis, ijmak dan qias, juga ada ulama yang membimbing saya di samping pimpinan dan rakan-rakan yang bukan ulama dari golongan profesional sehinggalah golongan marhaen seperti saya.

Perjuangan itu dakwah, dakwah itu berterusan sama ada menang atau kalah dalam pilihan raya, destinasi dakwah ialah sehingga Islam dapat diletakkan di atas, sama ada dengan sebab musuh kalah atau musuh menerimanya. Saya yakin PAS adalah bahtera yang membawa saya kepada destinasi tersebut.

PAS istiqamah menentang kezaliman, Umno tetap menjadi musuh selagi ia tidak kembali kepada Islam dan zalim kepada rakyat, kita telah sepakati bahawa Islam itu "Rahmatan lil Alamin", kerana itu saya kekal dengan PAS yang tegar dengan dasar Islam dan hasratnya. Tiada jalan pintas melainkan kita mesti melalui jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW.

Jika kalian kata PAS lemah, kerana dipimpin oleh manusia yang lemah, kalian pergilah kepada manusia yang tiada kelemahan. Cuma nanti kalau kalian tidak berjumpa dengan apa yang dihajati, kembalilah. Pintu PAS sentiasa terbuka luas untuk dimasuki. Islam itu sentiasa tegas dengan kelembutan.

Pesanan saya yang lemah untuk abang-abang dan adik-adik saya yang telah melangkah meninggalkan PAS, pastikan yang baru itu lebih baik dari yang lama. PAS telah mengajar kalian bahawa kita berjuang untuk runtuhkan kezaliman dan gantikan dengan keadilan, bukan digantikan dengan sesuatu yang hampir sama.

Tiadalah keadilan melainkan sesuatu yang diturunkan oleh Allah SWT yang pasti akan membela seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. – HARAKAHDAILY 4/9/2015

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR,
Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Tanjung Lumpur

Tuesday, August 18, 2015

Sudah sampai masa ulama menasihat pemerintah

KOTA BHARU: Mengambil kira peranan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Mufti agak terhad, Lembaga Penasihat Ulama pula dicadang bagi menasihatkan pemerintah (umarak).

Naib Yang Dipertua Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) Selangor Dr Ahmad Zaki Abd Latiff berkata lembaga penasihat tersebut dianggap penting bagi mendekatkan ulama dengan umarak.

Katanya biar pun sudah ada Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Mufti di setia negeri, namun peranan menasihatkan penguasa masih lagi terbatas.

“Masih lagi tidak meluas dengan peranan dimainkan institusi agama yang ada sekarang. Jadi Lembaga Penasihat Ulama dianggap perlu diwujudkan bagi mengisi lompang tersebut,” katanya selepas membentang kertas kerja pada seminar antarabangsa pemikiran Sheikh Daud Al Fathoni di Dewan Jubli Perak di Padang Perdana hari ini.

Seminar sehari itu dirasmikan anggota Exco, Datuk Nassuruddin Daud. Ia dianjurkan Tabung Amanah Tok Kenali (Tatok) dan Wadah Selangor.

Hadir sama Timbalan Speaker Dun Pulau Pinang, Maktar Shapee, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dr Yusnan Yusof, Pengarah Tatok, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, dan wakil-wakil rakyat.

Pesertanya dari pusat pengajian pondok di seluruh Kelantan, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Dakwah Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Persatuan Imam Selatan Thailand, Majlis Agama Islam Narathiwat, Pondok Kandis dan Yayasan Islam Kelantan.

Ketika membentang kerja sebelum itu Dr Ahmad Zaki berkata pada zaman lampau pernah ada lembaga penasihat diraja di Kedah dan Perlis yang dikenali sebagai mursyid.

Katanya, mursyid ketika itu berperanan menasihat istana berkaitan agama dan pentadbiran negeri.

“Jadi sekarang sudah sampai masanya intitusi penasihat terdiri kalangan ulama secara terancang diwujudkan bagi menasihat pemerintah.

“Institusi penasihat begitu penting sehingga ketika zaman penjajah, Inggeris melantik penasihat kalangan mereka bagi menasihat Raja-raja Melayu,” ujarnya yang juga bekas Pengarah Institut Kajian Zakat UiTM Shah Alam.

Menurutnya barat cuba memisahkan ulama daripada umarak sejak abab ke-16 lagi bagi memastikan kekuatan Islam terpinggir dalam pentadbiran kerajaan.

Kata beliau barat berjaya menghalang kebangkitan Islam setelah ulama diasingkan daripada umara’.

Turut membentang kertas kerja pada seminar itu pengarang majalah Pengasuh, Mohamad Mahmud, Naib Presiden Wadah, Dr Abdul Halim El Muhammady, Dr Luqman Abdullah dari UM dan Dr Abdul Basit Abdul Rahmad (Kias). - HARAKAHDAILY 17/8/2015

Saturday, June 27, 2015

PAS mampu ganti Umno – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yakin PAS mampu menjadi sebuah parti yang kuat serta parti kepada orang Melayu dalam meningkatkan syariat Islam.

Beliau ketika ditemui Harakahdaily berkata, pemilihan pada muktamar lalu memberi kesan yang sangat besar berbanding pemilihan sebelum ini.
"Ada beberapa aspek yang memberi kesan kepada PAS apabila barisan kepimpinan yang didokong barisan ulama terutamanya dari sudut organisasi.

"Kita perlu duduk dan merangka strategi bagi memantapkan gabungan antara ulama, profesional dan aktivis parti," katanya.

Menurut beliau lagi, PAS perlu mantapkan cawangan dan meningkatkan keahlian supaya menjadi parti yang mendominasi dalam muafakat Pakatan Rakyat.

"Walaupun kita lihat ada masalah timbul PAS perlu menjadi parti yang kuat, kita ada keahlian lebih sejuta orang.

"Bukan sahaja kekuatan di dalam Pakatan Rakyat tetapi mampu mengambil alih Umno untuk teras kepada orang Melayu," katanya lagi.

Beliau ketika ditanya mengenai gambaran ada ahli yang akan keluar PAS berkata apa yang digembar gemburkan itu tidak akan berlaku sepertimana yang diperkatakan.

"Selagi kita pelihara asas kekuatan PAS, selagi mana kita berpegang teguh kepada dasar dan prinsip Islam, kita akan terus kuat.

"Begitu juga dalam isu rakyat kita bersikap anjal dan akan terus berjuang untuk mereka, apa yang kita perlu ingat perubahan muktamar itu merupakan isyarat untuk PAS kembali kepada perjuangan asal iaitu perjuangan Islam," sambung beliau lagi. - PAS Pusat

Wednesday, May 27, 2015

Kenyataan Media : “Malaysia Digesa Hantar Tentera Pengaman Ke Myanmar”

1. Nasib sedang menimpa ke atas umat Islam Rohingya ketika ini adalah satu bentuk pembersihan etnik secara tersusun, termasuk didalangi oleh pihak-pihak yang mempunyai keupayaan dan kuasa. Tindakan pengusiran, penganiayaan dan kezaliman serta pembunuhan adalah tekanan untuk menghapuskan umat Islam dari satu-satu penempatan atau wilayah.
2. Perkara ini mengulangi tragedi buruk pernah ditimpakan ke atas umat Islam di Bosnia Herzegovina pada tahun 1992 yang menghadapi kerakusan etnik Serbia. Begitu juga umat Islam di Palestin berdepan pencerobohan dan peperangan dari Zionis Israel sejak tahun 1948 tanpa ada pembelaan sewajarnya khususnya dari badan dunia.
3. Umat Islam di Rohingya bukan sahaja berdepan kegilaan puak Rakhine untuk bermandi darah, malah kecurangan Kerajaan Myanmar serta ketidakpedulian pihak tentera menyaksikan atau menghalang tindakan kezaliman dari berlaku. Sehingga ke saat ini, tidak ada badan dunia yang bersuara menyaksikan mala petaka dahsyat ke atas kemanusiaan ini.
4. Malah, media Barat pula bersikap adu domba apabila memainkan isu ‘Human Traficking’ sebagai alasan dan desakan ke atas negara umat Islam Asean iaitu Malaysia dan Indonesia untuk menerima pelarian-pelarian Rohingya. Sedangkan negara Asean lain dibela kononnya tidak berupaya menerima pelarian tersebut khususnya Thailand.
5. Malangnya, Malaysia yang merupakan Pengerusi Negara Asean juga tidak mengambil langkah proaktif untuk bersuara, apatah lagi untuk menyatakan tindakan konkrit penyelesaian. Malaysia mesti segera menggerakkan peranan lebih agresif mengetuai semua negara Asean untuk menyelamatkan umat Islam Rohingya atas tanggung jawab kemanusiaan.
6. Malaysia selaku anggota tidak tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan anggota Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) juga perlu mendesak masyarakat antarabangsa khusunya badan-badan dunia tersebut untuk memberi tekanan kepada Kerajaan Myanmar supaya memberikan hak kepada umat Islam Rohingya dan menghentikan serta merta pencabulan hak ke atas mereka.
7. Jika sekiranya Malaysia boleh menghantar kekuatan ketenteraannya berkhidmat sebagai pasukan pengaman di bawah PBB ke Somalia, Lubnan, Bosnia dan lain-lain negara yang jauh, sewajarnya atas maruah dan nyawa umat Islam, Malaysia perlu menawarkan diri ke Myanmar.
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
8 Syaaban 1436 / 26 Mei 2015

Sunday, May 17, 2015

PASTI AN-NUR HAKIM JENGKA 19 MEMOHON SUMBANGAN



PASTI An-Nur Hakim Jengka 19 memohon sumbangan, 

derma dan infak untuk pengurusan bulanan PASTI. 

Tuan,Puan boleh menyalurkan terus ke Akaun Bank Islam 

Bernombor 06037010038063 atas nama 

PASTI AN-NUR HAKIM


Atau


Sumbangan secara terus ke Pihak Pengurusan 

PASTI An-Nur Hakim Jengka.



Segala pertanyaan boleh hubungi terus ke Setiusaha PASTI 

An-Nur Hakim Jengka 19 di talian 017-9728847(Zahir)


Sebarkan, Hebahkan!!!


#TerimaKasih
#Senyum

Sunday, April 26, 2015

Rompin : Bekas CEO Koperasi Felda bantu kempen PAS

ROMPIN: Bekas CEO Koperasi Permodalan Felda (KPF) Holding, Datuk Sarchu Sawal menyeru peneroka menyelamatkan Felda daripada terus dimusnahkan oleh BN.
Beliau berkata, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad telah merosakkan matlamat asal Felda untuk membantu golongan bumiputera.
Sebaliknya tegas beliau, Felda ketika ini mengalami kerugian teruk selepas Felda Global Ventures (FGV) disenaraikan dalam Bursa Malaysia.
"Kita harus selamatkan Felda. Saya ialah orang pertama bersama Datuk Zulkifli Wahab yang menentang penyenaraian FGV.
 "Jadah apa FGV disenaraikan dalam Bursa Malaysia? Biasanya orang menyenaraikan syarikat sebab tak ada duit. Masa itu Felda ada RM4 billion. Mana pergi RM4 billion itu sekarang?
"Semasa saya ambil alih KPF sebahagian besar pendapatan daripada Felda Holding.
"Keuntungan syarikat disalurkan kepada peneroka sebagai penghormatan kepada peneroka yang memberi sumbangan kepada syarikat.
"Namun apa dah jadi sekarang? Datang penyangak dari Negeri Sembilan habis semuanya," kata beliau dalam Himpunan Perdana Selamatkan Felda 2.0 di Felda Keratong 4, dekat sini malam tadi.
Beliau turut berjanji akan membantu kempen PAS bagi memenangkan calonnya, Ustaz Nazri Ahmad yang juga anak peneroka Felda.
"Kita kena selamatkan Felda, selamatkan KPF. Undilah calon PAS. Insya-Allah dia akan dapat bawa suara peneroka.
"Walaupun Umno BN kata kalau PAS menang tak jadi kudis bagi mereka tetapi sekurang-kurangnya kita tunjuk rasa tidak senang kita kepada kerajaan melalui undi.
"Saya dah lama masuk PAS. Saya masuk PAS bukan nak bertanding tapi saya nak betulkan keadaan.
"Saya ada tanggungjawab untuk membantu peneroka-peneroka. Felda telah dikacau-bilaukan," kata beliau yang mengakui menjadi ahli PAS ketika masih berkhidmat dalam Felda lagi.
Himpunan malam tadi dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Turut bersama ialah bekas Naib Presiden FGV, Ghani Mahmood yang akan turut berkempen untuk PAS. - HARAKAHDAILY 26/4/2015

Sunday, April 19, 2015

Terima kasih di Chempaka, tetap berentap di Rompin

MESYUARAT PAS Pusat semalam (Isnin) telah membuat keputusan untuk PAS bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin. 

Tiada sebab untuk PAS memberi laluan mudah kepada Umno tatkala kerajaan BN yang dipimpin Umno tidak memberikan laluan mudah kepada rakyat dengan memperkenalkan GST dan meneruskan sikap borosnya dalam menguruskan kewangan negara.

PAS tidak bersetuju dengan hujah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang cuba memujuk PAS untuk tidak bertanding di PRK Rompin atas alasan untuk menjimatkan wang, masa dan tenaga kedua-dua parti.
Jika begitu, apakah Umno akan memberikan kemenangan percuma kepada PKR di Permatang Pauh atas alasan yang sama?

Kalau ingin menjimatkan duit, lebih elok Menteri Besar Pahang menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad dalam mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberikan jawapan kepada isu 1MDB dan pelbagai isu rakyat yang masih tidak dijawab.

Rakyat Rompin memerlukan perhatian. PRK Rompin ini menjadi medan terbaik untuk suara dan keluhan rakyat Rompin diangkat ke media terutamanya kelemahan kerajaan negeri dan pengabaian pembangunan di Rompin khasnya bagi masyarakat orang asal.

Pendek kata, persaingan PAS-Umno di PRK Rompin akan menguntungkan rakyat Rompin.

Masa inilah, jalan-jalan dan lampu-lampu jalan mereka akan dibaiki – bantuan-bantuan kerajaan negeri dan persekutuan akan tiba untuk rakyat Rompin kerana ini adalah kubu kuat Umno.

Masa inilah jugalah satu-satunya peluang rakyat Rompin untuk melihat para pemimpin BN Umno secara dekat.

Memberi laluan percuma kepada PAS di PRK Chempaka bukanlah menandakan Umno sudah mengganggap PAS sebagai sahabat.

Jika betul menganggap PAS ialah sahabat, mengapa tidak kerajaan pusat masih enggan membayar royalti minyak kepada Kelantan?

Mengapa rakyat Kelantan terus diseksa tanpa lebuh raya selama ini?

Namun begitu, terima kasihlah kerana memberikan laluan di PRK Chempaka, tapi kami tetap akan bertanding di Rompin untuk rakyat Rompin.

Kita bertanding bukan untuk bermusuh tetapi menghidupkan sistem demokrasi. Umno tetap saingan PAS di dalam politik.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Naib Presiden PAS
14 April 2015

Sunday, March 29, 2015

Pilih nakhoda yang pandai baca 'peta'

TEMERLOH:
 Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata perwakilan sepatutnya memilih nakhoda yang pandai membaca ‘peta’.

“Peta yang dimaksudkan ialah al-Quran. Nakhoda atau pemimpin yang kita pilih mestilah pandai menterjemah al-Quran kerana bahtera kita ini membawa pendekatan Islam,” ujarnya mengenai pemilihan kepimpinan PAS.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Krau ke-29 di Darul Hikmah, Kerdau dekat sini pagi ini (29 Mac 2015).

Mengenai Usul Rang undang-undang Persendirian Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang akan dibawa oleh PAS ke Parlimen, jelanya ia tidak memerlukan majoriti dua pertiga dewan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, sebaliknya ia cukup dengan majoriti mudah kerana merupakan usul pindaan.

“Walaupun ahli parlimen PAS hanya ada 21 kerusi tetapi kita buat ini dengan kesedaran bahawa majoriti di parlimen masih yang beragama Islam.

“PAS mahu buktikan bahawa undang-undang Islam adalah jawapan dan tawaran penyelesaian kepada indeks dan kadar jenayah yang tidak terkawal sejak dulu,” katanya. 
Sebelum itu, beliau disambut dengan tarian naga oleh masyarakat Tionghua Kerdau sebaik tiba.

Selepas majlis perasmian, beliau kemudiannya diiringi ahli jawatankuasa kawasan melawat Kompleks PAS Pahang bernilai RM5 juta yang masih dalam pembinaan di belakang Darul Hikmah. - HARAKAHDAILY 29/3/2015
 

Saturday, March 28, 2015

SURAT TERBUKA KEPADA UMAT ISLAM “ISU HUDUD YANG DIKELIRUKAN”





Saudara dan saudari yang dihormati,

Dengan rasa rendah diri, surat ini saya tujukan kepada semua umat Islam dengan semangat saling ingat memperingati sesama kita.
Ada dalam kalangan umat Islam yang memberi alasan bagi menolak usul persendirian berkaitan undang-undang jenayah dengan menggunakan beberapa perkataan yang berkaitan hukum Islam. Antaranya menyebut perkataan-perkataan seperti “Siyasah Syari’yyah”, “Maqasid Syari’ah”, “Fiqh Aulawiyyat”, “Maslahah” dan lain-lain.  
Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka tentunya sangatlah tidak manis sekiranya kita menjadi laksana burung kakaktua yang pandai hanya menyebut kalimah yang diajar oleh tuannya, namun tetap berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau tasawwur daripada perkataan yang diucap. Maka menjelaskan maknanya dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah adalah sangat penting.

Hudud” adalah cabutan daripada salah satu daripada hukum jenayah yang banyak dan menyeluruh. Mungkin sengaja dijadikan hujah yang difikirkan bagi menolak syari’at. Mereka menganggap Hudud paling sesuai dijadikan sasaran kerana pandangan mereka paling ganas, tanpa mengetahui secara detail dan objektif. Tanpa menyedari pula betapa ganasnya undang-undang ciptaan manusia yang masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara kuno : menjerut tali ke leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga menyeksa  tanpa kesan mendidik masyarakat.
Penjelasan ini khusus bagi penganut Islam yang jahil tanpa dimaafkan, kerana beriman tanpa ilmu dan tidak berbudiman terhadap agama sendiri, serta tanpa peduli terhadap batas-batas iman dan kufur yang wajib diketahui dan dipelihara secara fardu ‘ain.

Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya  [Memudahkan kefahaman (terhadap agama ) kepada Muslim Semasa atau terkini] di halaman 102 menjelaskan :
Terdapat tiga madrasah (pandangan) apabila menghadapi masalah semasa :
1- Kalangan yang berpegang kepada nas juzi’i yang zahir secara jumud tanpa menterjemahkannya secara ijtihad melalui ilmu Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid.
2- Kalangan yang menyalahggunakan Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid sehingga membelakangi nas yang nyata.
3- Kalangan yang mengambil kira kedua-dua aspek yang penting dalam ilmu Islam.
Nas yang nyata adalah ilmu Allah yang difirmankan atau ucapan Rasul S.A.W. yang bersifat ma’sum. Adapun yang lain dari nas yang nyata adalah keizinan Allah bagi ruang ijtihad di kalangan para ulama bagi melaksanakan syariat Islam dengan bijak dan adil, bukannya meninggal syariat Allah dengan alasan sehingga  boleh digantikan dengan undang-undang ciptaan manusia yang dianggap lebih baik.

1- Siyasah Syari’yyah
Perkataan  “siyasah” daripada bahasa Arab yang bermaksud mentadbir, mengurus dan memandu atau memimpin yang disebut terkini dengan perkataan politik atau pentadbiran atau panduan. Dicampur dengan perkataan Syara’ dengan maksud kaitannya dengan urusan pelaksanaan syariat mengikut jadual, pelaksanaan, dan pengurusan melaksanakan hukum Islam, bukannya meninggalkan hukum Islam untuk diganti dengan yang lain. (Sila lihat huraian secara khsus dalam kitab-kitab  Ahkam Sultaniyyah Karangan  al-Mawardi dan Ghiath karangan  Imam Haramain daripada Mazhab Syafei; al-Sair al-Kabir daripada mazhab Hanafi; Siyasah Syariyyah Ibnu Taimiyyah dan Turuq Hukmiyyah Ibnu Qayyim  daripada mazhab Hambali danMuqaddimah Ibnu Khaldun daripada mazahab Maliki).       
Tegasnya ialah melaksanakan Syariat dengan betul, bukannya meninggalkan Syariat Allah dengan gantian hukum yang lain.

2- Maqasid Syari’ah
“Maqasid” bermakna tujuan-tujuan, maksudnya ialah tujuan pelaksanaan syariat. Objektifnya ialah cara mencapai matlamat membawa maslahat kebaikan kepada manusia secara umum dan khusus secara adil dan istiqamah dan menolak kemudaratan. Di sini pula ada tujuan yang telah ditetapkan oleh syara’  dan ada juga yang tidak disebut di mana Allah memberi keizinan mengikut kemampuan akal dan ilmu manusia.
(Kepada yang mampu berbahasa Arab sila rujuk kepada dua tokoh ilmu Maqasi : Al Syatibi : Al Muwafaqat : J:2, muka surat 391. Ibnu ‘Asyur : muka surat 19)
Contohnya, apabila khalifah Umar R.A. tidak memotong tangan pencuri di tahun melesetnya ekonomi kerana berlakunya kemarau panjang, dan bukannya kerana meninggalkan hudud, tetapi disebabkan melihat keadaan desakan hidup apabila dibayar gaji yang tidak mencukupi, menjadikan seseorang itu melakukan jenayah secara terdesak. Maka kerana itu hukuman potong tangan adalah haram dilaksanakan, kerana Hadis Rasulullah S.A.W. : “Hukuman Hudud ditolak (kerana adanya syubuhat”.
Ditolak hukuman hudud ini pula bukan bermakna terlepas begitu sahaja. Tetapi hendaklah dipindahkan kepada hukuman takzir yang termasuk dalam ruang Syariat Islam. Hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan kerana tidak memenuhi syarat yang mencapai adil dan mendidik masyarakat mengikut kemampuan. Mudarat daripada kemelesetan ekonomi yang menimpa penjenayah adalah lebih besar. Sebaliknya kalau pencuri itu seorang berpendapatan tinggi sudah tentu dihukumkan.           
Maqasid Syari’ah tidak bermakna membatalkan penguatkusaan undang-undang Hudud. Maqasid Syari’ah dalam hal ini bermakna hukuman tidak boleh dijatuhkan kerana menafikan tindakan secara adil yang menjadi matlamat syariat. Kalau dijatuhkan hukuman juga, bermakna kita tidak melaksanakan syariat kerana tidak mencapai matlamatnya. Meninggalkan syariat secara total menghilangkan segala maqasidnya.
Contohnya juga ialah mengenai kalimah Allah dibenarkan penggunaannya pada asalnya oleh penganut bukan Islam walau pun salah mengikut penafsiran kita, tetapi apabila tujuan penggunaannya bagi mengelirukan penganut Islam yang jahil, maka pihak berkuasa berkenaan agama Islam berhak menghalangnya . Mengikut  Qaedah (Semua perkara dilihat juga kepada tujuannya).

3- Fiqh Aulawiyyat
Bermaksud melihat keutamaan secara fiqh (faham mengikut panduan Syariat).
Contohnya Islam meletakkan perkara keperluan rukun hidup bagi manusia ialah memelihara (1) Aqidah agama, (2) Nyawa, (3) Akal, (4) Keturunan dan (5) Harta.
Contohnya tidak dijatuhkan hukuman hudud terhadap pencuri kerana lapar adalah kerana keutamaan memelihara nyawa hendaklah didahulukan daripada memelihara harta. Hukuman hudud ditangguh dalam keadaan perang kerana menghalang penjenayah melarikan diri kepada musuh, kerana keselamatan negara diutamakan. Bukan bermakna penjenayah dibebaskan, tetapi diturunkan kepada hukuman takzir.
Orang bukan Islam dikecualikan dahulu kerana berdakwah dalam konsep tiada paksaan dalam agama adalah lebih aulawiyyat. 
Contohnya juga seperti pengambilan tanah untuk mendirikan hospital atau jalan raya adalah diizinkan kerana kepentingan umum hendaklah didahulukan daripada kepentingan individu atau segelintir, dan hendaklah diganti tanah itu secara yang adil pula.
Aulawiyyat” itu pula hendaklah dalam ruang lingkup hukum syariat terlebih dahulu, bukannya bermakna meninggalkan hukum syariat.
Apabila segala syarat tidak ada bagi hukum Hudud dan Qisas maka hendaklah dipilih dalam ruang hukum takzir yang sangat luas.
Bukannya melarikan diri kepada hukum ciptaan Barat yang banyak kelemahannya. Perlu disedari bahawa di sana ada juga tidak yang sama dengan undang – undang yang sedia ada, perbezaannya tidak ada roh seperti syariat Islam.
(Sila lihat Dr Yusuf Al Qardhawi dalam Siyasah Syariayyah halaman 284-297)

4- Maslahah
Maslahah” dengan maksud tujuan membawa kebaikan. Sama ada mendapat faedah atau menolak kemudaratan.
Para ulama membahagikan maslahat itu kepada tiga kedudukan :
a- Maslahah Mu’atabarah
Ialah dalam perkara yang telah ditetap oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Rahmat terhadap makhluknya. Maka ada yang diwajibkan dan ada pula yang diharamkan. Maka percayalah bahawa semua yang diwajibkan tetap membawa kebaikan dunia dan akhirat. Perkara yang diharamkan tetap mendatang mudarat kepada diri atau masyarakat. Contohnya ialah seperti wajibnya berpuasa kepada yang mampu dan haramnya arak dan judi. Ianya adalah ketetapan Allah SWT.
b- Maslahah Mulghah
Dalam perkara yang diharamkan kerana mudaratnya lebih besar atau manfaatnya tidak ada .Contohnya seorang yang mencuri atau merompak atau mengedar dadah dengan maslahat mengumpul duit untuk kebajikan atau nafkah keluarga. Maslahat ini dibatalkan kerana mudaratnya sangat besar sehingga menimbus segala kebaikannya.
c- Maslahah mursalah atau Masoleh mursalah
Dalam perkara yang didiamkan oleh al-Quran dan Hadis maka ruangnya adalah terlalu luas kepada manusia di sepanjang zaman.
Melaksanakan Syariat adalah maslahah yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Penyayang kepada makhluknya.

Isu Enakmen Kanun Jenayah Syariat (KJS) Negeri Kelantan
Isu undang-undang  jenayah Syariat menjadi hangat sejak kedatangan penjajah apabila mereka menghapuskannya. Seterusnya menjadi hangat di kalangan umat Islam sendiri kerana kejahilan agama dan pendekatan, sehingga berlakunya isu kafir mengafir dalam masyarakat sendiri kerana kejahilan hukum dan kejahilan  cara pendekatan berdakwah.
Apabila keadaan dapat diredakan, maka PAS mengambil langkah ke depan melalui kemenangannya di Kelantan, kemudiannya di Terengganu secara ilmu dan demokratik.
Langkah pertama ialah menubuhkan pasukan daripada Parti dan kerajaan. Pasukan ini melibatkan Ketua Dewan Ulama dan kalangan ahli majlis Syura Ulama, Tun Saleh Abas (Mantan Ketua Hakim Negara), al-Marhum Prof Ahmad Ibrahim salah seorang pengasas UIA (mantan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tahun lima puluhan daripada Singapura dan mantan Peguam Negara Singapura yang pertama), al-Marhum Dr Mahmud Saedon Awang Osman dari UIA dan Pakar Syariah Negara Brunei Darussalam,  al-marhum Datuk Abdul Halim Muhammad mantan Penasihat undang-undang negeri Kelantan dan Exco kerajaan negeri, dan Datuk Daud Mohamad Kadi Besar negeri Kelantan.
Sebelum enakmen ini dibawa kepada DUN Negeri Kelantan, ianya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum di berbagai forum – seminar dan dialog. Akhirnya enakmen berkenaan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 dan DUN Terengganu pada tahun 2000. Manakala Kelantan pula memperkukuhkannya secara mengadakan seminar dan sambutan mengenainya secara tahunan.
Kini setelah lebih dari 20 tahun (dua puluh tahun) PAS memperkenalkan enakmen ini, disamping melaksanakan proses pendidikan mengenai KJS dalam masyarakat, dialog dan sebagainya, maka PAS ingin bergerak setapak lagi dalam proses mendidik masyarakat untuk mengenali hukum-hakam syariat Islam yang menyeluruh. Hasilnya kini suara yang mengeji hukum Islam ini semakin hari menjadi terpencil.
Maka dengan sedikit ruang yang ada ini, Enakmen KJS ini mengalami beberapa pindaan- pindaan memperkemaskannya dengan mengambil kira cabaran dalam perlembagaan dan masyarakat majmuk, tanpa paksaan, dan bagi orang Islam sahaja setelah mengambil kira pandangan para ulama daripada semua mazhab dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di sepanjang zaman.
Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi Private Members Bill nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.
Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Firman Allah:

(Dan hendaklah kamu melaksanakan kalangan mereka hukum yang telah diturunkan oleh Allah,dan jangan sekali-kali engkau mengikut hawa nafasu mereka (meninggalkan hukum Allah) sehingga engkau meninggalkan sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Maka jika sekiranya mereka berpaling(enggan)maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hendak mengenakan mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya sebahagian daripada maknusia itu adalah orang-orang yang jahat). Adakah mereka mahukan hukum jahiliyyah, padahal siapakan lagi yang paling baik hukumnya  daripada Allah kepada orang-orang yang percaya dengan yakin).   
Semoga semua kita mendapat manafaatnya dan mencapai keredhaan Allah SWT.
Saudaramu dalam Islam,

Monday, March 16, 2015

Saya ambil alih, sama seperti diperjuang Tok Guru Nik Aziz

BANGI: Kelompongan yang ditinggalkan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam PAS terlalu besar untuk ditampung.
"Tetapi penampungan mesti berlaku, kalau dibiar ianya jadi lebih besar. Kena tampung walaupun tidak boleh sepenuhnya," ujar Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din ketika diwawancara Harakah, kelmarin.
Berikut penjelasan selanjutnya ketika ditanya selepas beliau dilantik sebagai Mursyidul Am PAS, mungkin ada pendekatan yang berbeza daripada Almarhum Tok Guru atau ada yang baru untuk melihat PAS lebih ke depan.
Jasa yang ditinggalkan oleh Tuan Guru Nik Aziz itu, namanya sudah cukup besar. Dia seorang yang ikhlas dalam perjuangannya, seorang yang amat amat sederhana. Pengalaman duduk di Malaysia ini, saya belum nampak lagi tahap ketawadukan, tawaduknya dalam semua hal. Itu yang menyebabkan ramai orang kagum.
Kedua ilmunya, yang diasah setiap hari. Kata orang belakang parang kalau diasah hari-hari ianya menjadi tajam. Dia (Tok Guru) guna ilmu dan asah ilmunya setiap saat. Dia menulis, dia mengajar harian, ceramah berkuliah. Itu semua orang tahu. Terkumpul semua personaliti, insan muslim yang ikhlas, yang guna ilmunya untuk kebaikan dan dia tidak termakan dengan pujukan-pujukan yang namanya keduniaan. Yang difikir apa yang boleh mendatangkan keredhaan Allah SWT. Dia insan kecil, berjiwa besar. Dia mahu Islam dimartabatkan. Apa sahaja untuk Islam, dia akan buat. Antaranya ialah Tahaluf Siyasi untuk memartabakan Islam.
Saya banyak berbincang dengan dia. Visinya jelas dan sama yang diperjuangkan oleh PAS. Oleh kerana PAS ini sudah ada dasar, dasar yang perlu ditanggung oleh semua ummah, bukan PAS sahaja.
PAS telah mendahului zaman. Kita lama dah ke hadapan. Orang lain baru nak dekat dengan Islam. Bagi macam-macam gelaran penerapan nilai-nilai Islam, Islam Hadhari, sekarang ini kesederhanaan, wasatiyah dan sebagainya. Ada yang baru lagi nanti, diganti dengan nama lain pula.
Maknanya, orang yang menjadi opponent kepada parti Islam ini, tahu PAS perjuangkan ini betul, mungkin cara kita mereka tidak suka sedangkan matalamat kita betul. Jadi mereka cuba nak beat dan lawan PAS dengan mengemukakan beberapa teori tadi hadharilah dan sebagainya. Semuanya dapat kita tangkis. Macam Presiden PAS ada menulis dan keluarkan buku Hadharah Islamiyah, bukan Islam Hadhari.
Berapa banyak wang negara habis untuk memantapkan Islam Hadhari itu, berakhirnya dengan tiada apa-apa. Apapun matlamat kita tidak perlu kepada nama sangat, yang penting keikhlasan kita untuk memartabatkan Islam dan menaikkan Islam itu supaya ianya benar-benar hidup dan subur. Bukan Islam pada nama tetapi melaksanakan hukum hakamnya.
Apabila saya ambil alih pun, ianya tidak akan lari ke mana, sama seperti yang diperjuangkan oleh Tok Guru Nik Aziz. Bahkan siapapun ambil alih, tetap akan memperjuangkan Islam dan menjadikan Islam itu suatu yang dominan. Allah redha dengan perjuangan kita. Allah tidak mengganjarkan manusia apa yang dia berjaya tetapi diganjarkan apa yang dia beramal. Walaupun lambat sampai, atau orang bertanya kenapa PAS perlu kepada bertahaluf sebagainya tetapi akhirnya yang kita mahu adalah keredahaan Allah SWT. - HARAKAHDAILY 15/3/2015

Monday, March 2, 2015

PAS juga bertanggungjawab dakwah kepada bukan Islam

BAGAN SERAI: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, menjadi tanggungjawab kepada pimpinan, ahli serta seluruh pendukung perjuangan PAS untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah bersama parti itu.
Katanya, PAS bukan sahaja membawa agenda politik dalam perjuangannya sebaliknya yang lebih besar adalah agenda dakwah kepada masyarakat di negara ini.
Katanya, PAS bertanggungjawab untuk berdakwah kepada kelompok orang bukan Islam untuk memperkenalkan apa itu Islam yang sebenar hingga mereka terbuka hati untuk kembali kepada Islam.
PAS juga, jelasnya memegang tanggungjawab untuk menyedarkan umat Islam itu sendiri yang jahil kesan daripada serangan pemikiran yang dilakukan oleh penjajah.
"PAS bukan sahaja dimasukkan di dalamnya agenda politik, agenda pendidikan tetapi termasuklah juga agenda dakwah sama ada berdakwah orang-orang bukan Islam kepada Islam mahupun berdakwah kepada orang-orang Islam itu sendiri yang jahil," katanya dalam perbualan ringkas.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi melalui aplikasi 'hangout; dan dipancarkan secara langsung dalam program Nadwah Pemerkasaan Duat (Nekad) anjuran Lajnah Dakwah di Markas PAS Masjid Tinggi, Bagan Serai, semalam.
Turut membentangkan kertas kerja dalam program tersebut iaitu AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi. - HARAKAHDAILY 1/3/2015

Wednesday, February 4, 2015

Tuan Guru Nik Aziz kelihatan menanti-nanti hari pulang


KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam keadaan stabil dan terus dipantau oleh para doktor.

"Kami berharap ayahanda akan dibenarkan pulang beberapa hari lagi dan berehat di rumah.
"Ayahanda sendiri kelihatan menanti-nanti hari pulang," tulis Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam facebooknya malam ini berhubung perkembangan kesihatan ayahandanya yang sedang menerima rawatan di HUSM, Kubang Kerian.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada kakitangan hospital yang memberikan yang terbaik daripada mereka untuk ayahanda itu.
"Terima kasih rakyat Malaysia. Semoga dirahmati Allah," tulisnya lagi.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz dimasukkan ke HUSM sejak 20 Januari lalu kerana mengidap kanser prostat yang dikesan sejak sekian lama. - HARAKAHDAILY 3/2/2015