Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Wednesday, June 18, 2014

Tolak rayuan, kerajaan boleh tekan peneroka

KUALA LUMPUR: Tindakan Dewan Rakyat menolak petisyen rayuan peneroka Felda yang menuntut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengeluarkan lesen pekebun kecil kepada peneroka dilihat kerajaan boleh menekan peneroka pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyatakan demikian sejurus selesai perhimpunan petisyen rayuan berkenaan kepada Dewan Rakyat di luar lobi Parlimen yang turut dihadiri 200 peneroka Felda Jengka, Keratong, Cini, Kota Gelanggi, Palong, Mempaga, Bukit Tajau, Bukit Damar, Sungai Koyan, Lurah Bilut, Sungai Tekam, Kemahang, Sungai Relang dan Kampung New Zealand.

"Rayuan ditolak kerana kerajaan tidak mahu melihat rakyat terutamanya peneroka memperolehi taraf hidup yang lebih baik, kerajaan mahu rakyat terus bergantung hidup kepada Felda.

"Kerajaan mahu tradisi kemiskinan ini berterusan agar kebergantungan hidup kepada kuasa politik dapat mereka lakukan," jelasnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Katanya lagi, apabila tidak mampu untuk menaikkan taraf hidup rakyat sepatutnya kerajaan perlu memberi peluang peneroka untuk menentukan kehidupan masa depan mereka.

"Peneroka menuntut lesen pekebun kecil untuk membolehkan mereka menjual sendiri kepada mana-mana kilang yang menawarkan harga yang tinggi dan sepatutnya kerajaan membenarkan permohonan tersebut.

"Ini tidak, kerajaan ingin terus mencengkam peneroka untuk melihat peneroka terus hidup dalam keadaan menaruh harap kepada pemberian kerajaan.

"Jelas kerajaan tidak prihatin tentang rintihan rakyat, walaupun mereka hadir merayu agar suara hati mereka didengari tetapi semuanya ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat atas alasan yang tidak munasabah," sambung beliau lagi.

Beliau turut menyambut baik keberanian para peneroka dalam menuntut hak mereka.

"Apa yang berlaku hari ini adalah satu perkembangan baik dalam sistem demokrasi, peneroka berani bangkit dalam menuntut hak mereka," kata beliau. - HARAKAHDAILY 18/6/2014





Sumber - HarakahDaily

Wednesday, June 4, 2014

Rakyat makin terbeban sistem baru subsidi minyak

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membentangkan cadangan sistem subsidi baru petrol dan diesel di Parlimen
 untuk dibahaskan bagi mengambil kira bebanan rakyat yang sedia terbeban akibat menanggung kenaikan harga barang, sebelum sebarang keputusan dibuat.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, dalam keadaan harga barang terus meningkat dan tangga gaji masih belum berjaya dilonjakkan, sebarang perubahan drastik terhadap harga petrol dan diesel sudah tentu akan mempunyai kesan berganda kepada harga barang.

Beliau menambah, rakyat perlu diberikan masa secukupnya, sekurang-kurangnya setahun untuk memberi pandangan sebelum sistem baru ini berkuatkuasa, mengambil kira kesusahan yang dialami rakyat akibat kenaikan harga petrol, elektrik, gula dan barang-barang keperluan lain.

“Jadi Barisan Nasional (BN) wajar membentangkan cadangan rombakan sistem ini ke Parlimen sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.

BN dilaporkan kini sedang memuktamadkan satu sistem subsidi baru petrol dan diesel untuk golongan tertentu mengikut kadar pendapatan.

Setakat ini, laporan menyebut jumlah pendapatan yang dipertimbangkan adalah RM5,000 ke bawah, manakala individu berpendapatan lebih RM10,000 sebulan perlu membeli pada harga pasaran.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan juga bimbang kemungkinan wujudnya pasaran gelap petrol dan diesel jika sistem baru subsidi itu tidak diperhalusi serta dibincangkan secara terbuka.

Beliau khuatir sekiranya sistem baru subsidi ini tidak diperhalusi dan dibincangkan secara terbuka, apabila dilaksanakan kelak ia mewujudkan pasaran gelap petrol dan diesel yang menimbulkan masalah baru lebih besar dari masalah penyeludupan sedia ada kerana ia melibatkan lebih ramai orang dan rakyat biasa.

“Contohnya jika harga subsidi seliter petrol RM2.10 dan harga pasaran adalah RM2.80 seliter, pasaran gelap boleh berlaku apabila kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi menjualnya pada harga RM2.30 seliter kepada ejen pasaran gelap, manakala ejen pasaran gelap menjualnya pada harga RM2.50 seliter kepada syarikat, pengusaha dan orang persendirian yang membeli melalui pasaran gelap,” ujarnya.

Ini, ujar beliau sudah tentu tidak berbaloi apabila dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel serta kesan kenaikan berganda kepada harga barang, sedangkan ketirisan subsidi petrol dan diesel yang dijadikan alasan untuk menukar sistem makin berleluasa. - HarakahDaily