Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Tuesday, February 12, 2013

Kenapa Najib takut bubar parlimen waktu ini?

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman (gambar) mempersoal pendirian
 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak berani untuk membubarkan parlimen pada waktu ini.

Beliau berkata, sedangkan Najib merasakan rakyat sudah mula menerima apa juga tindakan yang telah dilakukan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional selama ini.

"Saya mencabar Najib untuk membuat pengumuman segera tarikh pembubaran parlimen jika beliau merasakan sokongan rakyat terhadap Umno Barisan Nasional telah meningkat.

"Namun apa yang saya lihat, sikap berdiam diri dan teragak-agak yang ditunjukkan oleh Najib itu menggambarkan keadaan sebenar bahawa beliau sendiri tidak yakin dengan sokongan yang ada sekarang," jelasnya yang juga Adun Meru.

Dr Abdul Rani yang turut melahirkan kerisauan apabila tindakan Najib yang berdiam diri akan menimbulkan satu situasi yang di luar jangkaan dan menyalahi undang-undang.

Malah beliau juga beranggapan, ketidakyakinan Najib terhadap sokongan yang beliau perolehi nanti dikhuatiri boleh mencetuskan huru-hara yang akan menyebabkan wujudnya darurat sebelum pilihan raya dapat dilaksanakan.

"Kita melihat ada beberapa pihak yang telah mengeluarkan kenyataan bahawa akan ada tindakan di luar jangkaan jika sesebuah parti itu kalah.

"Saya pasti jika Najib masih lagi tidak berani untuk menyatakan bilakah tarikh pembubaran parlimen, situasi ini pasti berlaku dan perkara ini telah pun berlaku pada program-program ceramah yang anjurkan oleh Pakatan apabila ada pihak lain yang tidakberpuashati," sambung beliau lagi.

Abdul Rani berharap, Najib akan turut mengambil pendekatan segera seperti mana yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor yang mengumumkan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor akan dilakukan selepas perayaan Cap Go Meh. - HarakahDaily

No comments:

Post a Comment