Sumbangan PASTI

Sumbangan PASTI

Monday, December 16, 2013

Kaji semula agihan bantuan kepada mangsa banjir

Yohanis (kanan) mengiringi Mazlan Aliman (tengah) melawat rumah mangsa banjir warga Felda di Jerantut, kelmarin.
JERANTUT: Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) mendesak kerajaan supaya mengkaji semula secara menyeluruh prosedur operasi standard (SOP) pengagihan bantuan kepada mangsa banjir khasnya dari tempat pusat pengumpulan mangsa banjir ke rumah-rumah mangsa.

Ketua Penerangan DPPNP, Yohanis Ahmad berkata, ini disebabkan terlalu banyak rungutan daripada mangsa banjir kepada petugas-petugas sukarelawan PAS dan Jabatan Amal Malaysia mengenai kepincangan dan bantuan yang sampai kepada mereka tidak seperti sepatutnya.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan beberapa peruntukan kepada mangsa banjir berdasarkan maklumat mangsa yang berpindah ke pusat penempatan  dan kampung-kampung  yang terputus hubungan.

“Bagi pangkalan hadapan seperti Hulu Tembeling pihak JKM telah menghantar lebih awal tiga hari bantuan makanan kepada mangsa banjir.

“Bagi mangsa di pusat penempatan perpindahan mangsa dibekalkan dengan selimut, tikar, berus gigi, ubat gigi,  dan sabun,” katanya.

Yohanis yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Jerantut berkata, bagi kampung-kampung dan kawasan yang terputus hubungan,  JKM,  Bomba dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menghantar bekalan makanan ke tempat pengumpulan.

“Berdasarkan rekod bantuan daripada JKM yang dihantar ke pusat pengumpulan  yang dilanda banjir bolehlah dianggap memuaskan, namun dari segi agihan pula terlalu banyak rungutan yang kami terima daripada mangsa banjir ketika kami turun membantu.

“Di mana silapnya pengagihan ini?  Jadi apa yang perlu serta wajib disemak semula ialah sistem agihan dari tempat pengumpulan ke rumah-rumah mangsa banjir,” jelasnya.

Katanya, DPPNP melihat beberapa aspek yang perlu diperbaiki dalam penyelarasan kerja-kerja pengagihan barangan kepada mangsa banjir.

“Rungutan dan sungutan dari mangsa banjir amat perlu kita teliti sewajarnya.  DPPNP tidak mahu rungutan ini berulang lagi pada masa-masa akan datang malah apa yang amat kami  bimbang seandainya wujud anasir ketidaktelusan dalam pengagihan ini,” ujarnya lagi.

DPPNP turut mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada beberapa agensi kerajaan seperti  JKM, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Bomba, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Amal, rakan-rakan PR, Nisa', Persatuan Perubatan Homeopathy dan lain-lain kerana bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa banjir di sembilan daerah di negeri ini baru-baru ini. - HarakahDaily

No comments:

Post a Comment