Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Monday, December 30, 2013

2014 tibai duit, PRU14 tabur duit


Congak politik BN mudah sahaja. Sebelum Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) janjikan macam-macam. Promosikan dalam bajet tahunan, manifesto pilihanraya, media masa. Letaklah tema-tema yang kononnya sangat mementingkan rakyat. 

Bila dah menang pilihanraya, carilah, kautlah dan tibailah sebanyak mungkin duit dari mana sahaja sumbernya selepas ditabur dengan begitu banyak dalam pilihanraya lepas. 

Pedulikan hal rakyat, persetankan janji-janji manis, pekakkan telinga dari mendengar rintihan rakyat. Yang penting, banyak yang sudah dihabiskan untuk memujuk rakyat, maka lagi banyak mesti dikutip balik.

Demikianlah politik kebendaan ala jahiliah Quraisy. Begitulah politik Umno BN yang berasaskan sekularisme dan nasionalisme. Apabila asasnya rosak, semua yang dibuat adalah rosak. 

Ma bunia ala fasadin fa kullu ma yatarattab alaihi fasadun’ (Setiap yang dibina berdasarkan sesuatu yang rosak, maka setiap yang muncul darinya juga adalah rosak). Kalau asas perjuangannya rosak, maka cara mengurusnya rosak. Cara mentadbirnya rosak. Cara menjaga kepentingan rakyat juga rosak. Dan rosaklah negara secara keseluruhan.

Sebelum PRU13, pelbagai janji dilontar. Tema ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ dijadikan candu memujuk rakyat terus menyokong BN. Ya, kuasa diperolehi kembali melalui PRU!3 yang sarat tanda soal. 

Yang pastinya ialah kerajaan yang memerintah sekarang ialah kerajaan yang mendapat sokongan minoriti undi popular 47% rakyat. Itupun ‘habis cara’ digunakan.

Bagi mangsa banjir seperti di Kemaman dan Kuantan, mereka menghadapi musibah berganda. 

Banjir yang memusnahkan sebahagian besar harta dalam rumah dan luar rumah, kos membaiki kenderaan, kos membeli peralatan baharu dalam rumah, tekanan perasaan bagi sesetengah orang, bantuan dari kerajaan baru-baru ini yang tidak seberapa, kemudian ditambah dengan persediaan anak-anak sekolah. 

Semuanya memakan ribu dan puluh ribu ringgit. Tup tup dengarnya tarif elektrik, tol dan beberapa perkara lain akan naik juga. Musibah bukan lagi berganda, tetapi berganda ganda ganda.

Sebelum PRU13, lagu ‘Rakyat didahulukan’ acap dimainkan. Selepas PRU13 ‘just duit’ (bukannya just do it). 

Tunggulah PRU14 nanti, kerajaan BN akan tiba-tiba menjadi begitu baik, lebih baik dari malaikat yang tidak dikenali. Duit akan ditabur balik kepada rakyat untuk mendapat mandat seterusnya. Adakah Melayu akan terus lupa?

Penulis ialah Timbalan YDP PAS Kawasan Kemaman, Terengganu. - HarakahDaily

No comments:

Post a Comment