Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Monday, February 18, 2013

Akta GSA tidak halang sesiapa masuk Felda

Cerita konvoi Kembara Oren Selamatkan Felda yang disekat oleh kumpulan proUmno di pintu masuk di Jengka 23 dan Jengka 11, masih lagi menjadi bualan hangat di Pahang.

Kes ini tidak dapat dielakkan daripada menjadi perhatian umum, kerana ia merupakan fenomena dan perkembangan baru dalam negara ini. Tragedi ini belum pernah terjadi si sini. Kepada mereka, apakah Felda sudah menganggap ia sebagai ‘wilayah baru’ sehingga tidak boleh lagi sewenang-wenangnya dimasuki?

Sebenarnya tidak ada sebarang hujah konkrit kenapa mereka tergamak menghalang Kembara Oren yang berhasrat menjelaskan isu-isu mutakhir Felda. Sehinggalah baru-baru ini tersiar di sebuah akhbar, Pengerusi JKKR Jengka 23, Sulaiman Bakar mendakwa sebagai tuan rumah mereka berhak menghalang Kembara Oren dari memasuki penempatan Felda mereka.

Sulaiman yang juga Pengerusi Gabungan JKKR Felda Wilayah Jengka mendakwa, pengurus Felda berkuasa penuh ke atas sesebuah tanah rancangan termasuk menyekat apa yang mereka mahu berdasarkan Seksyen 34, Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960.

Apabila diajukan persoalan itu kepada peguam Ahmad Nizam Hamid dari Tetuan Sazali & Lim, beliau menafikan sama sekali seksyen dan akta tersebut berhak melarang seseorang memasuki kawasan Felda.

Habis, siapa yang mengajar ‘orang tua’ itu berhujah menghalalkan tindakan menyekat Kembara Oren dengan Seksyen 34 itu?

“Kita simpati kepada kepada Osman Bakar, mana dia tahu tentang Seksyen 34 akta tersebut. Saya percaya dia sendiri tak faham, akta tersebut dalam bahasa Inggeris. Jadi sudah tentulah ada orang memberitahu dia tentang perkara yang tidak wujud itu,” kata Nizam.

Kata Nizam seksyen tersebut berbunyi “The State Authority may permit the Development Authority to develop any State land as a group settlement area; and for that purpose the State Authority may make an agreement with the Development Authority relating to the following matters”.

Maksudnya, Seksyen 34 ini memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk membenarkan mana-mana agensi bagi memajukan tanah untuk bagi dimasukkan ke dalam penempatan berkelompok.

“Jadi tidak ada langsung disebutkan tentang kuasa pengurus berhak menghalang mana-mana kumpulan daripada memasuki tanah rancangan itu. Malah saya sudah semak, keseluruhan Seksyen 34 yang mengandungi empat fasa itu tidak langsung menyebutkan hal berkenaan.

“Malah, tindakan tersebut bercanggah sama sekali dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada warganegara ini bebas ke mana-mana tanpa sekatan,” ujarnya.

Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi yang dipakai di negara ini. Dalam Artikel 9 disebutkan setiap rakyat diberi hak dan kebebasan bergerak dalam Persekutuan dan dilindungi perlembagaan.

“Setiap rakyat diberi hak bergerak ke mana sahaja termasuk Oren. Artikel ini membolehkan warganegara pergi ke mana saja kecuali tempat larangan atau ketika berlaku darurat atau perintah berkurung, buang daerah atau kawasan larangan contohnya kem tentera,” kata Nizam (gambar).

Tambahnya, penempatan Felda tidak pernah diwartakan sebagai kawasan larangan. Justeru tindakan menyekat amat bercanggah sama sekali.

Terdapat juga desas desus mengatakan bahawa pihak tertentu dalam Felda telah mengeluarkan arahan khas supaya individu atau kelompok tertentu hendaklah dihalang daripada memasuki kawasan Felda.

Sebelum ini ramai peneroka yang mengadu apabila pihak pengurusan Felda setempat mahu membatalkan ceramah atau program Pakatan Rakyat, lazimnya mereka akan berselindung di sebalik Akta GSA Seksyen 34.

Mengenai laporan polis yang dibuat oleh pihak proUmno dan Felda bagi menghalang Kembara Oren, Nizam berkata ia juga tidak terpakai.

(Tragedi Felda Bukit Rokan apabila peserta kembara di pukul)

Katanya, yang boleh menyekat ialah jika terdapat arahan mahkamah. Itupun jika terdapat bukti-bukti bahawa kemasukan Kembara Oren mahu melakukan jenayah.

Beliau memberi contoh, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub pernah mendapat waran mahkamah supaya tidak dibenarkan menjejakan kaki ke Kuala Lumpur semasa Bersih 2.0 tetapi akhirnya kedua-duanya memenangi kes berkenaan baru-baru ini.

Manakala tindakan pasukan Rela sendiri yang bersekongkol dengan kumpulan yang menyekat dan bertindak melakukan provokasi di Felda Jnegka 23 dan Jengka 11, Nizam menganggap ia melanggar undang-undang.

“Rela sebagai pihak penguatkuasa yang memelihara ketenteraman tidak sepatutnya melakukan tindakan menyokong sesebuah parti politik begitu. Sepatutnya berkecuali dan tidak boleh melepasi undang-undang negara,” tegasnya.

Nizam berkata, tragedi yang berlaku di Felda Felda Bukit Rokan Utara lebih malang lagi kerana peristiwa berdarah itu sepatutnya tidak terjadi.

“Saya difahamkan pihak polis ada tetapi tidak menghalang perbuatan kumpulan proUmno yang membuat sekatan di jalan besar (federal road). Itu bukan langsung hak mereka untuk menghalang mana-mana warganegara memasuki mana-mana kawasan.

“Polis tak ambil tindakan itu salah sebenarnya. Jika polis gagal menghalang seperti ini ia memberi isyarat yang silap kepada rakyat. Kesan dan akibat buruk selepas ini ialah sesiapa yang tidak suka kepada seseorang atau sesuatu kumpulan, mereka boleh sekat sesorang di tengah jalan,” tegasnya.

Nizam berkata, sekatan terhadap Kembara Oren baginya tindakan yang sangat bertamadun dan satu lagi episod malang kepada demokrasi Malaysia kerana merampak hak rakyat yang fundemental.

“Seruan saya kepada mana saja kelompok terutamanya Oren Selamatkan Felda, teruskanlah perjuangan merebut kembali hak asasi kita. Kami barisan peguam bersedia turun mempertahankan hak kita bersama yang dibenarkan di sisi undang-undang,” katanya. - HarakahDaily

" Video - Keterangan Bersama Peguam "

No comments:

Post a Comment