Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Sunday, March 29, 2015

Pilih nakhoda yang pandai baca 'peta'

TEMERLOH:
 Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata perwakilan sepatutnya memilih nakhoda yang pandai membaca ‘peta’.

“Peta yang dimaksudkan ialah al-Quran. Nakhoda atau pemimpin yang kita pilih mestilah pandai menterjemah al-Quran kerana bahtera kita ini membawa pendekatan Islam,” ujarnya mengenai pemilihan kepimpinan PAS.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Krau ke-29 di Darul Hikmah, Kerdau dekat sini pagi ini (29 Mac 2015).

Mengenai Usul Rang undang-undang Persendirian Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang akan dibawa oleh PAS ke Parlimen, jelanya ia tidak memerlukan majoriti dua pertiga dewan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, sebaliknya ia cukup dengan majoriti mudah kerana merupakan usul pindaan.

“Walaupun ahli parlimen PAS hanya ada 21 kerusi tetapi kita buat ini dengan kesedaran bahawa majoriti di parlimen masih yang beragama Islam.

“PAS mahu buktikan bahawa undang-undang Islam adalah jawapan dan tawaran penyelesaian kepada indeks dan kadar jenayah yang tidak terkawal sejak dulu,” katanya. 
Sebelum itu, beliau disambut dengan tarian naga oleh masyarakat Tionghua Kerdau sebaik tiba.

Selepas majlis perasmian, beliau kemudiannya diiringi ahli jawatankuasa kawasan melawat Kompleks PAS Pahang bernilai RM5 juta yang masih dalam pembinaan di belakang Darul Hikmah. - HARAKAHDAILY 29/3/2015
 

Saturday, March 28, 2015

SURAT TERBUKA KEPADA UMAT ISLAM “ISU HUDUD YANG DIKELIRUKAN”





Saudara dan saudari yang dihormati,

Dengan rasa rendah diri, surat ini saya tujukan kepada semua umat Islam dengan semangat saling ingat memperingati sesama kita.
Ada dalam kalangan umat Islam yang memberi alasan bagi menolak usul persendirian berkaitan undang-undang jenayah dengan menggunakan beberapa perkataan yang berkaitan hukum Islam. Antaranya menyebut perkataan-perkataan seperti “Siyasah Syari’yyah”, “Maqasid Syari’ah”, “Fiqh Aulawiyyat”, “Maslahah” dan lain-lain.  
Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka tentunya sangatlah tidak manis sekiranya kita menjadi laksana burung kakaktua yang pandai hanya menyebut kalimah yang diajar oleh tuannya, namun tetap berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau tasawwur daripada perkataan yang diucap. Maka menjelaskan maknanya dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah adalah sangat penting.

Hudud” adalah cabutan daripada salah satu daripada hukum jenayah yang banyak dan menyeluruh. Mungkin sengaja dijadikan hujah yang difikirkan bagi menolak syari’at. Mereka menganggap Hudud paling sesuai dijadikan sasaran kerana pandangan mereka paling ganas, tanpa mengetahui secara detail dan objektif. Tanpa menyedari pula betapa ganasnya undang-undang ciptaan manusia yang masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara kuno : menjerut tali ke leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga menyeksa  tanpa kesan mendidik masyarakat.
Penjelasan ini khusus bagi penganut Islam yang jahil tanpa dimaafkan, kerana beriman tanpa ilmu dan tidak berbudiman terhadap agama sendiri, serta tanpa peduli terhadap batas-batas iman dan kufur yang wajib diketahui dan dipelihara secara fardu ‘ain.

Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya  [Memudahkan kefahaman (terhadap agama ) kepada Muslim Semasa atau terkini] di halaman 102 menjelaskan :
Terdapat tiga madrasah (pandangan) apabila menghadapi masalah semasa :
1- Kalangan yang berpegang kepada nas juzi’i yang zahir secara jumud tanpa menterjemahkannya secara ijtihad melalui ilmu Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid.
2- Kalangan yang menyalahggunakan Siyasah Syariyyah, Usul dan Maqasid sehingga membelakangi nas yang nyata.
3- Kalangan yang mengambil kira kedua-dua aspek yang penting dalam ilmu Islam.
Nas yang nyata adalah ilmu Allah yang difirmankan atau ucapan Rasul S.A.W. yang bersifat ma’sum. Adapun yang lain dari nas yang nyata adalah keizinan Allah bagi ruang ijtihad di kalangan para ulama bagi melaksanakan syariat Islam dengan bijak dan adil, bukannya meninggal syariat Allah dengan alasan sehingga  boleh digantikan dengan undang-undang ciptaan manusia yang dianggap lebih baik.

1- Siyasah Syari’yyah
Perkataan  “siyasah” daripada bahasa Arab yang bermaksud mentadbir, mengurus dan memandu atau memimpin yang disebut terkini dengan perkataan politik atau pentadbiran atau panduan. Dicampur dengan perkataan Syara’ dengan maksud kaitannya dengan urusan pelaksanaan syariat mengikut jadual, pelaksanaan, dan pengurusan melaksanakan hukum Islam, bukannya meninggalkan hukum Islam untuk diganti dengan yang lain. (Sila lihat huraian secara khsus dalam kitab-kitab  Ahkam Sultaniyyah Karangan  al-Mawardi dan Ghiath karangan  Imam Haramain daripada Mazhab Syafei; al-Sair al-Kabir daripada mazhab Hanafi; Siyasah Syariyyah Ibnu Taimiyyah dan Turuq Hukmiyyah Ibnu Qayyim  daripada mazhab Hambali danMuqaddimah Ibnu Khaldun daripada mazahab Maliki).       
Tegasnya ialah melaksanakan Syariat dengan betul, bukannya meninggalkan Syariat Allah dengan gantian hukum yang lain.

2- Maqasid Syari’ah
“Maqasid” bermakna tujuan-tujuan, maksudnya ialah tujuan pelaksanaan syariat. Objektifnya ialah cara mencapai matlamat membawa maslahat kebaikan kepada manusia secara umum dan khusus secara adil dan istiqamah dan menolak kemudaratan. Di sini pula ada tujuan yang telah ditetapkan oleh syara’  dan ada juga yang tidak disebut di mana Allah memberi keizinan mengikut kemampuan akal dan ilmu manusia.
(Kepada yang mampu berbahasa Arab sila rujuk kepada dua tokoh ilmu Maqasi : Al Syatibi : Al Muwafaqat : J:2, muka surat 391. Ibnu ‘Asyur : muka surat 19)
Contohnya, apabila khalifah Umar R.A. tidak memotong tangan pencuri di tahun melesetnya ekonomi kerana berlakunya kemarau panjang, dan bukannya kerana meninggalkan hudud, tetapi disebabkan melihat keadaan desakan hidup apabila dibayar gaji yang tidak mencukupi, menjadikan seseorang itu melakukan jenayah secara terdesak. Maka kerana itu hukuman potong tangan adalah haram dilaksanakan, kerana Hadis Rasulullah S.A.W. : “Hukuman Hudud ditolak (kerana adanya syubuhat”.
Ditolak hukuman hudud ini pula bukan bermakna terlepas begitu sahaja. Tetapi hendaklah dipindahkan kepada hukuman takzir yang termasuk dalam ruang Syariat Islam. Hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan kerana tidak memenuhi syarat yang mencapai adil dan mendidik masyarakat mengikut kemampuan. Mudarat daripada kemelesetan ekonomi yang menimpa penjenayah adalah lebih besar. Sebaliknya kalau pencuri itu seorang berpendapatan tinggi sudah tentu dihukumkan.           
Maqasid Syari’ah tidak bermakna membatalkan penguatkusaan undang-undang Hudud. Maqasid Syari’ah dalam hal ini bermakna hukuman tidak boleh dijatuhkan kerana menafikan tindakan secara adil yang menjadi matlamat syariat. Kalau dijatuhkan hukuman juga, bermakna kita tidak melaksanakan syariat kerana tidak mencapai matlamatnya. Meninggalkan syariat secara total menghilangkan segala maqasidnya.
Contohnya juga ialah mengenai kalimah Allah dibenarkan penggunaannya pada asalnya oleh penganut bukan Islam walau pun salah mengikut penafsiran kita, tetapi apabila tujuan penggunaannya bagi mengelirukan penganut Islam yang jahil, maka pihak berkuasa berkenaan agama Islam berhak menghalangnya . Mengikut  Qaedah (Semua perkara dilihat juga kepada tujuannya).

3- Fiqh Aulawiyyat
Bermaksud melihat keutamaan secara fiqh (faham mengikut panduan Syariat).
Contohnya Islam meletakkan perkara keperluan rukun hidup bagi manusia ialah memelihara (1) Aqidah agama, (2) Nyawa, (3) Akal, (4) Keturunan dan (5) Harta.
Contohnya tidak dijatuhkan hukuman hudud terhadap pencuri kerana lapar adalah kerana keutamaan memelihara nyawa hendaklah didahulukan daripada memelihara harta. Hukuman hudud ditangguh dalam keadaan perang kerana menghalang penjenayah melarikan diri kepada musuh, kerana keselamatan negara diutamakan. Bukan bermakna penjenayah dibebaskan, tetapi diturunkan kepada hukuman takzir.
Orang bukan Islam dikecualikan dahulu kerana berdakwah dalam konsep tiada paksaan dalam agama adalah lebih aulawiyyat. 
Contohnya juga seperti pengambilan tanah untuk mendirikan hospital atau jalan raya adalah diizinkan kerana kepentingan umum hendaklah didahulukan daripada kepentingan individu atau segelintir, dan hendaklah diganti tanah itu secara yang adil pula.
Aulawiyyat” itu pula hendaklah dalam ruang lingkup hukum syariat terlebih dahulu, bukannya bermakna meninggalkan hukum syariat.
Apabila segala syarat tidak ada bagi hukum Hudud dan Qisas maka hendaklah dipilih dalam ruang hukum takzir yang sangat luas.
Bukannya melarikan diri kepada hukum ciptaan Barat yang banyak kelemahannya. Perlu disedari bahawa di sana ada juga tidak yang sama dengan undang – undang yang sedia ada, perbezaannya tidak ada roh seperti syariat Islam.
(Sila lihat Dr Yusuf Al Qardhawi dalam Siyasah Syariayyah halaman 284-297)

4- Maslahah
Maslahah” dengan maksud tujuan membawa kebaikan. Sama ada mendapat faedah atau menolak kemudaratan.
Para ulama membahagikan maslahat itu kepada tiga kedudukan :
a- Maslahah Mu’atabarah
Ialah dalam perkara yang telah ditetap oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Rahmat terhadap makhluknya. Maka ada yang diwajibkan dan ada pula yang diharamkan. Maka percayalah bahawa semua yang diwajibkan tetap membawa kebaikan dunia dan akhirat. Perkara yang diharamkan tetap mendatang mudarat kepada diri atau masyarakat. Contohnya ialah seperti wajibnya berpuasa kepada yang mampu dan haramnya arak dan judi. Ianya adalah ketetapan Allah SWT.
b- Maslahah Mulghah
Dalam perkara yang diharamkan kerana mudaratnya lebih besar atau manfaatnya tidak ada .Contohnya seorang yang mencuri atau merompak atau mengedar dadah dengan maslahat mengumpul duit untuk kebajikan atau nafkah keluarga. Maslahat ini dibatalkan kerana mudaratnya sangat besar sehingga menimbus segala kebaikannya.
c- Maslahah mursalah atau Masoleh mursalah
Dalam perkara yang didiamkan oleh al-Quran dan Hadis maka ruangnya adalah terlalu luas kepada manusia di sepanjang zaman.
Melaksanakan Syariat adalah maslahah yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Penyayang kepada makhluknya.

Isu Enakmen Kanun Jenayah Syariat (KJS) Negeri Kelantan
Isu undang-undang  jenayah Syariat menjadi hangat sejak kedatangan penjajah apabila mereka menghapuskannya. Seterusnya menjadi hangat di kalangan umat Islam sendiri kerana kejahilan agama dan pendekatan, sehingga berlakunya isu kafir mengafir dalam masyarakat sendiri kerana kejahilan hukum dan kejahilan  cara pendekatan berdakwah.
Apabila keadaan dapat diredakan, maka PAS mengambil langkah ke depan melalui kemenangannya di Kelantan, kemudiannya di Terengganu secara ilmu dan demokratik.
Langkah pertama ialah menubuhkan pasukan daripada Parti dan kerajaan. Pasukan ini melibatkan Ketua Dewan Ulama dan kalangan ahli majlis Syura Ulama, Tun Saleh Abas (Mantan Ketua Hakim Negara), al-Marhum Prof Ahmad Ibrahim salah seorang pengasas UIA (mantan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tahun lima puluhan daripada Singapura dan mantan Peguam Negara Singapura yang pertama), al-Marhum Dr Mahmud Saedon Awang Osman dari UIA dan Pakar Syariah Negara Brunei Darussalam,  al-marhum Datuk Abdul Halim Muhammad mantan Penasihat undang-undang negeri Kelantan dan Exco kerajaan negeri, dan Datuk Daud Mohamad Kadi Besar negeri Kelantan.
Sebelum enakmen ini dibawa kepada DUN Negeri Kelantan, ianya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum di berbagai forum – seminar dan dialog. Akhirnya enakmen berkenaan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993 dan DUN Terengganu pada tahun 2000. Manakala Kelantan pula memperkukuhkannya secara mengadakan seminar dan sambutan mengenainya secara tahunan.
Kini setelah lebih dari 20 tahun (dua puluh tahun) PAS memperkenalkan enakmen ini, disamping melaksanakan proses pendidikan mengenai KJS dalam masyarakat, dialog dan sebagainya, maka PAS ingin bergerak setapak lagi dalam proses mendidik masyarakat untuk mengenali hukum-hakam syariat Islam yang menyeluruh. Hasilnya kini suara yang mengeji hukum Islam ini semakin hari menjadi terpencil.
Maka dengan sedikit ruang yang ada ini, Enakmen KJS ini mengalami beberapa pindaan- pindaan memperkemaskannya dengan mengambil kira cabaran dalam perlembagaan dan masyarakat majmuk, tanpa paksaan, dan bagi orang Islam sahaja setelah mengambil kira pandangan para ulama daripada semua mazhab dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di sepanjang zaman.
Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan dibawa oleh PAS menerusi Private Members Bill nanti pula bukanlah rang undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap penganut Islam sahaja.
Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang. Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Firman Allah:

(Dan hendaklah kamu melaksanakan kalangan mereka hukum yang telah diturunkan oleh Allah,dan jangan sekali-kali engkau mengikut hawa nafasu mereka (meninggalkan hukum Allah) sehingga engkau meninggalkan sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Maka jika sekiranya mereka berpaling(enggan)maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hendak mengenakan mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya sebahagian daripada maknusia itu adalah orang-orang yang jahat). Adakah mereka mahukan hukum jahiliyyah, padahal siapakan lagi yang paling baik hukumnya  daripada Allah kepada orang-orang yang percaya dengan yakin).   
Semoga semua kita mendapat manafaatnya dan mencapai keredhaan Allah SWT.
Saudaramu dalam Islam,

Monday, March 16, 2015

Saya ambil alih, sama seperti diperjuang Tok Guru Nik Aziz

BANGI: Kelompongan yang ditinggalkan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam PAS terlalu besar untuk ditampung.
"Tetapi penampungan mesti berlaku, kalau dibiar ianya jadi lebih besar. Kena tampung walaupun tidak boleh sepenuhnya," ujar Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din ketika diwawancara Harakah, kelmarin.
Berikut penjelasan selanjutnya ketika ditanya selepas beliau dilantik sebagai Mursyidul Am PAS, mungkin ada pendekatan yang berbeza daripada Almarhum Tok Guru atau ada yang baru untuk melihat PAS lebih ke depan.
Jasa yang ditinggalkan oleh Tuan Guru Nik Aziz itu, namanya sudah cukup besar. Dia seorang yang ikhlas dalam perjuangannya, seorang yang amat amat sederhana. Pengalaman duduk di Malaysia ini, saya belum nampak lagi tahap ketawadukan, tawaduknya dalam semua hal. Itu yang menyebabkan ramai orang kagum.
Kedua ilmunya, yang diasah setiap hari. Kata orang belakang parang kalau diasah hari-hari ianya menjadi tajam. Dia (Tok Guru) guna ilmu dan asah ilmunya setiap saat. Dia menulis, dia mengajar harian, ceramah berkuliah. Itu semua orang tahu. Terkumpul semua personaliti, insan muslim yang ikhlas, yang guna ilmunya untuk kebaikan dan dia tidak termakan dengan pujukan-pujukan yang namanya keduniaan. Yang difikir apa yang boleh mendatangkan keredhaan Allah SWT. Dia insan kecil, berjiwa besar. Dia mahu Islam dimartabatkan. Apa sahaja untuk Islam, dia akan buat. Antaranya ialah Tahaluf Siyasi untuk memartabakan Islam.
Saya banyak berbincang dengan dia. Visinya jelas dan sama yang diperjuangkan oleh PAS. Oleh kerana PAS ini sudah ada dasar, dasar yang perlu ditanggung oleh semua ummah, bukan PAS sahaja.
PAS telah mendahului zaman. Kita lama dah ke hadapan. Orang lain baru nak dekat dengan Islam. Bagi macam-macam gelaran penerapan nilai-nilai Islam, Islam Hadhari, sekarang ini kesederhanaan, wasatiyah dan sebagainya. Ada yang baru lagi nanti, diganti dengan nama lain pula.
Maknanya, orang yang menjadi opponent kepada parti Islam ini, tahu PAS perjuangkan ini betul, mungkin cara kita mereka tidak suka sedangkan matalamat kita betul. Jadi mereka cuba nak beat dan lawan PAS dengan mengemukakan beberapa teori tadi hadharilah dan sebagainya. Semuanya dapat kita tangkis. Macam Presiden PAS ada menulis dan keluarkan buku Hadharah Islamiyah, bukan Islam Hadhari.
Berapa banyak wang negara habis untuk memantapkan Islam Hadhari itu, berakhirnya dengan tiada apa-apa. Apapun matlamat kita tidak perlu kepada nama sangat, yang penting keikhlasan kita untuk memartabatkan Islam dan menaikkan Islam itu supaya ianya benar-benar hidup dan subur. Bukan Islam pada nama tetapi melaksanakan hukum hakamnya.
Apabila saya ambil alih pun, ianya tidak akan lari ke mana, sama seperti yang diperjuangkan oleh Tok Guru Nik Aziz. Bahkan siapapun ambil alih, tetap akan memperjuangkan Islam dan menjadikan Islam itu suatu yang dominan. Allah redha dengan perjuangan kita. Allah tidak mengganjarkan manusia apa yang dia berjaya tetapi diganjarkan apa yang dia beramal. Walaupun lambat sampai, atau orang bertanya kenapa PAS perlu kepada bertahaluf sebagainya tetapi akhirnya yang kita mahu adalah keredahaan Allah SWT. - HARAKAHDAILY 15/3/2015

Monday, March 2, 2015

PAS juga bertanggungjawab dakwah kepada bukan Islam

BAGAN SERAI: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, menjadi tanggungjawab kepada pimpinan, ahli serta seluruh pendukung perjuangan PAS untuk melaksanakan tanggungjawab dakwah bersama parti itu.
Katanya, PAS bukan sahaja membawa agenda politik dalam perjuangannya sebaliknya yang lebih besar adalah agenda dakwah kepada masyarakat di negara ini.
Katanya, PAS bertanggungjawab untuk berdakwah kepada kelompok orang bukan Islam untuk memperkenalkan apa itu Islam yang sebenar hingga mereka terbuka hati untuk kembali kepada Islam.
PAS juga, jelasnya memegang tanggungjawab untuk menyedarkan umat Islam itu sendiri yang jahil kesan daripada serangan pemikiran yang dilakukan oleh penjajah.
"PAS bukan sahaja dimasukkan di dalamnya agenda politik, agenda pendidikan tetapi termasuklah juga agenda dakwah sama ada berdakwah orang-orang bukan Islam kepada Islam mahupun berdakwah kepada orang-orang Islam itu sendiri yang jahil," katanya dalam perbualan ringkas.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi melalui aplikasi 'hangout; dan dipancarkan secara langsung dalam program Nadwah Pemerkasaan Duat (Nekad) anjuran Lajnah Dakwah di Markas PAS Masjid Tinggi, Bagan Serai, semalam.
Turut membentangkan kertas kerja dalam program tersebut iaitu AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi. - HARAKAHDAILY 1/3/2015