Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Tuesday, April 5, 2016

Tudung Bukan Sekadar Bungkus Kepala, Tetapi Ia Adalah Akhlak

Kenyataan Media
Dewan Ulama PAS Selangor (DUPNS)
Bertudung merupakan suatu kewajipan ke atas seorang wanita Muslimah. Ia patut untuk mendidik pemakainya dan penjualnya berakhlaq mulia kerana ia bukan sekadar masalah hukum, tetapi lebih dari itu ia melibatkan persoalan akhlaq. Lagi mulia seseorang itu, lagilah ia perlu untuk menjaga penampilannya dengan baik dan sempurna.
Baru-baru ini, kita digemparkan dengan video pergaduhan sesama pelanggan di sebuah tempat jualan tudung yang berfesyen yang disebarkan di dalam media baru. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana semua pihak yang terlibat dengan jualan beli tudung patut mengambil berat soal akhlaq.
Kepada pembeli tudung, pemikihan jenis tudung amat penting agar tidak sekadar membungkus kepala tetapi ialah menjaga aurat sebagai seorang Muslimah. Janganlah ada yang menutup kepala tetapi pada hakikatnya masih jauh dengan perintah Allah. Selain itu, perlu ingat bahawa matlamat menutup aurat bukan sekadar untuk menjaga zahir sahaja, tetapi ialah untuk menjaga hati agar hilang sifat menunjuk nunjuk, sombong, berasa lawa sangat dan sebagainya.
Kepada penjual tudung, kita bertanggung jawab di hadapan Allah apabila kita menyediakan tudung yang tidak patuh syariah. Mungkin itu adalah salah pembeli yang membeli tudung berkenaan, tetapi penjual juga turut menyumbang saham dengan menyediakan tudung yang tidak patuh syariah. Selian itu, jangan pula ada penjual tudung, tetapi dia sendiri tidak bertudung, seolah olah ia merupakan suatu produk budaya sahaja.
Panduan umum tentang tudung patuh syariah telah diberikan oleh ulama, yang tidak susah untuk kita mematuhinya. Sekiranya para penjual dapat menyediakan tudung yang patuh syariah sehingga dapat membuat gelombang besar kepada masyarakat, pahalanya sungguh besar.
Saya mengajak semua pihak yang berkaitan dengan jual beli tudung, sama ada penjual, pembeli, pereka fesyen, penjahit dan sebagainya agar menjadikannya sebagai suatu tuntutan Islam, bukan sekadar produk budaya dan apatah lagi semata-mata untuk mengaut keuntungan sahaja.
Us Rizuan Rahmat
Ketua
Dewan Ulama PAS Selangor
5 April 2016

No comments:

Post a Comment