BANGI: Kelompongan yang ditinggalkan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam PAS terlalu besar untuk ditampung.
"Tetapi penampungan mesti berlaku, kalau dibiar ianya jadi lebih besar. Kena tampung walaupun tidak boleh sepenuhnya," ujar Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din ketika diwawancara Harakah, kelmarin.
Berikut penjelasan selanjutnya ketika ditanya selepas beliau dilantik sebagai Mursyidul Am PAS, mungkin ada pendekatan yang berbeza daripada Almarhum Tok Guru atau ada yang baru untuk melihat PAS lebih ke depan.
Jasa yang ditinggalkan oleh Tuan Guru Nik Aziz itu, namanya sudah cukup besar. Dia seorang yang ikhlas dalam perjuangannya, seorang yang amat amat sederhana. Pengalaman duduk di Malaysia ini, saya belum nampak lagi tahap ketawadukan, tawaduknya dalam semua hal. Itu yang menyebabkan ramai orang kagum.
Kedua ilmunya, yang diasah setiap hari. Kata orang belakang parang kalau diasah hari-hari ianya menjadi tajam. Dia (Tok Guru) guna ilmu dan asah ilmunya setiap saat. Dia menulis, dia mengajar harian, ceramah berkuliah. Itu semua orang tahu. Terkumpul semua personaliti, insan muslim yang ikhlas, yang guna ilmunya untuk kebaikan dan dia tidak termakan dengan pujukan-pujukan yang namanya keduniaan. Yang difikir apa yang boleh mendatangkan keredhaan Allah SWT. Dia insan kecil, berjiwa besar. Dia mahu Islam dimartabatkan. Apa sahaja untuk Islam, dia akan buat. Antaranya ialah Tahaluf Siyasi untuk memartabakan Islam.
Saya banyak berbincang dengan dia. Visinya jelas dan sama yang diperjuangkan oleh PAS. Oleh kerana PAS ini sudah ada dasar, dasar yang perlu ditanggung oleh semua ummah, bukan PAS sahaja.
PAS telah mendahului zaman. Kita lama dah ke hadapan. Orang lain baru nak dekat dengan Islam. Bagi macam-macam gelaran penerapan nilai-nilai Islam, Islam Hadhari, sekarang ini kesederhanaan, wasatiyah dan sebagainya. Ada yang baru lagi nanti, diganti dengan nama lain pula.
Maknanya, orang yang menjadi opponent kepada parti Islam ini, tahu PAS perjuangkan ini betul, mungkin cara kita mereka tidak suka sedangkan matalamat kita betul. Jadi mereka cuba nak beat dan lawan PAS dengan mengemukakan beberapa teori tadi hadharilah dan sebagainya. Semuanya dapat kita tangkis. Macam Presiden PAS ada menulis dan keluarkan buku Hadharah Islamiyah, bukan Islam Hadhari.
Berapa banyak wang negara habis untuk memantapkan Islam Hadhari itu, berakhirnya dengan tiada apa-apa. Apapun matlamat kita tidak perlu kepada nama sangat, yang penting keikhlasan kita untuk memartabatkan Islam dan menaikkan Islam itu supaya ianya benar-benar hidup dan subur. Bukan Islam pada nama tetapi melaksanakan hukum hakamnya.
Apabila saya ambil alih pun, ianya tidak akan lari ke mana, sama seperti yang diperjuangkan oleh Tok Guru Nik Aziz. Bahkan siapapun ambil alih, tetap akan memperjuangkan Islam dan menjadikan Islam itu suatu yang dominan. Allah redha dengan perjuangan kita. Allah tidak mengganjarkan manusia apa yang dia berjaya tetapi diganjarkan apa yang dia beramal. Walaupun lambat sampai, atau orang bertanya kenapa PAS perlu kepada bertahaluf sebagainya tetapi akhirnya yang kita mahu adalah keredahaan Allah SWT. - HARAKAHDAILY 15/3/2015
No comments:
Post a Comment